Nufah Bab 4
![]() |
Untuk pembelian boleh klik di sini |
HATI Dian puas.
Rancangannya berjalan lancar.
Sudah tentu Nufah
nampak mereka tadi. Senyum puas disembunyikan dalam diam. Kali ini, walaupun
Tengku Firash masih lagi ragu-ragu membuat keputusan, Nufah akan ambil
keputusan sendiri. Nufah yang baik, tentunya akan memilih untuk mengalah. Dia
faham sangat hati adik sepupunya itu. Terlalu baik dan lembut.
“You pilihlah apa yang tak cukup lagi.
Tak pun call Nunu, tanya dia.” Mulut
Tengku Firash terkatup. Dia lupa, sepatutnya keadaan terbalik. Wajah Dian
berubah mendung.
Tengku Firash
dihurung rasa bersalah. Seharusnya dia tidak menyebut nama tunangnya di hadapan
Dian. Namun dia sudah terbiasa. Nufah yang sentiasa mengutamakannya. Sentiasa
mendahulukan kehendaknya. Tidak mementingkan diri dan pandai membawa diri.
Tidak mendesak dan merajuk, menjadikan hubungan mereka hambar. Salah satu sebab
hatinya beralih arah. Dian mengembalikan perasaan yang telah lama ditinggalkan.
Menjadi romeo semula, membuatkan
hatinya teruja. Sebab itulah hubungan dia dengan Nufah semakin jauh.
Membosankan.
“I tahu I ni orang ketiga, you
tak payah nak ingatkan.” Moodnya mati. Dian angkat kaki menuju ke pintu kedai.
Sengaja merajuk, mahu Tengku Firash memujuk. Satu kelemahan Nufah, tidak pandai
merajuk dan bermanja. Dalam rajuk, ada senyum sinis nipis yang disembunyikan.
Dian tahu Tengku Firash tidak akan membiarkannya tanpa memujuk.
“Dear... .” Tengku Firash kalut mengikut.
Dia tak sengaja. Lengan Dian ditarik.
“Sorry dear. I tak sengaja. You pilih
ikut cita rasa you. Apa yang Nunu
pilih, you tak berkenan kita tukar
nanti. Kita masih ada masa lagi,” pujuknya.
“Ada masa; bila you segera putuskan pertunangan dan
beritahu keluarga tentang kita. I tak
boleh nak tunggu lagi. I rasa
bersalah sangat dekat Nunu. Macam I
ni perempuan jahat. Rampas tunang sepupu sendiri.” Dian terus membakar hati
Tengku Firash. Mahu lelaki itu rasa bersalah.
“You tak salah. I yang berubah hati. I
yang salah. Jatuh hati dengan you,”
pujuk Tengku Firash lagi. Dia keliru. Saat ini dia tidak sanggup melihat air
mata Dian tumpah. Kasihnya semakin mengalir untuk gadis ini.
Dia
akan berterus terang secepat mungkin. Dia yakin hatinya sudah berubah dan tidak
cintakan Nufah lagi.
“Esok I akan jumpa Nunu. Putuskan pertunangan
kami. I akan berterus terang tentang
hubungan kita. I yakin Nunu akan
faham.” Keyakinan cuba disemat ke dalam hatinya juga. Lagipun dia yakin, Nufah
sedar tentang hubungan mereka yang semakin hambar. Ikatan cinta di hati mereka
semakin pudar.
*****
“MUNGKIN salah faham ni. Abang tak percaya. Firash dan
Dian tidak akan mengkhianati kakak.”
Puan Rosiah
pandang suaminya, jika suaminya tidak percaya, dia lagilah tidak mahu percaya.
Mereka menjadi saksi hubungan Nufah dan Tengku Firash. Kedua-duanya membesar di
depan mata. Dari tingkatan satu sehingga masing-masing berkerjaya. Tidak ada
satu pun yang kurang di mata mereka. Tengku Firash hormatkan mereka. Nufah
setia menunggu. Cinta mereka terus subur. Hanya beberapa minggu sahaja lagi
majlis akan berlangsung, kini segalanya berubah.
