Nufah Bab 3
![]() |
Untuk pembelian klik di sini |
“Siapa?” Puan
Rosiah terus bertanya apabila melihat wajah muram si anak bertukar cerah.
“Kak Dian mama.
Dia ajak keluar hari ni. Kakak cakap hari ni dating dengan mama, nak beli bunga
telur,” jelas Nufah dengan senyuman.
Dia dan Dian sangat
rapat. Tidak ada rahsia di antara mereka. Dian selalu menjadi penasihat tidak
rasminya dalam soal cinta. Tidak ada rahsianya yang tidak diketahui Dian.
Teringatkan Dian, terasa rindu pula. Agak lama mereka tidak berjumpa. Hanya
bermesej di Whatsapp sahaja. Walaupun bekerja di bawah syarikat yang sama,
mereka bertugas di cawangan yang berbeza. Dian di Petaling Jaya, manakala dia
pula di Cheras.
“Hmm... .” Nada
suara Puan Rosiah berubah. Dia terdiam. Namun hati diserang debar. Macam ada
perkara buruk yang bakal berlaku. Dipandang anak gadisnya diam-diam.
Dia teringatkan
pertemuan tidak sengaja semalam. Kemesraan pasangan itu mengundang curiga di
hati. Hendak diceritakan kepada si anak, takut pula disalah faham. Namun untuk
terus berdiam diri, dia takut anaknya tersalah pilih pasangan hidup. Sebagai
ibu, dia mahu anaknya hidup bahagia dan saling berkasih sayang dengan
pilihannya.
“Dian tu tahu
pasal kakak dan Firash?” Dia cuba selidik,
buat-buat tanya.
Nufah angguk tanpa ragu. “Tahu mama. Kak Dian cakap kakak selalu fikir
bukan-bukan. Firash tu sibuk.”
Wajah Puan Rosiah
terus berubah. “Mana dia tahu Firash tu sibuk?”
“Kak Dian satu department dengan Firash, dia kerja di
bawah Firash. Sekarang ni, mereka dalam proses membida projek menara berkembar
kedua tu. Kalau dia berjaya dapatkan tender ni, daddy akan melantik Firash sebagai CEO untuk Bina Hebat Sdn.
Bhd.,”
cerita Nufah. Ada rasa bangga di dalam nada suaranya bercerita tentang tunang
dan syarikat milik bakal bapa mentuanya itu.
Dia yakin dengan
kemampuan tunangnya, mereka mampu memenangi tender itu. Tambahan pula, Dian
memang pakar dalam menganalisa pasaran dan harga semasa, tentu sekali mereka
tidak akan mempunyai masalah.
“Bukankah kakak
yang selalu kerja dengan Firash?”
Nufah menggeleng.
“Sejak kami bertunang, daddy dah tak
bagi kami kerja dalam satu team. Jadi
kakak ditukarkan dengan Kak Dian. Lagi bagus mama, senang Kak Dian jadi spy kakak, ” jelas Nufah polos. Sedikit pun tidak berasa curiga.
Mendengar
kata-kata Nufah itu, dalam diam Puan Rosiah mengeluh. Hatinya semakin berasa
tidak enak. Nufah ini, walaupun sudah mahu berkahwin, masih lagi naif. Lurus
mempercayai orang tanpa sedikit pun menyimpan curiga. Dia pula yang gusar
dengan keadaan ini.
‘Mungkin juga,
sebab itulah mereka berdua rapat,’ Puan Rosiah cuba menyedapkan hati sendiri.
Namun kata-kata itu hanya berlagu di dalam hatinya sahaja.
“Baguslah. Memang
betullah Firash tu sibuk. Jadi kakak tak payah risau lagi. Nanti-nanti dah
kurang sibuknya, dia akan call kakak.
Lagipun tak elok bakal pengantin selalu bertemu,” pujuk Puan Rosiah untuk
mengusir kecurigaan di hati Nufah dan hatinya sendiri. Entah mengapa, hati
tuanya tetap tidak tenang. Terasa ada perkara buruk yang bakal berjadi.
Nufah angguk,
mengiyakan kata-kata mamanya. Namun jauh di sudut hati, perasaan sangsi dan
curiga mula tumbuh. Dia cuba memujuk diri dengan bersikap positif. Kata orang,
semakin dekat hari pernikahan, semakin kuat dugaan melanda bakal pengantin.
“Mama kita dah
sampai,” ujar Nufah ceria. Kerisauan di hati dihalau jauh.
Puan Rosiah senyum
memandang wajah Nufah. Kekura tangan Nufah ditepuk lembut. Dia tahu hati
anaknya itu, tidak mahu orang terdekat risaukan dirinya.
“Walau apa pun
yang terjadi, kakak masih ada mama, abah dan adik-adik. Kami sentiasa ada di
belakang kakak, mahu melihat kakak sentiasa gembira dan bahagia,” bisik Puan
Rosiah, mengingatkan Nufah yang dia masih mempunyai keluarga yang sentiasa ada
bersama walau dalam apa jua keadaan.
“Mama ni ... feeling-feeling pulak. Kami okey mama.
