Kembalinya Cinta Ramadan bab 5


+Saya dah ada kat bawah

Whatapps ringkas diterima di saat Wardah bersiap-siap untuk pulang. Saat matanya meneliti pesanan ringkas itu, bibirnya tanpa sedar mengeluh. Wardah sebenarnya tidak berharap Hariz datang menjemputnya walaupun itulah pesanan yang diberikan ketika menghantarnya pagi tadi. Ada rasa bersalah menyelubungi hati Wardah apabila merasakan dia menyusahkan lelaki itu. Mungkin kerana dirinya, Hariz terpaksa membatalkan rancangan atau program yang telah dirancang sebelum ini.

Namun begitu, jemari Wardah tangkas membalas pesanan ringkas tersebut.

Ok, tunggu jap, saya on da way turun

Fatin tersenyum-senyum apabila melihat ketuanya tergesa-gesa keluar dari biliknya.

“Kak dating ke hari ni?” Tanyanya dalam nada berbaur usikan.

“Isyy.. sibuklah budak nih. Tak adanya dating,” Cepat-cepat Wardah membalas.

Namun Fatin masih dengan senyum simpul yang bermaksud tak percaya, tetapi dia tidak pula menyoal lagi. Mereka berjalan beriringan menuju ke lift.

“Dating pun apa salahnya kak. Mana tahu berkat bulan puasa ni, dialah yang Allah hadirkan untuk jadi teman hidup akak,” Bisik Fatin ke telinga Wardah apabila mereka sama-sama berada di dalam lift.

Wardah menjeling. ‘Pepandai je budak ni buat spekulasi’

“Amin.. masin mulut awak nanti,” Ringkas Wardah menjawabnya. Jika dia menafikan atau berkata negatif, pastinya Fatin tidak akan terima dan akan sentiasa menggiatnya. Jadi untuk mengelakkan perkara ini menjadi usikan yang berpanjangan, Wardah mengiyakan saja.

“Amin.. saya akan sentiasa doakan akak bertemu dengan jodoh yang baik, sebab akak pun seorang yang baik”

“Aik.. tu bukan ayat membodek ke? Jangan risau akak dah submit proposal untuk duit raya nanti,” balas Wardah senyum.

“Eh.. iya ke kak Wardah… Alhamdulillah,” Rupanya ada orang lain yang turut memasang telinga di dalam lift ini.

“Iya.. doalah banyak-banyak agar bos luluskan proposal itu. Sebelum raya dapat”

“Amin” Bergema di dalam kotak lift dengan gabungan suara 5 orang di dalamnya. Wardah tersenyum nipis.

Keluar sahaja daripada lift Wardah terus ternampak Hariz sedang bersandar di keretanya mengadap ke dalam bangunan. Sebaik sahaja nampak kalibat dirinya, Hariz terus menghulurkan senyuman. Wardah dalam segan-segan turut membalasnya, manakala Fatin dan dua tiga orang yang melangkah beriringan turut tersenyum-senyum dan mendehem perlahan. Wajah Wardah perlahan-lahan menjadi merah.

Senyuman Hariz semakin lebar. Wardah segan memandangnya dan dia berjalan dengan menunduk sedikit.

“Maaf lambat”

“Tak apa, saya tunggu pun tak sampai sepuluh minit,” Balas Hariz.

“Jom,” Ajak Hariz sambil membukakan pintu untuk Wardah.

Tergamam Wardah seketika. Perbuatan Hariz itu menyentuh hatinya. Dalam teragak-agak Wardah menempatkan diri di dalam kereta. Pintu kereta terus ditutup dan Hariz juga turut mengambil tempatnya. Sekilas Hariz melihat Wardah dan tersenyum sebelum kereta dipandunya meluncur pergi.

Celoteh DJ radio mengisi ruang sepi di antara mereka.

“Hari ni nak buka puasa kat mana?” Soal Hariz memecahkan suasana sepi di dalam keretanya.

“Makan kat rumahlah” Jawab Wardah ringkas.

Hariz berkerut dahi.

“Bukan ke kita nak berbuka puasa bersama?” Soalnya lagi.

“Haa.. bila pula?” Soal Wardah pula. Kalutlah hatinya. Dia dah janji dengan housematenya.

“Kan tengahari tadi saya hantar sms, ajak berbuka sama dan awak jawab ok,” Beritahu Hariz.

Wardah berpaling melihatnya. Seketika dia berfikir. Memang tengahari tadi ada sms masuk, ajak berbuka dan dia telah menjawab ya tanpa melihat siapa pengirimnya.

 Pantas Wardah menyelongkar beg tangannya, telefon bimbit ditarik keluar dan terus dicari sms yang diterima tadi. Jumpa dan dia memandang wajah Hariz. Rasa malu dan segan bercampur aduk.

‘Duhai mata, kenapalah tak tengok betul-betul dulu kemudian baru balas.’

“Maaf, saya ingatkan sms tadi dari kawan saya. Silap saya,” Pohon Wardah.

Hariz tersenyum nipis.

“Jadi kita nak buka puasa kat mana? Awak nak makan apa hari ni?” Soal Hariz lembut.

