Nufah Bab 6
![]() |
Untuk pembelian, boleh klik di sini |
“HELLO mummy...”
“Apa yang telah
berlaku ni, Firash? Keluarga Nufah datang memutuskan pertunangan kamu. Firash
tahu tak, lagi sebulan majlis nak langsung. Mana mummy nak letak muka ni?” Syarifah Manora terus menyerang.
Tengku Firash
terkedu. Hatinya berdebar. Rasa tidak enak. Dia panik.
“Mummy kejap lagi Firash call balik.” Talian diputuskan. Nombor
Nufah ditekan.
‘Nombor
yang anda
dail tiada
dalam
perkhidmatan. Terima kasih.’
Tidak puas hati,
Tengku Firash dail sekali lagi. Jawapan yang sama diterima. Dicuba lagi, namun
tetap sama. Dian yang masuk ke dalam pejabatnya, tidak dihiraukan. Dia sibuk
mendail. Hampa. Hatinya cemas, walaupun dia tahu lambat laun dia perlu juga
berterus terang. Cuma dia tidak menyangka yang Nufah akan bertindak terlebih
dahulu.
Kemudian nombor pejabat pula didail.
“Nufah please,” pintanya selepas panggilan
diangkat.
“Maaf Tengku,
Nufah telah meletakkan jawatan dengan notis 24 jam. Baru pagi tadi mamanya
datang hantar notis dan mengambil barang-barangnya,” beritahu orang di sebelah
sana.
Tengku Firash
terdiam. Talian diputuskan. Kemudian barulah dia memandang Dian di hadapannya.
“You beritahu Nunu tentang kita?” Mata
Tengku Firash tajam merenung Dian.
Hati masih lagi
mahu menafikan yang hubungan sulitnya terbongkar. Dia tahu, apabila keluarga
Nufah tiba-tiba datang memutuskan pertunangan, sudah pastilah rahsianya telah terbongkar. Jadi mengapa dia
perlu panik? Bukankah itu rancangannya? Namun egonya yang melangit itu mahu
dirinya yang menentukan hala tuju hubungan mereka.
Dian
terkulat-kulat. Kepalanya digelengkan.
“Kenapa?” Hati
cuba ditenangkan. Dian tahu Nufah nampak kelibat mereka hari itu. Namun dia
sengaja buat-buat bertanya. Riaknya tampak keliru dan tidak tahu apa-apa.
Tidak sampai hati
pula Tengku Firash mahu menuduh Dian. Wajah bingung Dian jelas menunjukkan dia
tidak terlibat dalam perkara ini.
“I tak dapat call Nunu. Telefon dia tutup. Cuba you call dia,” keluh
Tengku Firash.
Tanpa sebarang
kata, Dian terus menelefon Nufah. Suara operator kedengaran di hujung talian.
Dia geleng kepala.
“Tak dapat.”
“Jap, I call mak teh.” Dian terus menghubungi
Puan Rosiah. Talian bersambung tetapi tidak berangkat.
“Tak angkat.
Kenapa? Apa yang berlaku?” Dian didesak rasa ingin tahu. Melihat wajah gelabah
Tengku Firash, hatinya sakit. Nampak sangat Tengku Firash masih cintakan Nufah.
Tengku Firash
mengatur nafas. Hati berdebar, rasa takut dengan kehilangan Nufah.
“Keluarga Nufah
datang ke rumah orang tua I, putuskan
pertunangan,” beritahunya dalam helaan nafas berat.
Dian gembira dalam
diam. Nampaknya rancangannya berjalan lancar tanpa perlukan usaha lebih. Lantas
dia berjalan mengelilingi meja Tengku Firash, mendekatinya. Bahu Tengku Firash
dipicit perlahan dengan jari runcingnya.
“Mungkin selama
ini, dia tak cintakan you. Jadi dia
rasa lebih baik dia putuskan sebelum terlambat.” “Dia patut cakap dengan I,” tekan Tengku Firash, menahan marah.
“Sebenarnya dia
ada beritahu I, dia tak yakin dengan
perasaannya. Dia keliru. Tak tahu sama ada cintakan you atau tidak.” Dian mereka cerita, biar Tengku Firash semakin
meragui cinta Nufah.
Tengku Firash
geleng. Tidak mahu percaya tapi hatinya juga sangsi. Teringat selama ini dia
yang bersungguh-sungguh dalam hubungan mereka, selalu menunjukkan cintanya
dengan memberikan kejutan dan hadiah. Sebaliknya Nufah amat jarang menunjukkan
perasaannya. Malah selalu mengatakan hadiah dan kejutan yang diberikan itu
membazir.
“Kalau tak,
takkanlah dia sanggup memutuskan pertunangan ini. Lagi sebulan nak kahwin.
Patutlah dia lambat-lambatkan edar kad jemputan,” cerita Dian lagi. Cuba
mencucuk jarum kesangsian di dalam hati Tengku Firash.
Tengku Firash diam, berfikir.
Dian tidak puas
hati. “Sebab itulah I berani dekatkan
diri dengan you. Sebab I tahu Nunu tak ikhlas sayangkan you. I
tak nak you kecewa, sebab itu I minta tukar ke sini. Nunu selalu
bercerita dengan I tentang perasaan
dia. Jadi I tahu apa dia rasa.”
Wajah Tengku
Firash berubah warna. Ada riak marah dan kecewa terlukis. IPhonenya digenggam
kuat. Dia cuba menahan perasaan yang ingin meletus.
Dian paut kepala
Tengku Firash ke dadanya.
“Darling ... I kan ada. I tak akan
tinggalkan you. I cintakan you. Lagipun you dah janji hanya I yang akan jadi pengantin you
nanti. Nunu putuskan pertunangan ini, kita dah tak ada halangan lagi.”
Tengku Firash
diam, tidak mengulas. Bibir Dian dalam diam terjungkit ke atas. Puas hati.
Ulasan
Catat Ulasan