Uncle Doktor... Nak Tak Jadi Papa Niny? Bab 4ii


Dapatkan ebook di sini 
Novel pula di shopee (klik di sini) 


Lini...

Malam itu, Doktor Sam muncul sewaktu jarum jam menghampiri angka 11. Niny telah lama dibuai mimpi. Aku lega, tak adalah soalan bombastik yang keluar dari mulut Niny. Kalau tidak, entah di mana nak kusorokkan mukaku.

Tapi bila Doktor Sam muncul, misi bukan main senyum-senyum dan bisik-bisik mengusik. Aku jadi malu. Doktor Sam pula selamba sahaja, macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“Niny dah lama tidur? Badan dia panas lagi tak?” Doktor Sam menyoal prihatin. Dia perhati seketika Niny yang sedang tidur. Bibirnya mengukir senyum. Kemudian baru dia mengambil kertas catatan yang ada di atas meja di hujung kaki Niny. Dilihat dan dibaca sepintas lalu.

“Tak ada demam dah ni, petang tadi. Jadi esok pagi, boleh balik jika tak jadi apa-apa malam ni,” beritahunya. Aku perhati tingkahnya. Dia gosok kening dengan hujung jari, membuatkannya kelihatan sangat macho. Wajah tenangnya membuatkan aku rasa ingin terus melihat. Tapi aku sedar diri.

 “Dah makan?” Soalnya tiba-tiba. Cuba memecahkan keadaan janggal ini. Nasib baik tadi aku tidak terus merenungnya. Hati aku lega.

“Dah,” cepat aku jawab walaupun terkejut dengan soalannya. Segan. Kebaikan Doktor Sam membuatkan hatiku berdenyut tidak sekata. Rasa telah banyak sangat menyusahkan dia dengan perangai mengada-ngada Niny.

“Saya minta maaf doktor. Niny kacau hari rehat doktor. Sebab Niny, doktor bersusah payah datang sini.”

Doktor Sam pandang tepat ke wajahku. Aku gugup. Sehinggakan aku pulak terasa tersalah cakap. Tak sanggup menentang mata tajamnya, aku tunduk memandang wajah comel Niny.

“Tak. Niny tak mengganggu saya pun. Sebaliknya menyedarkan saya dan membawa saya kembali ke realiti. Sejak jumpa dia semalam, saya dah jatuh sayang pada Niny.”

Pengakuan itu membuatkan aku mengangkat muka memandang wajahnya kembali. Aku lihat dia menatap wajah lena Niny penuh kasih sayang. Aku terpegun melihatnya. Air muka Doktor Sam tika ini jelas menggambarkan kasih sayang seorang ayah.

Aku terleka seketika sehingga suara Doktor Sam mengejutkan ku.

“Ini saya ada bawakan McD. Makanlah. Saya tahu makanan hospital tak sedap.”

Aku pandang dia dan plastik di tangannya. Serba salah.

“Terima kasih doktor. Tapi saya tak makan malam.” Aku menolak dengan baik. Segan dan tidak mahu menyusahkannya. Lebih baik aku cipta jarak lebih awal.

“Tak makan malam ni, boleh makan pagi esok. Nanti boleh minta misi panaskan.” Melihat aku tidak mahu mengambilnya, dia letakkan di atas meja.

“Saya beli khas untuk Niny. Ingatkan dia tak tidur lagi,” katanya lagi. Aku pula yang terasa bersalah.

“Dia tunggu juga tadi. Tapi time tidurnya pukul 9.30 malam. Itu pun pukul 10 baru dia tidur tadi.” Aku cerita perkara sebenar. Tadi bukan main susah lagi mahu memujuk Niny tidur. Dia berkeras juga mahu menunggu uncle doktornya. Tapi sebab siang tadi tidak tidur, lama-lama dia tertidur sendiri.

“Saya di gym tadi. Nanti esok pagi saya datang lagi.”

Aku angguk.

Dan tak lama selepas itu, Doktor Sam meminta diri. Aku hantarnya dengan pandangan mata sehingga dia hilang di sebalik dinding.

“Tak lama lagi, bolehlah kita merasa nasi minyak Doktor Sam ni. Dah lama tunggu.” Terdengar usikan di kaunter jururawat di luar bilik.

Niny...Niny... Aku pandang Niny yang terlena, keluhan kecil terlepas dari bibirku.





Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6