Kembalinya Cinta Ramadan Bab 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua... 




Bulan Ramadhan cuma hadir setahun sekali. Amatlah terasa rugi apabila tidak memenuhinya dengan bersolat terawih. Sebab itulah Hariz sanggup meninggalkan kerjanya seketika untuk bersama-sama menunaikan solat terawih. Walaupun tidak sempat melakukan sampai 20 rakaat, 8 rakaat pun jadilah. Ditambah lagi dengan solat witir 3 rakaat. Sempurnalah terawihnya.

Misi Hariz pada tahun ini adalah mencukupkan solat terawihnya 30 hari. Dia juga berazam untuk khatam al-Quran sekali di dalam bulan mulia ini. Jika tahun lepas, dia terlepas hampir separuh daripada malam-malam terakhir terawih kerana masalah yang berlaku di tapak projek di Miri. Jadi pada tahun ini, telah dipastikan semua kerjanya berjalan dengan lancar dan dia akan menggunakan sebaik-baik masanya untuk memuliakan bulan puasa ini.

Usai solat witir, dia terus tergesa-gesa menuju ke kereta. Dia ingin kembali ke pejabat dan menyambung menyemak proposal untuk projek pembinaan Hotel lima bintang di wilayah iskandariah, Johor. Sebaik sahaja pintu kereta dibuka, seseorang menyapanya.

“Assalamualaikum,” Dia mengangkat wajahnya dan memandang ke sebelahnya. Seketika dia terpegun. MasyaAllah cantiknya dia. Salam tidak lupa dijawb di dalam hati.

“Minta maaf encik, saya nak minta tolong tengokkan kereta saya ni. Dari tadi tak boleh hidup,” Suaranya amat merdu kedengaran di halwa telinganya. Hariz tidak jadi masuk ke dalam keretanya. Pintu ditutup dan dia mendekati gadis itu.

Wangian yang dipakainya membuatkan Hariz terus terpesona. Haruman yang memikat dan menyenangkan hatinya. Mulutnya berat untuk berkata-kata walaupun dia bukanlah seorang yang pendiam. Mungkin kerana panahan matanya menusuk sehingga ke kalbunya membuatkan Hariz kehilangan kata-kata.

“Lama dah bawa kereta ni?” Hariz menyoalnya. Seketika gadis itu bagaikan berfikir-fikir. Kesempatan itu diambil. Dipandang wajah cantik itu di dalam kelam. Matanya bersinar indah.

“Adakah ini jodoh untukku?” Hatinya berdetik. Kerana setiap kali berdoa, dia sentiasa menyelitkan doa agar ditemukan jodoh yang baik. Seorang gadis yang akan melengkapi hidupnya. Menjadi pendamping dan menjadi tempat dia mencurahkan kasih sayang.

“Sudah tiga tahun”

Suara gadis itu mengembalikan fikiran ke alam sedar.

“Baru takkanlah sudah rosak,” Bisik hatinya.

“Bila last services?” Hariz menyoal lagi.

“Bulan lepas”

“Hmmmm… bateri bila tukar?”

“Erk… tak tahu.”

Terus dipandang wajah di hadapannya, membuatkan dia malu-malu. MasyaAllah. Hatinya bergetar lagi. Indahnya ciptaan-Mu ini, Ya Allah. Jika dia yang KAU tentukan jodohku, maka KAU permudahkanlah urusanku, Ya Allah. Sempat lagi sepotong doa dilafazkan di dalam hatinya.

“Mungkin baterinya kena tukar. Tinggalkan kereta awak di sini, nanti saya minta kawan saya datang baiki. Mari saya hantar awak balik,” Hariz memberi arahan. Dia mahu gadis ini mengikuti. Hatinya terasa keselamatan gadis ini telah berada di dalam tangannya. Hariz akan menghantarnya. Takkanlah hendak ditinggalkan sendirian di sini. Hatinya mula terasa bahawa dia perlu melindungi dirinya.