“Nanti abang call Firash, kita kena tanya dia sebelum
menjatuhkan hukuman. Mungkin salah faham je ni,” tekan Encik Nukman. Dia perlu
mendengar penjelasan kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan.
“Sudah dua minggu
kakak tak dapat call Firash. Whatsapp
pun nak tak nak jawab. Trylah abang call dia. Mana tahu dengan abang dia nak
bercakap.”
Sebagai ibu,
biarpun sakit hati, kebahagiaan anak tetap diutamakan. Lagipun dia mengenali
Firash sejak kecil, jadi dia tahu hati budi bakal menantunya itu. Telah lama
mereka bercinta, tentu sekali sebagai ibu, dia mahukan pengakhiran yang
membahagiakan anaknya.
Telefon pintar
ditekap ke telinga kanan, nada dail jelas kedengaran tetapi hingga ke deringan
terakhir tidak bersambut. Encik Nukman pandang isterinya. Dia geleng kepala.
Hatinya berasa tidak sedap. Hal anak-anak jarang sangat dia ambil pusing tetapi
apabila melibatkan anak saudara sendiri, terpaksa dia masuk campur. Melihat
Nufah seperti jasad berjalan, dia tahu ada yang tak kena.
“Dah lama Yah
tahu?” Perhatian beralih kepada isterinya.
“Dua hari lepas
Yah ada terserempak dengan mereka, makan bersama. Mesra semacam. Tapi Yah
sedapkan hati sendiri, mereka keluar sebab kerja kot. Lepas tu, tengah hari
tadi semasa kami keluar nak beli bunga telur, Dian Whatsapp kakak kata nak
jumpa. Jadi kakak cakap keluar dengan Yah. Sampai kat kedai tu, Yah rasa tak
sedap hati. Nampak kereta Firash. Kakak ni nak turun tegur tapi Yah tak bagi.
Dian keluar dari kereta Firash tu. Berpeluk lengan.” Puan Rosiah berhenti
seketika.
“Kakak try call Firash. Sampai ke sudah tak
berangkat. Dia call Dian, Dian kata
tengah dating dengan boyfriend. Jadi,
apa makna tu bang? Terangterang kami nampak Firash dengan Dian. Yah tahu, Dian
sengaja biar kami nampak tadi.”
Encik Nukman
terdiam. Berat hati hendak percaya tetapi yang bercerita ini isterinya. Yang
nampak anak bininya. Takkan benda besar begini mahu direka. Lagipun, ini
melibatkan maruah keluarga mereka. Pengantinnya pula anak perempuan sulung
mereka. Pilihan sendiri, bukan pilihan orang tua. Bercinta pula bertahun. Hanya
tinggal beberapa minggu sahaja majlis pernikahan akan dilangsungkan.
“Kita tunggu dulu.
Biar anak-anak selesaikan sendiri. Abang yakin salah faham je ni.”
Puan Rosiah geleng kepala. Ikutkan hati, hari
ini juga dia mahu bersemuka dengan Tengku Firash. Mahu mendengar sendiri dari
mulut Tengku Firash, masih hendakkan Nufah atau tidak. Kalau hati sudah beralih
arah, tidak mengapa, ramai lagi lelaki di Malaysia ini. Pasti akan ada lelaki
yang lebih baik dan ikhlas cintakan anaknya nanti.
“Bukan orang lain
bawak cerita, Yah dan kakak tengok dengan mata kami sendiri, abang tak nak
percaya juga. Kononnya Dian tak mungkin rampas tunang sepupu sendiri. Abang,
anak saudara abang tu talam dua muka. Buat baik ada makna. Dari dulu lagi saya
tak suka Dian tu. Tapi sebab dia anak saudara abang, saya diamkan. Abang tengok
sekarang, apa dah jadi?”
Ulasan
Catat Ulasan