Mini cerpen : Bibah debab 17- akhir (edited version)



Tiga bulan berlalu...


“Adlina, Sherry dan Mona, saya nak jemput kamu ke rumah abang saya ahad ni. Ada jamuan kesyukuran,” ajak Cik Maz.
“Maksud Cik Maz, rumah pengerusi syarikat ini ke?” Soal Adlina inginkan kepastian.
“A’aah ya, lupa pulak saya,” Cik Maz tersenyum.
“In shaa Allah kami pergi Cik Maz,” jawab Sherry.
Kesempatan ini tidak boleh dilepaskan. Inilah masanya peluang mereka mencari pasangan hidup di kelompok orang atasan. Siapa yang tidak mahu menjadi menantu dato, tan sri ini. Peluang ini jarang sekali singgah di dalam hidup mereka.
“Kenduri kesyukuran apa Cik Maz?” Soal Mona ingin tahu.
“Oooh sempena kepulangan anak saudara saya dan menantu abang saya tu. Sebenarnya sudah lama mereka balik, baru hujung minggu ni sempat hendak buat majlis kesyukurannya. Sekali dengan doa selamat sempena kehamilan anak perempuan mereka juga,” Jelas Cik Maz.
Dia melihat wajah teruja pekerjanya. Pasti mereka tidak sabar-sabar mahu menghadiri majlis tersebut. Tiga tahun mereka bekerja di bawahnya, Cik Maz tahu sangat perangai mereka. Berangan-angan mahu menjadi menantu orang kaya. Selalu memasang impian tinggi melangit dan perasaan diri mereka layak menjadi pasangan anak orang kaya ini.
“Ada majlis tari menari tak Cik Maz?” Soal Adlina lagi.
“MasyaAllah kamu ni, kamu faham tak maksud majlis kesyukuran ni? Apa yang selalu dilakukan di dalam majlis kesyukuran?” Soal Cik Maz sambil menggeleng kepala.
Berangan sampai tak tahu apa jenis majlis dan adabnya. Jangan buat malu sudahlah semasa majlis nanti. Ini Adam dan Azam punya perancanganlah. Kononnya inilah masanya mereka mengenakan mereka bertiga, biar mereka sedar tinggi rendah langit dijunjung. Biar mereka sedar siapa Bibah yang sebenarnya dan menginsafi sikap mereka terhadap Bibah.
Adlina tersengih-sengih, manakala Mona dan Sherry buat-buat tak tahu. Walaupun begitu, wajah mereka sama merah. Mungkin berfikiran seperti Adlina juga.
“Pakai baju kurung atau baju kebaya bukan baju untuk berclubbing. Ada tahlil dan bacaan doa selamat,” pesan Cik Maz sebelum melangkah ke biliknya.
“Buat malu je kau ni, dungu sangat,” marah Mona.
“Alaa.. kau pun sama. Jika aku tak tanya tadi, tak pasal-pasal kita pergi pakai dress, tak ke lagi malu?”
******
“Bibah, kan bang dah cakap tadi, duduk diam-diam,” tegur Adam apabila melihat Bibah membawa pinggan berisi buah oren dan epal yang telah dipotong ke meja buffet. Pantas tangannya mengambil pinggan tersebut dari tangan isterinya.
Bibah menjeling geram. Duduk tanpa melakukan kerja memang memenatkan. Dia tidak biasa goyang kaki. Muncung mulutnya.
“Buatlah mulut muncung tu lagi, kat sini jugak abang cium,” ugut Adam sambil mengenyit mata.
“Auchhh..” Adam menjerit kesakitan. Geram punya pasal, tangan Bibah laju mencubit lengan suaminya.
“Semua benda tak boleh buat. Habis tu takkan Bibah kena tengok je. Bibah bukannya sakit tenat tapi sakit terkena buatan orang,” bebel Bibah pula.
