Kembalinya Cinta Ramadan Bab 9

Jangan marah tau... Ni last bab di blog.. 
Oleh sebab ramai permintaan, Saya akan bukan order ebook untuk cerita ini lepas raya nanti. Don't worry ready file. Jadinya korang akan dapat dalam masa 24 jam selepas pembelian.. Tunggu tau... 



“Kalau kamu belum jumpa lagi jodoh kamu, mak aji nak jodohkan kamu dengan Adah.”

Hariz terkejut. Dari cerita pasal Adah kemalangan, pusing ke soal jodoh pula membuatkan Hariz terkedu.

“Tapi..” Takkanlah sebab cakap-cakap masa kecil yang dia dah lupa tu, mak aji dan mak ngah nak paksa dia kahwin dengan Adah. Orangnya pun tidak kenal lagi.

“Jumpa dia dulu sebelum kamu nak tolak tu. Kalau memang tak tercuit langsung perasaan kamu tu, mak aji takkan paksa,” sambung mak aji tidak memberi peluang Hariz terus menolaknya.

Mak ngah angguk.

“Mak ngah dan mak aji bagi cadangan je. Adah pun tak tahu lagi rancangan kami ni. Kami bagi tahu Ariz dulu. Jumpa dia dan kenal dulu. Kalau rasa boleh terima Adah tu, kamu usahalah pikat dia.”

“Kalau rasa tak suka dan tak dapat terima, kami takkan paksa kamu. Lagipun kami faham, Adah tu bukan Adah yang dulu lagi,” ujar mak ngah pula.

Melihat wajah mak ngah dan mak aji penuh harapan itu, Hariz tidak jadi menolak lagi. Dia angguk.

“Ok baik, Ariz terima cadangan mak aji dan mak ngah. Tapi kalau Ariz rasa memang tak terbit langsung perasaan kat Adah ni, Ariz harap mak ngah dan mak aji jangan kecewa. Soal jodoh ni tak boleh nak paksa. Apatah lagi soal hati. Ini kebahagiaan Ariz.”

“Mak ngah faham. Kalau dah bukan jodoh kamu.”

Hariz lega. Jadi sekarang dia perlu kenal Adah dulu. Budak comel masa kecil dulu dia tidak ingat langsung dah.

“Tapi mak ngah, kenapa selama ini saya tak pernah jumpa Adah ni?”

“Mana nak jumpanya, dia balik sini, kamu tak balik. Sudahlah jarang balik, memanglah tak jumpa. Time raya pulak, kami balik raya ke kampung  mak ngah.”

Iya tak iya jugak.

Cuma Hariz tidak menyangka yang gadis yang ditunggu selama tiga tahun ni telah berada berhampirannya.

“Mak ngah balik dululah. Adah dan Nana tentu dah sampai rumah tu.”

“Terima kasih mak ngah untuk lauk pauk berbuka puasa ni.”

“Bukan mak ngah masak, Adah yang masak,” balas mak ngah sebelum berlenggang balik ke rumahnya.

Hariz memandang mak aji semula.

Mak aji senyum. Diambil bekas berisi lauk pauk yang mak ngah tinggalkan masuk ke dalam rumah.

Adah.. Ooo.. Adah..

Dia kena kenal Adah secepat mungkin. Hasrat orang tua ni kena cepat diselesaikan. Tidak mahu mereka terus berharap. Bila tak jadi berderai harapan, dia pula terasa bersalah.

Malam itu mereka bertiga pergi menunaikan solat terawih di masjid seperti biasa. Oleh kerana dua tahun tidak boleh berterawih di masjid, maka tahun ini masjid penuh sampai melimpah ke kawasan luar masjid. Masing-masing pakat mahu mengumpul pahala berterawih dan mengembalikan kemanisan bulan ramadan yang hambar tahun-tahun sebelumnya.

Selesai solat terawih, para jemaah menjamah moreh yang disediakan dan juga disedekahkan. Hariz tidak turut serta. Jadi dia mahu menunggu mak aji dan tok ayah di dalam kereta sahaja. Dia tidak memberi perhatian kepada keadaan sekitar tapi matanya tiba-tiba menangkap wajah yang terasa macam kenal. Sebab cahaya lampu yang samar-samar membuatkan Hariz mengambil masa untuk mengecam wajah manis itu.

Tumpuannya pada si dia yang bertelekung dan tengah melayan cakap teman di sebelahnya.

Wajah dan suara itu membuatkan Hariz berhenti melangkah menuju ke keretanya. Tiga tahun dia mencari dan menunggu, rupanya dia berada di sini.

“Abang Ariz,” tegur Nana gembira. Dia sengih nampak gigi.

Mata Hariz masih lagi memandang Wardah. Wajah gadis bertelekung putih itu nampak bercahaya. Cantik dan berseri. Terasa beban rindunya gugur.

