Nufah Bab 8
![]() |
Klik di sini untuk pembelian |
“ASSALAMUALAIKUM…” Dian melangkah masuk.
Serentak empat
pasang mata melihatnya. Jantung berdebar kencang. Sejak mendengar berita pak
tehnya itu ke rumah orang tua Tengku Firash, hatinya tidak tentu arah. Rasa
bersalah membelit di hati tetapi rasa pentingkan diri lebih mendominasi. Dia
gembira dengan berita itu, namun dia tahu datuknya amat pentingkan maruah
keluarga, sudah tentu lelaki tua itu tidak dapat menerimanya. Pasti datuknya
akan memaksa pak teh supaya memujuk Nufah meneruskan juga perkahwinannya.
Lagipun datuknya sangat berkenan dengan Tengku Firash. Berdarah raja, sudah
tentu markahnya tinggi di hati orang tua itu.
“Panjang umur
budak bertuah ni. Dian tahu kenapa Nunu tiba-tiba nak putuskan pertunangan?”
Puan Timah terus menyoal. Tangan dilambai supaya cucu kesayangannya itu
mendekatinya.
Dian buat-buat
tidak faham, seolah-olah tidak tahu hujung pangkal. Sudah diagak tetapi apabila
diserang hendap oleh neneknya, dia mengambil masa untuk menjawabnya.
Teragak-agak menjawab, kononnya dia juga tidak pasti apa yang telah terjadi.
“Tak tahu, mak
tok. Jadi betullah Nunu putuskan pertunangan?” Dian menyoal naif. Seolah-olah
tidak sangka perkara ini berlaku.
Puan Rosiah
menjeling tajam. Meluat. Tidak percaya ini anak saudara suaminya, yang rapat
dan dianggap macam anak sendiri. Tidak disangka, Dian punya bakat besar
berlakon. Realistik sungguh lakonannya. Mimik muka terkejut, bagaikan tidak
percaya Nufah sanggup memutuskan pertunangan dengan Tengku Firash.
“Baguslah kamu
balik Dian. Kau cerita hal sebenarnya apa yang telah berlaku. Apa kau buat di
belakang Nunu,” sinis suaranya.
“A...apa maksud
mak teh ni?” Berkerut dahi Dian, dibuat-buat. Hatinya berdebar. Kalut.
“Kau tanya Dian
buat apa? Dian bukan Nunu. Mana dia tahu apa yang ada dalam kepala anak kau
tu,” kasar bahasa Puan Timah. Dia cukup pantang apabila ada sesiapa yang mahu
menyalahkan Dian. Dian itu permata hatinya, yang ditatang dengan penuh kasih
sayang. Lebih-lebih lagi Dian ialah satu-satunya anak kepada arwah anak
sulungnya. Pantang Dian dicuit, dia yang lebih terasa.
Puan Rosiah kesal.
Patutlah suaminya mahu Nufah pergi buat sementara waktu. Demi untuk menjaga perasaan anak sendiri daripada
dicincang lumat oleh tok wan dan mak toknya.
“Yang mak teh
nampak tu, salah faham je mak teh. Firash dan Dian satu pejabat, jadi biasalah
kami sesekali keluar bersama sebab kerja,” reka Dian. Teringat yang mak tehnya
pernah terlihat dia bersama Tengku Firash, sebelum Nufah melihat mereka.
“Mak teh ni Dian,
bukan tak reti nak menilai. Tak faham lagi bezakan antara yang fake atau betul. Jadi eloklah kau
berterus terang je. Panggil Firash dan jelaskan perkara sebenar. Nunu dah rela
hati undur diri. Tak nak burukkan nama baik kau orang berdua,” ujar Puan Rosiah
dengan menekan suaranya. Dia serius mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik.
“Betul mak teh.
Saya dan Firash tak ada apaapa hubungan,” Dian masih lagi berdalih dan enggan
mengaku.
“Jangan sampai
kami tunjukkan bukti yang kami ada,” ugut Puan Rosiah. Sudah lama dia menahan
marah. Tidak tahu selama mana lagi benteng sabarnya mampu dipertahankan.
“Ala, sekadar
keluar berdua dengan bos, jadi masalah sangat ke?” sinis Puan Nora. Tak boleh
jadi apabila Dian disoal macam orang bersalah. Yang bersalahnya si Nufah yang
tak tahu nak jaga tunang sendiri. Jadi bila Dian goda sikit sudah berpaling
tadah. Salah si Nufahlah, bukan Dian.
Makin merah muka
Puan Rosiah. Dicuit lengan suaminya, memberi isyarat supaya menunjukkan video
dan gambar-gambar tidak senonoh Dian dan Tengku Firash. Namun Encik Nukman
geleng kepala. Dia baru menerima pesanan daripada Nufah, agar tidak mendedahkan
bukti kecurangan tunang dan sepupunya itu kepada datuk dan neneknya. Takut
nanti mereka berdua terkena serangan penyakit jantung. Baiknya si anak sebab
selalu memikirkan perasaan orang lain.
Puan Rosiah
menarik nafas. Terasa tangannya ditarik. “Mari kita baliklah. Tak guna
bertengkar tentang perkara ini,” ajak Encik Nukman. Dia sudah kepenatan. Malam
nanti hendak menghantar Nufah ke stesen bas pula. Eloklah anaknya cepat-cepat
pergi dari sini.
“Kami balik dulu
ayah,” Encik Nukman meminta izin.
“Man, dengar sini,
perkahwinan ini perlu diteruskan juga. Kita kena jaga maruah pihak lelaki. Ini
semua salah kita. Jadi kita kena tanggung dan selesaikannya. Ayah tak nak kita
bermasalah pula dengan mereka nanti.”
Encik Nukman
angguk. Tidak menjawab tetapi dia faham maksud ayahnya.
Ulasan
Catat Ulasan