“Sebab sakit terkena perbuatan abanglah kena duduk diam-diam. Jangan banyak gerak. Kan doktor dah pesan, tak boleh jalan banyak sangat, tak boleh angkat berat-berat dalam tiga bulan pertama ni. Baby tak kuat lagi berpegang pada mamanya. Jadi untuk keselamatan baby abang tu, baik Bibah dengar cakap suami Bibah yang hensem ni,” balas Adam panjang lebar. Suaranya perlahan dan hanya didengari oleh Bibah sahaja.
Bibah menjeling. Dia tidak dapat menyangkal kata-kata Adam itu kerana apa yang dikatakan betul belaka. Dia ada bersama ketika doktor memberi nasihat kepada mereka. Jadi nak tak nak, Bibah terpaksa menurut walaupun dia merasakan dirinya kuat, kandungannya tidak mempunyai apa-apa masalah. Masalahnya naluri kebapaan Adam ni amatlah kuat, terlalu mengambil berat tentang diri dan juga kandungannya.
Bibah bersyukur dikurniakan seorang suami yang hampir sempurna di matanya. Sentiasa mendahulukan dan memanjakan dirinya. Ketika dia dipaksa berdiet dulu, Adam turut sama berdiet, berjogging dan memasuki gym bersama-samanya. Adam tidak pernah meninggalkan dirinya. Berkat usaha kerasnya bersama sokongan Adam, akhirnya dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak sepuluh kilo dalam masa dua bulan setengah tanpa mengambil sebarang ubat kurus.
Bibah merasakan dirinya semakin cergas dan bertenaga. Ketika dia bersemangat mahu memulakan kerjanya kembali di syarikat keluarga Adam, dia pengsan. Kalut Adam membawanya ke hospital. Rupa-rupanya dia kini sedang membawa cinta hati mereka. Tanpa kompromi, dia tidak dibenarkan bekerja semula. Tidak puas hati dengan keputusan Adam menggunakan kuasa vetonya sebagai suami, Bibah mogok selama tiga hari. Mana boleh melepasi tiga harikan, tak baik, nabi tak mengaku umat nanti. Hahaha pepandai je Bibah ni.
Adam berusaha memujuk dengan bermacam cara dan janji manis membuatkan hatinya cair. Mereka berbaik kembali dan berita gembira itu disampaikan kepada seluruh ahli keluarga. Dan hari ini majlis doa selamat dan kesyukuran diadakan untuk mereka berdua dan juga sempena kepulangan Adam dan Azam.
“Syhhhh.... Minah kepoh bertiga tu dah datang,” Azam datang mengacau Bibah yang sedang terkenangkan kisah lalu. Adam dan Bibah berpaling dan memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Azam.
Bibah tersenyum, Adam hampir tergelak dan Azam sudah terburai gelaknya.
“Cantik apa?” Bibah menyiku perut Adam.
“A’aah. Zam kau tak berkenan ke? Boleh pilih sorang.”
  Azam mencebik.
“Bagi free pun aku tak nak. Harapkan wajah cantik buat apa jika otak kosong. Berlagak tak kena tempat. Mereka pakai baju kurung lip lap ni apa kehal. Melebih-lebih. Ni kenduri kesyukuran bukannya kenduri kahwin.”
“Sudahlah bang, kau tu paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih. Kau pun sama bang,” sindir Bibah. Ditarik tangan Adam menuju ke arah Adlina, Sherry dan Mona yang kelihatan canggung di pintu masuk.
“Assalamualaikum.” Bibah memberikan salam. Adlina, Mona dan Sherry terlongo seketika.
‘Bibah ke ni? Eh bukan kot. Takkanlah Debab tiba-tiba jadi slim dan lawa macam ni’
“Wa...walaikumussalam.. Bibah kau ke ni?” Mona membalas salam dan bertanya.
Bibah tersenyum sambil angguk.
“Akulah si Debab dulu,” tanpa niat mahu membalas setiap perbuatan mereka, Bibah menjawabnya.
