Nufah Bab 9
![]() |
Klik di sini untuk pembelian |
“JAGA diri kakak baik-baik. Ada masalah telefon abah dan mama. Tak payah
risaukan keadaan di sini. Tahulah abah uruskan tok wan dan mak tok tu,” pesan
Encik Nukman.
Nufah angguk,
tanda faham pesanan abahnya. Sekarang ini dia tidak mahu lagi memikirkan
perkara yang menyakitkan hatinya. Dia mahu membersihkan hati dan juga jiwanya.
“Majlis tu tak
perlu dibatalkan abah. Nanti abah jumpa dengan Firash, suruh dia pinang Dian.
Biar mereka kahwin. Mereka dah terlalu jauh terlanjur,” pinta Nufah.
Walaupun hatinya
sakit, Dian itu tetap sepupunya. Sudah tentu maruah Dian, maruah keluarga
mereka juga. Bagaimana nanti kalau Tengku Firash tidak mahu bertanggungjawab?
Sedangkan mereka sudah seperti suami isteri. Tidak kira tempat melakukan
hubungan.
“Tahulah abah.”
Encik Nukman sudah tidak terkata apa lagi. Dalam terluka pun, Nufah masih lagi
memikirkan kebajikan orang yang melukainya. Dia sendiri kalau boleh, sudah
tidak mahu ambil tahu lagi tentang anak saudaranya itu. Sudah besar panjang.
Ada datuk yang boleh menjadi walinya. Jadi dia tidak perlu bersusah payah
menjaga kebajikan anak arwah abangnya itu.
Nufah senyum
pahit. Air muka abahnya yang kelat itu, jelas menunjukkan yang si ayah tidak
suka dia mengambil berat tentang Dian lagi. Walau apa pun terjadi Dian itu
pernah menjadi kakak kesayangannya. Biarlah dia mengalah sekarang daripada
dicurangi kemudian.
“Pergi naik. Bas
nak bertolak dah tu. Dah sampai, telefon abah. Nombor telefon baru ni hanya
keluarga kita saja tahu. Satu lagi abah nak pesan, jangan tinggal lama sangat
di rumah Tisya tu. Kakak kena faham, dia dah berkeluarga. Tak manis kalau kakak
menumpang lebih daripada tiga hari. Nanti cari hotel. Tak pun kakak boleh
berjalan keliling Semenanjung ni. Tunggu Ila habis exam dulu. Pasal belanja, nanti abah transfer duit.” Wajah Nufah berubah. Matanya berkaca-kaca. Pesan
abah itu amat terkesan di hatinya.
“Terima kasih
abah. Tak apa, duit saving kakak
banyak lagi. Bila lagi kakak nak gunakan,” beritahunya. Dia paut tubuh abahnya.
Air matanya tumpah di bahu abahnya.
Encik Nukman
menepuk-nepuk lembut belakang Nufah, seolah-olah memberikan kekuatan juga
restunya.
“Mana tahu, lepas
ni kakak akan jumpa lelaki yang betul-betul sayangkan kakak. Lebih hebat
daripada Firash tu. Tentang jodoh dan masa depan, kita tak tahu aturan Allah.
Jadi jangan lupakan Allah. Sentiasa mengadu dan berdoa kepada-Nya.”
Nufah mengangguk
laju. Tangan Encik Nukman ditarik dan disalamnya. Mujurlah juga mama tidak ikut
sekali menghantarnya. Kalau tidak, dua kali banjir stesen bas TBS ini.
“Dah tahu kakak
nak tinggal mana, bagi tahu Rul.” sampuk Nazrul. Lama dia menunggu abahnya habis
berpesan kepada kakaknya.
Nufah sengih. Dia
hulur tangan ke kepala Nazrul. Sengaja digosok kepala itu sampai kusut
rambutnya.
“Kakak tahu. Tapi
mama bagi ke?’ Kening diangkat sebelah. Air matanya sudah kering. Walaupun
senyumannya masih hambar, keprihatinan adiknya membuatkan hatinya terasa
hangat. Biar dua orang mengkhianati, masih ramai lagi yang menemani dan
menyayanginya.
“Tak bagi, Rul
pujuk sampai bagi,” balas Nazrul yakin.
Encik Nukman
geleng kepala. Tidak pula mengiyakan atau melarang. Nantilah sampai masanya,
barulah keputusan akan dibuat.
Lambaian terakhir
daripada abah mengusik jiwanya. Abah tidak banyak bercakap tetapi abah sentiasa
menjadi benteng melindungi anak-anaknya. Nufah menarik nafas panjang. Sebak di
dada mahu dihalau jauh-jauh. Tekad di hati telah bulat. Dia akan memulakan
hidup baru. Sukar baginya untuk melupakan apa yang terjadi, tetapi dia akan
belajar untuk merelakan serta pasrah menerima ujian tersebut seikhlas hati.
Wajah dipalingkan menghadap tingkap bas. Orang di sebelah tidak dihiraukan. Dia
tidak mahu diganggu.
“Are you okay, miss?” Suara garau lelaki
asing di sebelah mengejutkan Nufah. Mata yang basah dikeringkan dengan lengan
baju.
“I’m okay. Thank you,” balas Nufah tanpa
memandang wajah lelaki asing itu.
Dia tidak mahu
diganggu. Matanya ditutup dan mahu tidur. Dia berharap lelaki itu faham bahasa
tubuhnya.
“If you need anything, you
can ask me anytime. Or if you need my shoulder, I’m yours.” Lelaki asing itu masih lagi cuba
mengajak Nufah bercakap.
Nufah angguk. “Thanks, but no thanks.” Suaranya
mendatar. Namun ia tidak membuatkan lelaki asing itu terasa. Malah di sebalik
jambang itu, seulas bibirnya mengukir senyum.
Ulasan
Catat Ulasan