Nufah Bab 7
![]() |
klik di sini untuk pembelian |
“ASSALAMUALAIKUM Nunu, apa khabar bakal pengantin?” Suara ceria Tisya kedengaran di hujung sana. Nufah terdiam. Dia tersenyum pahit. ‘Bakal pengantin tak jadi,’ bisik hati kecilnya.
“Waalaikumussalam.”
Nada suara sedaya mungkin dikawal agar kedengaran normal di telinga Tisya.
“Aku nak datang ke
JB. Kau free tak?” Nufah terus
menyampaikan tujuannya.
“Free ... free ... bila-bila masa kau nak
datang, rumah aku sentiasa terbuka untuk kau. Nak datang honeymoon pun, aku lagi okey. Lagipun lama dah tak membawang ni,”
sambut Tisya riang. Seronok sangat mendengar Nufah hendak datang bercuti.
Sehinggakan dia tidak perasan, nada suara Nufah yang langsung tidak ceria.
“Flight kau bila?”
“Aku naik bas.
Malam ni bertolak. Nanti sampai aku call
ya,” beritahu Nufah.
Baru Tisya berasa pelik. Eh, malam ni?
“Oookeey!” Nada suaranya terus merudum.
Baru dapat ditangkap suara Nunu yang tidak ceria. Seolaholah tersimpan duka.
“Terima kasih Isya,” bisik Nufah perlahan.
“No problem. Untuk kau, aku akan sentiasa
ada.” Walaupun tidak tahu apa ceritanya, Tisya tetap bersikap seperti biasa.
Nantilah, Nunu sampai boleh berborak panjang.
“Aku tunggu kau.”
“Okey, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Talian diputuskan. Nufah melepaskan keluhan. Baju-baju di atas katil diambil
dan disusun kemas ke dalam bagasi. Nazrul masuk ke dalam biliknya.
“Mama dan abah di rumah tok wan lagi, kak?”
Nufah angguk.
Nazrul duduk di atas katil kakaknya sambil memerhati Nufah mengemas pakaian.
“Naz ikut,” ucap
Nazrul tiba-tiba. Dia sedih melihat kakaknya bersedih. Hatinya menyumpah dan
memaki hamun Tengku Firash dan Dian. Manusia tidak bermoral seperti mereka
sepatutnya dihukum kerana melukakan hati kakaknya.
Nufah menghentikan
kerja mengemasnya. Dia pandang Nazrul, diukir senyum terharu. Walaupun Nazrul
tidak banyak cakap, tapi dalam diamnya tetap ambil tahu apa yang sedang
berlaku.
“Tak perlu. Kakak
ke rumah Tisya beberapa hari je. Lama tak jumpa dia,” pujuknya. Buat ketika
ini, dia tidak mahu fikirkan apa-apa selain pergi jauh dari sini.
“Tapi kakak tak biasa naik bas.”
“Eh, tak biasa
apanya? Masa kakak belajar dulu selalu naik bas jugak ke sana sini sebelum abah
belikan kereta,” pangkah Nufah. Ada ke patut cakap dia tak biasa naik bas?
Nazrul sengih. Dia
garu kepala. Mahu juga ikut. Dipandang Nufah dengan wajah mengharap.
“Bagi kakak masa
untuk bersendirian. Kakak perlu tenangkan fikiran dan fikirkan semula plan hidup baru. Bila dah tetap apa yang
kakak nak buat, nanti kakak bagi tahu Rul, okey?” pujuknya lagi.
“Kalau Firash tu
ada depan Rul sekarang, Rul belasah dia sampai patah riuk. Lelaki macam tu
memang tak layak diberi muka. Kena belasah sekali, baru sedar diri,” membara
marah Nazrul.
Dahulu dia
sangkakan Tengku Firash itu terbaik buat kakaknya. Selalu juga melayannya. Bawa
tengok bola juga Formula 1. Tidak
disangka bertahun-tahun berkawan, belum sampai setahun bertunang, sudah berubah
hati. Apa yang Tengku Firash hendak sebenarnya?
Kak Nunu lebih
cantik daripada Kak Dian. Lebih pandai dan segalanya lebih, baik dari segi IQ juga EQnya. Bercinta sejak zaman sekolah, semudah itu Tengku Firash
berubah. Tidak mampu menahan godaan Dian.
Nufah sengih.
Bersungguh Nazrul mahu melindunginya. Dia terharu.
“Bila hati orang
ni dah berubah Rul, tak guna kita belasah ke, pujuk rayu. Takkan berubah ke asal
dah. Kalau dia nak kembali pun, kakak takkan terima. Hati kakak dah mati,”
tegas Nufah. Dia akan move on.
Walaupun perlu mengambil masa yang lama untuk sembuh, dia akan terus mencuba.
Nazrul angkat
kedua-dua ibu jarinya, tanda bagus. Setuju dengan pemikiran kakaknya.
“So ... give me time to move on.” Kepala
Nazrul digosok sehingga kusut rambutnya.
“Pergi keluar.
Kakak nak kemas baju ni. Menyibuk je kau ni,” halau Nufah. Tidak mahu dia
beremosi lagi. Sementara itu di rumah orang tua Encik Nukman.
“Apa dah jadi ni
Nukman, kenapa tiba-tiba putuskan pertunangan? Mana nak letak muka kau nanti.”
Encik Osman geleng kepala.
“Tak ada jodoh
ayah. Takkan nak paksa lagi,” jawab Encik Nukman.
