Nufah Bab 5
![]() |
Untuk pembelian klik di sini |
“ABAH ... mama ... kakak nak putuskan pertunangan ini,” putus Nufah. Tiada guna dia meneruskan pertunangannya
dengan Tengku Firash.
Cukuplah seminggu
ini hidupnya seperti zombie. Tak lalu
makan, tidur tak lena. Imej mesra Tengku Firash dan Dian bermain-main di ruang
mata. Dua hari lepas, dia mendapat mesej daripada bekas rakan sekumpulannya
ketika bekerja di dalam kumpulan Tengku Firash. Semakin luka parah hatinya.
Sedikit pun dia tidak menyangka, kepercayaan yang diberikan, dikhianati tanpa
sedikit belas kasihan. Dian dianggap kakak dan juga kawan baiknya, mengapa dia
sanggup merampas tunangnya? Mengapa? Apa salahnya? Tak cukup baikkah dia selama
ini?
Encik Nukman dan
Puan Rosiah saling berpandangan. Dapat dilihat riak terkejut di wajah Encik
Nukman. Manakala Puan Rosiah pula, meskipun terkejut, dia telah menjangka
keputusan drastik anak sulungnya itu. Hatinya berbelah bagi, antara maruah
keluarga dan juga kebahagiaan anaknya.
“Kakak dah habis fikir? Ambil kira setiap sudut?” tekan Encik Nukman.
Seminggu berlalu,
tiada usaha daripada pihak Tengku Firash menghubunginya kembali walaupun
pesanan telah ditinggalkan, mungkin inilah yang terbaik. Ternyata bakal
menantunya bukan lelaki yang boleh diharap menjaga dan membahagiakan anaknya.
Jadi, apa pun keputusan anaknya, dia akan sokong. Mungkin bukan jodoh Nufah.
Cuma dia inginkan kepastian, tidak mahu Nufah menyesal di kemudian hari.
Nufah angguk,
tidak mampu menyembunyikan kekecewaan. Luka di hatinya terus berdarah. Air mata
pula sudah kering. Makan minum tidak dihiraukan, hilang selera apabila
teringatkan pengkhianatan mereka. Orang yang paling dekat dan dipercayai
merampas kebahagiaannya. Jika ikutkan rasa kecewa dan marah, mahu dia bersemuka
dengan mereka berdua. Apa salahnya sehingga mereka berlaku curang di
belakangnya?
“Mama rasa kakak
patut bersemuka dulu dengan Firash. Tanya dia sendiri. Mana tahu ini salah
faham je. ” Puan Rosiah memberi saranan. Dia tidak sanggup melihat anaknya
kecewa. Hari pernikahan pun semakin hampir. Nasib baik kad jemputan belum
diedar lagi.
Nufah geleng.
“Tak ada apa yang
perlu ditanya lagi mama. Kakak yang bodoh percayakan Dian. Percaya kononnya
cinta kakak ni mampu mengikat hati Firash selamanya. Kakak terlalu yakin dan
lupa diri. Hakikatnya bila Allah mahu terbalikkan hati, bila-bila masa boleh
berubah.”
Nufah sudah puas
berfikir. Mungkin ada juga khilafnya. Mungkin sebab dia terlalu ambil mudah dalam
perhubungan ini, maka kejadian ini menimpanya. Cukuplah sekali kepercayaannya
dikhianati.
“Mungkin salah
faham. Dian dan Firash tidak ada hubungan lain selain rakan kerja,” ujar Encik
Nukman positif, menyokong kata-kata isterinya tadi.
Nufah diam. Dia
gigit bibir kuat-kuat, kemudian nafas dihela panjang. Kalau boleh dia juga mahu
menganggap semua ini salah faham semata-mata, tetapi pesanan Whatsapp yang
diterima daripada rakan kerjanya dahulu, terus meragut segala sisa perasaan
yang tertinggal. Dia membuka pesanan tersebut, lalu dihulurkan telefon pintar
itu kepada mama dan abahnya. Biarlah mereka melihat sendiri. Jika sekadar
gambar, mungkin dia boleh beralasan itu hanya ‘photoshop’ untuk menyedapkan hati, tapi apabila yang dihantar itu
video, masakan dia mampu menidakkan? Lagipun dia amat kenal pejabat itu.
