Nufah bab 1


Pembelian novel NUFAH boleh dibuat melalui SHOPEE (klik di sini)


H

ATINYA resah. Sudah seminggu Tengku Firash tidak dapat dihubungi. Hilang tanpa sebarang berita. Nufah genggam erat telefon pintarnya. Telah hampir berpuluh pesanan Whatsapp dihantar namun masih tidak berbalas. Dia mengeluh perlahan. Galau. Puas dia memikirkan silapnya,  namun buntu. Hubungan mereka sebelum ini baik-baik sahaja, namun sikap Tengku Firash berubah selepas mereka bertunang.

Sebab pertunangan inikah??

Tengku Firash sudah tidak cintakannya lagikah?

Nufah senyum pahit. Macam-macam kemungkinan berlegar di dalam kepalanya. Dia tidak mahu menyangka yang bukan-bukan tetapi fikiran negatif itu tetap datang. Apatah lagi Tengku Firash bagaikan lepas tangan. Persiapan perkahwinan mereka, semuanya dia uruskan sendiri. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia batalkan majlis perkahwinan mereka. Namun, apabila memikirkan  semua persiapan hampir selesai, disabarkan hatinya. Lagipun mana mahu diletakkan muka kalau tiba-tiba majlis perkahwinannya dibatalkan. Tentu mama dan abahnya yang akan menanggung malu.  

Matanya tertancap pada sebungkus kad undangan perkahwinan yang telah siap dicetak di atas katilnya. Baru sahaja diambil semalam. Baju nikah juga telah siap dijahit dua hari lepas. Nufah menekan-nekan pelipisnya dengan hujung ibu jari dan jari telunjuk. Pening memikirkan hari besar mereka semakin hampir tetapi sikap Tengku Firash semakin sukar diteka. Hati semakin tidak yakin dengan hubungan mereka berdua. Semakin dekat hari perkahwinan, dia merasakan hubungan mereka semakin jauh dan renggang.

‘Betulkah keputusan ini?’

Sikap tidak acuh Tengku Firash membuatkan dia mempersoalkan keputusan besar yang dibuatnya beberapa bulan lepas. Sangkanya selama ini hati mereka satu, rupa-rupanya dia silap. Dia langsung tidak memahami hati lelaki itu meskipun mereka telah lama bercinta.

“Kakak ... Firash cakap apa?” Puan Rosiah mendekati anak sulungnya.

Ada keresahan terlukis di wajah itu. Dia faham. Semakin dekat majlis berlangsung, bakal pengantin baru akan diduga dengan bermacam-macam perasaan. Takut, keliru dan juga tidak bersedia untuk melangkah ke alam baru. Sebab itu dia tidak mendesak sangat. Sekadar memberi peringatan dan nasihat agar majlis nanti berjalan lancar. Naluri seorang ibu, walaupun merasakan ada yang tidak kena, dia tetap bersikap tenang dan rasional. Kehendak anak tetap juga diutamakan.

“Kakak dan Firash ada masalah ke?” Soalan tadi tidak berjawab, lalu disoal soalan lain.

Sudah agak lama juga Nufah tidak meminta kebenaran untuk bertemu dengan tunangnya. Bukan hendak menyibuk, tetapi dia merasakan bakal menantunya seolah-olah lepas tangan. Bukankah dahulu Tengku Firash juga yang tidak mahu menggunakan khidmat perancang perkahwinan. Dia mahu menguruskan sendiri agar menjadi momen indah mereka yang bakal bergelar raja sehari. Akan tetapi sekarang dilihatnya Tengku Firash tidak ambil peduli, bahkan semuanya diuruskan sendiri oleh anaknya itu.

Wajah yang ditunduk tadi diangkat memandang mamanya, keluhan dilepaskan. Bibir digigit. Resah, sebak dan sesak menggamit rasa. Sukar untuk diluahkan.

“Entahlah mama. Dah seminggu kakak telefon Firash, tak berangkat. Tak tahu ke mana perginya,” keluh Nufah.

Dia segan hendak menghubungi bakal mentuanya. Takut pula dituduh mengada-ngada, hendak menempel setiap masa. Lagipun dia tahu, sejak dahulu dia bukan menantu pilihan. Hal ini sedaya mungkin cuba disembunyikan daripada pengetahuan mama dan abahnya. Namun dia yakin, mama tahu ada yang tidak kena, cuma mama mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja. Memberi dia peluang menyelesaikan sendiri tanpa masuk campur. Sebab itu dia beruntung, ada mama yang memahami dan tidak mendesak. 

“Tak jumpa dekat pejabat?”

Nufah geleng kepala. Minggu lepas, Tengku Firash memberitahu dia perlu out-station seminggu. Patutnya semalam dia sudah pulang tetapi apabila ditanyakan kepada setiausaha Tengku Firash, lelaki itu telah mengambil cuti seminggu pula. Untuk bertanya banyak, dia segan, takut setiausaha tunangnya tahu ada kepincangan di dalam hubungan mereka. Ah! Dia selalu menjaga hati dan perasaan orang lain sehinggakan hati sendiri terluka.

“Dia cuti. Kakak tak tahu pun. Itu pun kakak tanya setiausahanya. Telefon langsung tak berangkat. Whatsapp pun tak dibaca. Kakak takutlah mama,” luah Nufah.

Selama mereka bercinta, tidak pernah pula Tengku Firash bersikap begitu. Biasanya kalau bergaduh pun, paling lama tiga hari sahaja mereka berperang dingin. Selepas itu, mesti salah seorang akan mengalah. Masalahnya sekarang, Nufah tidak tahu pun mereka sedang dilanda masalah. Sebab selama dalam tempoh bertunang ini, dia sentiasa mengalah dan mengutamakan kehendak Tengku Firash. Mengapa tiba-tiba Tengku Firash mendiamkan diri?

“Dia sibuk agaknya. Tak pun letih kerja. Sebab itulah ambil cuti, nak berehat. Jangan fikir yang bukan-bukan. Esok pagi, teman mama ke kedai cenderahati pengantin. Bunga telur tak cukup lagi tu, nak kena tambah 200 lagi,” pujuk Puan Rosiah.

Dielus tangan si anak, memujuk, walaupun hati sendiri telah tawar rasa. Tapi untuk melihat si anak bahagia, segala rasa tidak enak dibenam jauh di dasar hati.

Nufah mengukir senyum, dia tahu mamanya tidak mahu dia berfikir bukan-bukan. Sebab itulah mama cuba membuatkan dia sibuk di hujung minggu ini. Nufah menganggukkan kepala.

“Terima kasih mama. Kalau tak ada mama, kakak tak tahu macam mana nak uruskan semua ini.”

“Kakak anak mama. Sampai bila-bila pun kakak perlukan mama. Nak berterima kasih, kakak perlu jadi isteri terbaik untuk suami kakak. Cepat-cepat lahirkan cucu untuk mama.” Puan Rosiah peluk bahu anak sulungnya, cuba menutup resah di hati.

Pertemuan secara tidak sengaja siang tadi tidak diceritakan kepada Nufah. Mungkin silap matanya yang memandang. Lagipun Dian itu sudah dianggap anak sendiri walaupun berpangkat anak saudara suaminya sahaja.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6