“Panggil Nunu
datang. Biar aku tanya dia sendiri apa yang telah berlaku. Pantang keturunan
aku maruah dipermainkan. Itulah budak-budak zaman sekarang. Tak fikir langsung
pasal maruah orang tua. Suka tunang, tak suka putus,” bebel Encik Osman.
“Man yang mahu
pertunangan mereka diputuskan. Firash tu tak layak untuk anak Man, ayah.”
“Tak layak apa
lagi? Berdarah keturunan raja, keturunan dia lebih tinggi tarafnya di mata
masyarakat. Kau tu patut berbangga keluarga dia terima Nunu sebagai menantu. Kau
pulak menolak tuah!”
Encik Nukman
terdiam. Menerima sahaja kemarahan orang tuanya.
“Ayah jangan
risau, ayah tetap akan jadi datuk besan tengku tu. Pengantin perempuan saja
berubah,” ujar Puan Rosiah. Sempat pula dia menjeling birasnya. Dari tadi berwajah
tenang tanpa riak. Sakit hatinya.
“Apa kau cakap ni, Yah? Ayah tak faham.”
“Nanti esok lusa,
ayah fahamlah maksud saya. Jom bang, kita balik! Panaslah rumah ni, berbahang,”
Puan Rosiah mengibas-ngibas tangan di mukanya.
“Kami balik dulu
ayah,” Encik Nukman meminta diri.
“Kita belum habis
bercakap lagi, kau dah nak balik?” Encik Osman geleng kepala. Tidak faham
dengan sikap anak dan menantunya.
“Suruh Nunu datang
jumpa ayah esok,” putusnya.
“Tak payahlah
ayah. Esok Nunu dah tak ada kat sini,” balas Encik Nukman.
Tidak akan
dibenarkan sama sekali anaknya disoal jawab. Cukuplah anak itu terluka dengan
perbuatan tikam belakang sepupu sendiri; cucu kesayangan Encik Osman. Sudah
tentu Nufah yang akan dipersalahkan nanti. Lagipun dari saat dia melihat video
skandal Dian dan Tengku Firash itu, dia berjanji untuk melindungi anaknya
daripada terus dilukai.
“Mana dia pergi?
Buat hal, kemudian lari pulak. Macam mana kau didik anak ni Nukman?” Naik
senoktaf nada suara Encik Osman. Darah sudah naik sampai kepala. Geram dengan
tindakan sesuka hati cucunya. Sudah dapat keluarga keturunan baik-baik, buat
hal pulak. Tak kenang dek untung langsung!
“Saya yang suruh
dia pergi bercuti ayah. Anak saya tu elok saya jaga dan didik dia. Tak pernah
nak menyakitkan hati orang. Apatah lagi nak merosakkan hubungan orang. Nanti
ayah tanyalah cucu kesayangan ayah tu, apa yang telah dia buat. Saya ada bukti
setiap perbuatan dia. Jadi lebih baik dia mengaku sendiri, jika tak payah saya
tunjukkan bukti tu!” tegas Encik Nukman. Panas hatinya apabila mendengar
kata-kata ayahnya tadi.
Matanya tajam
memandang Puan Nora, balu arwah abangnya yang tinggal bersama orang tuanya.
Wanita separuh usia itu diam. Sedikit pun tidak bersuara. Jadi dia tidak pasti
sama ada kakak iparnya tahu atau tidak onar yang Dian lakukan.
Encik Osman diam.
Dahi tuanya berkerut seribu. Apa kaitan dengan Dian pula? Bertambah serabut
fikirannya.
“Nukman ... kau
cakap apa ni? Aku cakap pasal Nunu putuskan pertunangan. Yang kau pergi heret
Dian sekali tu kenapa? Budak tu tak ada kaitan dalam hal ini!” Puan Timah pula
menyampuk, setelah menjadi pemerhati sedari tadi. Melihat wajah merah anaknya,
dia tahu Nukman terasa hati dengan kata-kata suaminya.
Puan Rosiah dan
Encik Nukman menarik nafas panjang. Hati terus mengumpul kesabaran. Petik nama
Dian, terus melenting ibunya, Puan Timah. Itu belum lagi dia bongkarkan rahsia
Dian yang menjadi duri dalam daging. Entah-entah Nufah juga dipersalahkan.
“Keputusan yang
saya buat ini, adalah terbaik untuk semua orang. Biarlah saya malu sekarang
daripada membiarkan anak saya hidup menderita kelak. Tak apa, Nunu tu masih
muda. Dia akan jumpa jodoh lain nanti,” putus Encik Nukman.
Hendak menjawab,
nanti dia pula hilang sabar. Mereka berdua orang tuanya. Dia tidak mahu
menambah dosa kerana mengecilkan hati orang tua.
“Kau faham tak,
maruah keluarga tak ada gantinya!” Encik Osman tidak berpuas hati selagi dia
tidak mendapat jawapan yang dimahukan. Kalau boleh, perkahwinan ini perlu
diteruskan juga. Rugi besar dia nanti jika anaknya tidak jadi berbesan dengan
keluarga diraja itu.
“Maruah keluarga
tetap terjaga ayah. Majlis sebulan nanti tetap akan berlangsung. Pengantin
perempuan saja yang bertukar.” Encik Nukman menghela nafas.
“Aku tak faham,
bertukar dengan siapa? Dian?” Encik Osman tidak puas hati. Nyaring suaranya
bertanya.
Ulasan
Catat Ulasan