“Nana?”

Nana sengih apabila Hariz menyebut namanya.

“Abang Ariz masih ingat lagi Nana?” soalnya teruja.

“Mak ada cakap Abang Ariz balik puasa kat rumah tok ayah.”

Hariz angguk. Matanya masih lagi melihat-lihat Wardah di depannya.

“Ha.. lupa pulak nak kenalkan. Kak Adah, ni Abang Ariz, cucu mak aji,” ramah Nana memperkenalkan mereka.

Adah senyum dan menundukkan kepalanya sedikit.

Lelaki ini macam asing dan tak asing baginya. Cucu mak aji dan tok ayah, jadi mungkin mereka sudah lama kenal.

Adah itu Wardah? Hariz terkejut. Gembira pun ya juga. Jadi selama ini Wardah menghilang sebab kemalangan. Hati terasa sebu bila kebenaran tentang kehilangan Wardah dulu terbongkar. Rupa-rupanya takdir yang memisahkan mereka. Namun takdir juga menemukan mereka sekali.

Hasrat mak ngah dan mak aji dengan sepenuh hati akan ditunaikan!

“Datang dengan apa tadi?”

“Dengan motor. Mak dan ayah pun naik motor jugak.”

Adah diam mendengar perbualan mereka. Manakala Hariz pula memerhatikannya dalam diam. Dia teringat satu ungkapan, ‘bila dah jodoh takkan ke mana. Akan bertemu juga.’

Ungkapan itu terasa sangat benarnya. Tiga tahun tanpa khabar berita, dia temukan Adah di sisi tok ayah dan mak aji. Terasa menyesal jugak kerana lama tidak balik kampung. Kalaulah dari awal dia rajin balik melawat, mungkin lebih awal lagi dia akan menemui Wardah.

“Ariz... tok ayah dan mak aji tunggu kamu kat depan masjid tu, patutlah tak nampak tadi,” tegur mak ngah.

“Nana pergi panggil tok ayah dan mak aji nuh.”

Nana angguk. Tidak tunggu lama dia telah berlari masuk ke dalam masjid mencari mereka.

“Ariz dah kenal dengan Adah ni?”

Hariz angguk dan senyum bermakna.

Mak ngah angkat kening.

“On mak ngah.” Balasan Hariz itu mengundang teka teki dalam hati Adah.

On apa?

Mak ngah pula angguk. Dalam masa yang sama dia nampak Nana bersama mak aji dan tok ayah mendekati mereka.

Wajah mak ngah berseri, dia tidak sabar hendak memberitahu mak aji jawapan Hariz tadi. Nampaknya rancangan mereka akan berjaya.

“Jomlah kita balik. Esok petang kita berbuka puasa bersama-samalah mak aji,” saran mak ngah.

“Molek jugak tu. Kita-kita je berbuka puasa dulu. Minggu depan yang jauh nak balik berbuka pulak.”

Adah tidak masuk campur dalam perbualan mereka. Dia tidak selesa kerana mata Hariz asyik singgah kepadanya.

Tidak lama berbual di situ, mereka berpamitan untuk pulang. Nana naik motor bersama Adah, mak ngah dengan pak ngah. Tok ayah dan mak aji naik kereta bersama Hariz. Hariz memandu perlahan, mengikut mereka di belakang.

“Ariz dah kenal Adah, macam mana orangnya? Okey tak?” suara mak aji memecah kesunyian dalam kereta.

Hariz memandu tetapi fikirannya melayan kepada Adah yang membawa motor di hadapan. Dia mengimbas kembali Wardah tiba-tiba menghilangkan diri dulu.

“Mak aji, selepas Adah keluar dari hospital, mak ngah terus jaga ke?”

“Ya. Semasa di hospital pun mak ngah sekeluargalah yang berulang alik dan bergilir-gilir melawat Adah. Keluarga sebelah bapak Adah tidak pedulikan Adah langsung. Kalau tak salah mak aji, sekali je bapak dia datang melawat. Lepas tu tak ada dah. Konon nak jaga hati keluarga dia tu.”

Hariz angguk. Timbul keinginan untuk menjaga gadis itu selepas ini. Tiga tahun dia menunggu, bertemu Wardah kembali ketika di bulan ramadan dan di depan masjid juga membuatkan hati Hariz tidak ragu-ragu menerima jodoh yang mak aji aturkan.

“Selepas ni Ariz nak jaga Adah mak aji. Ariz nak angkat dia sebagai isteri Ariz,” beritahu Hariz penuh yakin.

Mak aji memandang tok ayah. terkejut mendengar kata-kata Hariz itu tapi dalam masa yang sama dia gembira. Alhamdulillah rancangannya dengan mak ngah berjaya.

Tapi apa yang membuatkan Hariz tiba-tiba setuju?



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6