Adlina, Mona dan Sherry menelan liur.
“Apa yang kau buat di sini. Bukan ke kau kena pecat hari tu. Tak malu lagi nak tunjuk muka walaupun kurus dan lawa sikit,” soal Adlina sambil menyindir. Mencebik-cebik bibirnya. Hatinya menyampah apabila melihat Bibah yang lawa, lebih-lebih lagi ditemani oleh Encik Adam yang hensem.  
Adam ketap gigi. Minah perasan lawa lagi sombong tak kena tempat ni memang nak kena dengan aku. Adam menjeling isterinya yang senyum-senyum. Sayang ni pun satu, tak terasa ke apa yang mereka kata ni.
“Siapa kata aku kena pecat? Kau ni Adlina, tak tahu apa yang kau dengki sangat dengan aku ni, suka fitnah sana sini....” Bibah terdiam seketika. Adam mula mengukir senyum.
Adlina, Mona dan Sherry saling memandang antara satu sama lain. Tanggapan mereka bertiga sama, Bibah dipecat kerana dia terlalu gemuk untuk bekerja di syarikat mereka. Lagipun dia bukannya pandai sangat buat kerja pun.
“Kenalkan ini suami aku Adam. Dan untuk pengetahuan kau, Cik Maz tu mak saudara aku dan Encik Azam tu abang aku dan syarikat tempat korang kerja tu, syarikat bapa aku. Majlis ini pula dibuat sempena kepulangan suami dan abang aku juga kerana kehamilan aku. Jelas tak?” Soal Bibah tegas.
Adlina, Mona dan Sherry terkulat-kulat di situ. Tanpa mereka sangka, tanpa mereka duga, setiap perbuatan mereka terhadap Bibah bagaikan diulang tayang di dalam memori mereka. Wajah ketiganya merah padam.
“Bibah, Adam kenapa tercegat kat depan pintu tu? Ajak tetamu masuk dan makan,” Puan Sarimah menegur.
“Kot iya pun nak berborak, ajak makan dulu,” Sambung Puan Sarimah lagi.
“Opppsss...lupa pula. Mari masuk dan jemput makan,” pelawa Bibah.
Adlina, Mona dan Sherry teragak-agak masuk ke dalam rumah. Jika boleh ingin sahaja mereka balik. Muka mereka entah apa warna sekarang ni, terkenan perbuatan mereka sendiri.
“Lainkali, jangan sesekali pandang hina orang lain. Jangan perasan diri tu lawa sangat. Sila..sila makan... dah dasar muka tak malukan,” Adam mencelah. Sinis sindirannya sebelum menarik tangan Bibah beredar dari situ. Puas hatinya.
“Aku nak balik”
“Aku pun sama”
“Jomlah kita balik”
Tanpa menyentuh makanan, mereka bertiga beredar dari rumah itu. Segan, malu, menyesal dan bermacam-macam lagi perasaan menyerbu hati mereka. Menyesal kerana membuli Bibah selama ini. Namun terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya.
“Aku tak sanggup lagi kerja kat situ.”
“Aku pun...”
“Aku pun...”
“Mana mereka? Tadi Cik Sue nampak?” Soal Cik Maz apabila dia mencari-cari kalibat pekerjanya, tidak ditemui.
“Entah, tadi rasanya makan, tak tau ceruk mana mereka melantak,” sinis Adam menjawab.
“Mereka dah balik dah. Tak sempat nak makan,” jawab Azam.
“Haaa.. hahahhaa... malulah tu. Biar padam muka mereka” 


Cik Maz geleng kepala. Adam dan Azam tersenyum. Puas hati mereka. Di dalam hati mereka berharap ketiga mereka menghantar surat perletakkan jawatan esok.


Psst.. akhirnya tamat kisah bibah. Panjang tak episod akhirnya? Ada yang tak puas hati ke? 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6