+Assalam
Nunu, pertama kali aku minta maaf. Aku bukan nak menyibuk atau jadi batu api
dalam hubungan kau dengan TF. Tapi mata aku ni cukup sakit tengok kemesraan
melampau mereka. Aku tahu Dian tu kakak sepupu kau. Kau baik dengan dia. Dulu
kau kata sebab percayakan Dianlah kau tak kisah bertukar tempat dengan dia.
Tapi kau tahu tak perangai Dian sebenarnya? Sejak awal dia masuk ke sini, dia
dah cuba goda TF. Lama TF bertahan melawan godaan dia, tapi sejak dua tiga
bulan ni, aku tak tahu godaan tahap berapa dia lakukan sehingga TF dah mula
caring dia. Macam lembu ditarik hidung, mengikut kata dan setiap perbuatan
Dian. Di sini aku sertakan gambar dan juga video mereka making out dalam
pejabat TF. Mungkin dah kemaruk sangat, mereka terlupa nak kunci pintu. Aku dan
Fida nampak secara tak sengaja. Habis mata aku ni ketumbit. Aku harap kau
sabar. Mungkin Allah nak tunjuk perangai sebenar mereka.
Encik Nukman dan
Puan Rosiah terdiam. Amat terkejut. Puan Rosiah tidak sanggup melihatnya.
Manakala Encik Nukman pula menghantar gambar dan video tersebut ke nombornya.
Kemudian gambar dan video di dalam telefon pintar Nufah dipadamkan. Dia tidak
mahu Nufah melihat gambar dan video itu dan membuatkan jiwanya terus tertekan.
Telefon bimbit itu dihulurkan kembali.
“Abah dah padamkan
gambar dan video tu. Abah dah sent ke
Whatsapp abah. Nanti abah dan mama akan hubungi keluarga Firash untuk putuskan
pertunangan ini. Kakak jangan fikirkan lagi perkara ni,” putus Encik Nukman.
Tidak perlu lagi
dia memujuk Nufah untuk mengekalkan hubungan itu. Keputusannya muktamad. Video
dan gambar itu sebagai bukti Tengku Firash bukan lelaki baik. Langsung tidak
layak menjadi menantunya.
Nufah diam. Air
matanya gugur. Puas dia menahan perasaan, berlagak tabah namun kali ini gagal.
Melihat wajah merah abah menahan marah, wajah terkedu mama, dia tahu dia telah
membuatkan orang tuanya risau keadaan dirinya.
“Malam ni taip surat
perletakan jawatan 24 jam. Berapa bulan pampasan kena bayar tu, abah akan
bayarkan. Mulai hari ini, kakak putuskan hubungan dengan Firash, Dian dan
syarikat tu. Abah dan mama akan uruskan perkara lain.”
Nufah tunduk. Puan
Rosiah memeluknya. Tidak ada kata pujukan daripadanya kerana dia tahu kata-kata
tidak akan mampu memujuk rasa kecewa dan terluka Nufah. Dibiarkan Nufah
melepaskan perasaannya melalui tangisan.
“Ada baiknya kakak
pergi bercuti. Jauh dari sini,” saran Puan Rosiah. Telefon pintar Nufah diambil
dan dimatikan. Kemudian dihulurkan kepada suaminya.
“Esok abang
belikan nombor telefon baru untuk kakak. Nombor lama tu kita potong. Mama tak
nak Firash mahupun Dian contact
kakak. Semua hal kakak kita uruskan nanti,” tekannya pula.
Encik Nukman
angguk. Itulah yang terbaik. Esok dia akan ke rumah bakal besan tak jadinya.
Memutuskan hubungan ini. Kemudian ke rumah orang tuanya menjelaskan perkara
tersebut. Jika mak ayahnya membantah, dia akan tunjuk gambar tadi. Dia lebih
rela maruahnya tercalar sedikit daripada membiarkan anaknya hidup menderita
kelak. Kalau mak ayahnya tetap mahu menjaga maruah, biar Dian sahaja jadi
pengganti.
Rasanya, Dian
tidak sabar mahu mengambil tempat pengantin perempuan. Majlis boleh diteruskan
juga. Persiapan yang telah dibuat, serahkan sahaja kepada mereka. Kalau mereka
tergamak gunakan, terpulanglah. Memang dasar tak tahu malu!
Ulasan
Catat Ulasan