Bukan kakak tak biasa dengan kesibukan Firash tu,” balas Nufah dengan mata
berkaca-kaca. Dia terharu. Pipi Puan Rosiah diciumnya, kemudian enjin kereta dimatikan. Saat dia
mahu berpaling membuka pintu, matanya terlihat kereta Tengku Firash juga baru
sampai. Hatinya berlagu riang. Tentu Dian yang memberitahu Tengku Firash dia
ada di situ. Namun belum sempat kakinya memijak tanah, tangannya ditarik.
“Tunggu kejap kakak. Abah telefon.”
“Kakak keluar
dulu. Tu, Firash dah sampai. Kakak tegur dia dulu.”
Namun tangannya
dipegang kejap. Kening Nufah bertaut. Mama tidak melepaskan pegangan, malah
semakin kuat pula tangan Nufah digenggam. Wajah mama berubah, perlahan
kepalanya bergerak ke kiri kanan, menandakan dia tidak mahu Nufah keluar dari
kereta itu. Nufah keliru.
Pada masa yang
sama, di dalam kereta Tengku Firash, Dian senyum menggoda. Tadi dia sempat
memandang ke luar dan ternampak kereta Nufah diparkir berselang dua buah
kereta daripada kereta Tengku Firash.
Keluar dari kereta, tangannya terus memaut lengan Tengku Firash.
“Nak buat apa kat
sini?” Mulut menyoal tapi kaki tetap juga melangkah, menurut.
“Bunga telur. You kan dah janji nak berterus terang
dengan Nufah. Putuskan pertunangan you
all dan kahwin dengan I. You
jangan mungkir janji pula. Tarikh kahwin kita tak sampai sebulan pun lagi.
Bunga telur belum cukup lagi ni,” rajuk Dian. Sudah pasti dia maksudkan tarikh
perkahwinan Nufah dengan Tengku Firash. Dia yakin, dia yang akan menggantikan
Nufah nanti.
Tengku Firash
melepaskan keluhan. Dalam hati timbul keraguan. Dia sebenarnya belum tetap
pendirian lagi. Hatinya masih sayangkan Nufah. Dalam masa yang sama, dia tidak
mampu menangkis godaan Dian. Dia tersungkur mengikut hawa nafsu. Tidak dapat
melepaskan diri, terpaksa bertanggungjawab di atas perbuatannya. Ini bererti
Nufah terpaksa ditinggalkan. Tengku Firash bingung. Tidak mampu untuk
membantah.
Mata Nufah terpaku
melihat pasangan yang sangat dikenalinya. Seorang tunang dan seorang lagi
sepupu yang selama ini dianggap kakak sendiri. Hatinya saat ini seperti kaca
retak seribu. Menanti masa untuk berderai. Namun dia tidak mampu menangis,
kolam air matanya kering. Lama dia
memandang sehingga tubuh mereka berdua hilang di dalam kedai tersebut.
Tarikan tangan
Puan Rosiah menyedarkannya.
“Mama... .” Hanya
sepatah kata saja terpancul di bibirnya.
Tanpa senyum, Puan
Rosiah mengusap lembut bahu anak gadisnya itu. Menyedarkan Nufah yang dia tidak
bersendirian. Jika tadi naluri keibuannya masih ragu-ragu, kini dia faham drama
yang sedang dilakonkan Dian. Semalam mungkin tak sengaja. Tapi hari ini, Dian
tahu mereka akan datang ke sini, jadi dia sengaja membawa Tengku Firash
bersama. Mahu menunjukkan hubungan mereka lebih daripada hubungan kerja.
Nufah masih lagi
tergamam. Dalam keliru dia cuba mencantum dan mencernakan apa yang
berlaku. “Dua hari lepas mama dah
terserempak dengan mereka.”
Berat mahu
percaya. Kedua-duanya penting buat anaknya, tetapi kenyataan di hadapan mata,
tidak dapat dinafikan lagi.
“Kenapa mama tak
cakap?” bisik Nufah bertanya. Bibirnya digigit kuat. Sakit tetapi tidak sesakit
hatinya saat ini.
“Mama tak tahu
hubungan mereka, tapi bila kakak cakap mereka bekerja bersama mungkin mama yang
salah faham. Hubungan anak muda sekarang ni mama tak faham sangat. Sebab itu
bila kakak kata tengah Whatsapp Dian, mama agak, tentu dia akan datang bersama
Firash jika betul mereka ada hubungan. Dian tak akan biarkan Firash mengahwini
kakak.”
Nufah diam. Dalam
mesejnya di Whatsapp tadi, tidak pula Dian memberitahu akan datang ke sini.
Tapi hatinya berharap Dian muncul, sebab sudah lama mereka tidak berjumpa.
Rupa-rupanya Dian ada rancangan lain. Sudah tentu Tengku Firash pun tahu dan
ikut skrip yang Dian rancangkan. Nufah menghela nafas berat. Terasa ruang udara
di dalam paru-paru sesak sehingga membuatkan dia kelemasan. Pengkhianatan ini
seperti pukulan KO. Menghentam dari
segenap sudut, membuatkan dia tersungkur tanpa belas kasihan.
Dia tidak tahu
bila dia berbaring di dalam biliknya.
Renungannya
kosong. Terdengar pintu bilik ditutup. “Apa yang telah berlaku?” Sayup-sayup
terdengar suara abah menyoal.
Nufah pejamkan
mata. Tidak mahu mendengar mahupun mengambil tahu apa yang sedang terjadi di
sekelilingnya. Dia mahukan ketenangan.
Ulasan
Catat Ulasan