Kembalinya Cinta Ramadan bab 4

Salam Ramadan semua.. 




Seawal tujuh pagi Hariz telah bergerak menuju ke rumah Wardah. Dia tidak mahu terlewat walaupun seminit. Malam tadi, dia tidur lena bertemankan Wardah di dalam mimpi. Dasyat sungguh penangan Wardah, pertama kali bertemu, dia telah pun muncul di dalam mimpinya. Mereka bahagia. Wardah dan dirinya berkongsi hidup dan mempunyai empat orang anak. Wardah seorang isteri yang amat romantik. Memanjai dirinya dengan penuh cinta dan kasih sayang. Oleh sebab itu selesai bersahur dia terus bersiap ke masjid menunaikan solat subuh. Dipanjatkan doa agar pertemuan demi pertemuan tercipta nanti. Dipinta juga agar mereka ditakdirkan hidup bersama.

Jadi tepat jam 7.30 pagi dia membunyikan hon di hadapan rumah Wardah. Saat gadis itu muncul di sebalik pintu rumahnya, Hariz tidak berganjak memandangnya. Dia dapat merasakan Wardah merasainya. Langkahnya teratur menghampiri Hariz. Saat pintu kereta di buka, wangiannya terlebih dahulu menyapa Hariz. Wangian yang tidak keterlaluan dan dia menyukainya.

“Assalamualaikum.” Wardah memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Hariz membalasnya dengan senyuman. Saat wajah itu dipandang dari dekat, hati Hariz berdengup kencang. Ya Allah… cantiknya ciptaan-Mu. Di matanya, Wardah kelihatan amat cantik sekali. Jika boleh dia tidak ingin berganjak memerhatikannya. Namun air muka juga harus dijaga. Maruahnya perlu diletakkan di tempat paling tinggi. Dia akan bertindak sebagai seorang lelaki sejati apabila benar-benar pasti Wardah itu wanita terpilih untuknya.

Suasana sepi di dalam kereta terisi dengan celoteh Dj di corong radio. Sesekali dia menjeling ke sebelahnya. Wardah kelihatan asyik melihat keluar. Seolah-olah berada di dalam dunianya tersendiri. Terpisah daripadanya yang duduk di sebelah.

“Hari ini sahur makan apa?” Soalnya memulakan perbualan mereka. Hariz teringin mendengar suaranya. Dia mahu mengambil kesempatan ini untuk mengenali dirinya.

“Air suam dan buah kurma.” Ringkas sahaja jawapan Wardah.

Ingat dia akan makan lauk yang sedap-sedap. Bolehlah Hariz memanjangkan perbualan mereka dan pura-pura meminta Wardah masakkan untuknya. Nampaknya tindakannya tidak menjadi.

Boleh tahan ke kalau tak makan? Nanti gastrik.” Hariz bersuara lagi cuba memanjangkan topik perbualan mereka.

Wardah membalas dengan gelengan.

“Sudah biasa. Kalau makan sakit perut. Cirit birit,” Jelas Wardah

“Kalau saya, tak dapat bertahan bersahur dengan kurma je. Perut orang melayu. Nak juga makan nasinya,” ramah Hariz bercerita. Dia berharap agar Wardah juga akan ramah membalasnya.

Namun harapannya tinggal harapan. Wardah Cuma tersenyum sedikit tanpa membalas kata-katanya.

‘Pendiam sungguh ke atau dia tak suka bersama dengannya. Pertama kali seorang gadis tidak teruja apabila bersama dengannya’ Hatinya berkata.

‘Mungkin dia telah mempunyai kekasih kot, sebab itulah tak suka berbual-bual dengannya’ Bisik hatinya lagi.

Harapan yang tinggi tadi mula jatuh merudum. Mungkinkah cinta yang dirasai semalam hanyalah biasan hati yang inginkan seseorang untuk disayangi? Namun hatinya tidak ingin berputus asa lagi.

“Awak kerja apa?” Soal Hariz lagi.

“Kerja bahagian pentadbiran,”

Susahnya nak buat dia buka mulut. Sepatah yang ditanya, sepatah juga yang dijawabnya.

“Oooo…. Lama dah bekerja kat syarikat tu?” Hariz menyambung lagi.

“Adalah dalam setahun.”

“Erk.. kereta saya tu macam mana? Bila saya boleh dapat balik?” Soal Wardah ingin tahu.

Nasib baiklah dia menyoalnya. Lebar senyumannya di dalam hati. Berbicara tentang kereta, semalam Husin beritahu, hari ini sudah boleh ambil. Tetapi dia masih lagi ingin memanjangkan pertemuannya dengan Wardah. Akalnya licik sedikit. Dia tidak mahu pertemuan ini singkat. Jika boleh dia ingin selamanya menatap wajah mulus itu.

Rasa ingin tahu tentang diri Wardah membuak-buak. Wardah lain dari mereka yang pernah dia kenal. Wardah bukan peramah. Wardah pandangnya dengan sebelah mata. Wardah tidak teruja apabila bersama dengannya sebaliknya dia semakin teruja.

“Mungkin seminggu kot. Lepas hantar awak ni baru saya tengokkan kereta awak tu.”

“Lamanya,” tanpa sedar Wardah mengeluh.

Mendengar keluhan itu membuahkan simpati di dalam hati Hariz. Tetapi sikap mementingkan diri sendiri melebihi rasa simpati itu.

“Kenapa? Kalau awak nak guna kereta, saya boleh pinjamkan kereta atau nak saya hantarkan pun boleh,” ujar Hariz prihatin.

Ditawarkan bantuan tetapi Wardah pantas menggelengkan kepalanya tanda dia tidak perlukan bantuan. Isyy… kenapalah aku rasa perempuan ni tak ada perasaan? Soal hati Hariz. Kemudian mereka sama-sama terdiam sehinggalah sampai di hadapan bangunan pejabat Wardah. Kenapa hari ini terasa cepat sangat sampai ke destinasinya, padahal hatinya masih lagi belum rela melepaskan Wardah.

“Awak balik pukul berapa,” soalnya.

“Pukul 4.30”

“Ok then.. tunggu saya kat sini pukul 4.30 ya,” arah Hariz.

“Tak apa.. tak apa Encik Hariz. Saya boleh balik sendiri nanti,” Jelas di wajah Wardah, dia amat keberatan.

Hariz geleng kepala dan mengangkat tangannya supaya Wardah berhenti berkata.

“Saya tunggu kat sini 4.30!” Tegas Hariz. Auranya sebagai pengarah syarikat jelas kelihatan. Jika sebagai ketua, dia tidak inginkan jawapan negatif, begitulah rasanya bila bersama Wardah. Dia Cuma inginkan jawapan positif tanpa sebarang bantahan.

Tanpa menunggu lama, kereta yang dipandu Hariz meluncur pergi. Namun sempat lagi dia memandang cermin pandang belakangnya. Dia dapat melihat Wardah memerhatikannya seketika tanpa perasaan. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6