“Tak kisahlah makan apa pun, asalkan halal,” Balas Wardah ringkas.

“Thai food awak suka?” Soal Hariz lagi.

“Suka”

“So kita berbuka dengan makanan Thai lah hari ni, esok kita makan western food pula,” Putus Hariz.

Kepala Wardah terus menegak apabila mendengar olahan Hariz itu. Esok? Takkanlah esok pun berbuka sekali juga? Alahai… makan tak kenyanglah aku nanti, keluh Wardah.

“Kenapa? Awak tak suka ke?”

“Tak.. eh bukan.. suka”

“Habis tu kenapa mengeluh?” Soal Hariz inginkan kepastian.

“Tak ada apa. Cuma rasa bersalah kerana menyusahkan awak. Kenapa awak tak hantar je saya balik rumah. Tak adalah awak susah macam ni,” Terang Wardah. Dia terasa ada bebanan besar di dalam hatinya apabila menerima pertolongan Hariz ini.

“Tak ada yang susah pun Wardah. Saya gembira melakukannya. Ada juga teman saya berbuka nanti. Jika tidak saya sorang-sorang berbuka kat pejabat ataupun masjid. Ada awak ni, senang hati saya. Jangan fikir awak menyusahkan saya. Saya yang besar hati menolong,” Jelas Hariz panjang lebar.

“Terima kasih Encik Hariz.” Wardah terharu. Hatinya tersentuh. Diam Wardah menyulam senyum. Hariz menggelengkan kepalanya.

“Tak perlu berterima kasih Wardah. Saya berbesar hati awak sudi meminta pertolongan dari saya malam tadi. Sekurang-kurang pagi ini, saya berteman ke pejabat,”

Ada getaran sedang menghubungkan dua hati. Ada satu rasa cuba bersatu. Wardah terdiam, semoga kebaikannya mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah s.w.t.

*****

Restoran Pha-Pha Tomyam.

Dalam diam Wardah memandang dan menganalisa wajah Hariz di hadapannya. Wajahnya bersih dan tenang, turut mengundang ketenangan di hati Wardah.

Siapakah dia?

Apakah pekerjaannya?

Sudah berpunyakah?

Hati kecilnya nakal menyusun soalan demi soalan berserta jawapannya. Ada rasa ingin tahu. Tapi...

Wardah sedarlah.. luka lama masih berdarah, kau tak serikkah?

Dia tampak kacak di matamu, namun adakah budi bahasa dan hatinya juga sekacak penampilannya?

Jangan mudah terpikat Wardah? Ambillah iktibar dari sejarah silam. Jangan sesekali mudah terpesona dan terperangkap di dalam cinta seorang lelaki tanpa mengetahui lebih jelas latar belakang. Hati ini sudah tidak tertahan menahan tusukan sembilu duka, Wardah. Jangan disakiti lagi.

“Tidak.. takkan sakit lagi...” Tanpa sedar Wardah terlepas bicara hati di mulut.

“Sakit apa?” Soal Hariz dengan dahi berkerut.

Wardah tersentak. Merah mukanya. Rupa-rupanya bicara hatinya terlahir di bibirnya.

Dia menyimpul senyum.

“Tak.. tak ada apa, tengah fikirkan benda lain tadi,” jelas Wardah.

Hariz senyum lembut.

“Apa yang Wardah fikirkan? Jika tak keberatan boleh kongsi dengan saya,” lembut tutur bicara Hariz.

Wardah ketawa kecil menutup kegugupan hatinya. bagaimana mungkin berkongsi cerita luka dengan seseorang yang baru dikenali. Apatah lagi lelaki yang melukai hatinya.

“Saya terfikirkan mak ayah di kampung. Sepatutnya minggu ini saya balik. Nampak gayanya terpaksa batalkan. Minggu depan baru balik,” beritahu Wardah. Matanya memandang keadaan di sekeliling restoran tersebut. Segan untuk bertentang mata dengan Hariz kerana tidak jujur menyatakan perkara sebenarnya.

Rahsia hati ini akan tersimpan rapi. Dalam asyik melihat-lihat sekeliling, mata tertangkap kehadiran dia yang pernah menghancurkan hatinya dulu. Keadaan mereka sungguh intim dan mesra. Wardah terkedu lagi.

“Mak ayah awak sakit ke?” Soal Hariz ingin tahu. Namun soalan itu terbiar sepi.

Hariz memerhatikan wajah Wardah yang berubah. Dia ingin tahu siapa yang dipandangnya, lalu dia Hariz turut sama memandang ke arah tersebut seketika sebelum kembali memandang Wardah. Wardah masih lagi tidak mengalihkan pandangannya.

“Wardah..”

“Wardah..”

Dua kali Hariz memanggil Wardah barulah dia mengalihkan matanya. Wardah menarik nafas seketika sebelum memberi senyuman tawar. A’aah hati kenapa masih lagi ingin menangis, sedangkan kisah duka itu telah tiga tahun berlalu.

Hariz memandangnya dengan penuh tanda tanya. Wardah terus memberikan senyuman.

Namun siapa sangka, seminggu berbuka puasa bersama, selepas itu Wardah hilang tanpa dapat dikesan.



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6