Gadis ini terpaku di hadapan. Dia kelihatan segan dan malu. Bukan Hariz tak tahu, pasti dia segan kerana menyusahkan diri. Padahal tidak ada yang susah pun. Jika tadi dia ingin cepat-cepat kembali ke pejabat untuk menyiapkan kerjanya, kini terasa kerjanya sudah tidak menjadi berapa penting lagi. Keselamatan gadis ini yang lebih penting.

“Ambil barang-barang awak,” Arahnya.

Kelihatan teragak-agak dia mengikut. Tetapi Hariz terus melangkah ke keretanya dan memandangnya seketika. Jelas ternampak di wajah gadis ini, dia teragak-agak mengikutnya. Namun akhirnya dia mengambil barang-barangnya dan membuka pintu sebelahnya.

Di dalam perjalanan, keadaan hening. Suara Dj hitfm sahaja yang memenuhi ruang kosong itu. Hati Hariz tertanya-tanya, adakah dia seorang yang pendiam? Nampaknya dia terpaksa memulakan langkah. Jika tidak, ke mana dia perlu menghantarnya?

“Nak saya hantar awak kat mana ni,” Soal Hariz.

“Selayang Indah.”

Jauh juga dan kenapa dia bersolat di Masjid Wilayah ini. Mungkin dekat dengan pejabatnya kot. Hatinya bersoal jawab sendiri.

“Tinggal dengan family?”

“Tak… menyewa dengan kawan-kawan.”

Sedikit maklumat diperolehi. Tak apa, peluang yang ada, akan dipanjang-panjangkan. Mulut yang kurang bercakap itu akan bercakap nanti. Dia perlu tenang dan tidak mengambil langkah terburu-buru. InsyaAllah jika inilah jodohnya, sudah tentu akan dipermudahkan oleh-NYA.

Kunci kereta awak, saya pegang. Bagi nombor telefon. Apabila siap saya akan telefon.” Hariz tidak akan sesekali memberi peluang kepada orang lain yang menguruskan. Dia sendiri yang akan hantar kereta itu untuk dibaiki.

“Tapi encik. Lama ke kereta nak siap?” Soalnya. Jelas di dalam nada suaranya dia risaukan sesuatu. Mungkin kesukarannya hendak ke pejabat nanti, memandangkan kawasan perumahan yang didiaminya tidak ada bas lalu.

“Awak kerja kat mana?”

“Jalan Yap Ah Seng”

“Pukul 7.30 tunggu saya. Nanti saya datang ambil awak pergi kerja.” Tegas Hariz. Dia rela memberikan khidmat kepada gadis ini sambil mengambil peluang mengenalinya.

“Ek? Tak apa- tak apa encik. Saya boleh pergi kerja tumpang kawan saya nanti.” Beriya-iya dia menolaknya dan tentu sekali Hariz lebih beriya-iya darinya.

“Saya Hariz. Tak perlu berencik-encik.” Hariz memperkenalkan dirinya dan tidak lupa sebuah senyuman ikhlas diberikan.

“Terima kasih sebab menolong saya encik Hariz,” Dia tetap juga berencik-encik dengannya. Tak apalah, layan dulu. Bagus juga sebab Hariz tahu gadis ini bukan seorang yang mudah mesra dan melayani lelaki yang tidak dikenalinya.

“Pasal kereta saya nanti, tak perlulah susahkan encik Hariz. Nanti saya minta tolong sepupu saya tengok” Gadis ini cuba menolak lagi.

 “Perkara kecil saja. Saya boleh tolong uruskan bagi pihak cik,” Tetapi Hariz tetap bertegas. Bukan menyusahkan. Walaupun hatinya rela jika gadis ini mahu menyusahkan dirinya.

Lupa seketika bahawa mereka telah sampai di hadapan rumahnya.

“Bagi nombor telefon dan nama cik?” Hariz meminta. Jika tidak minta rasanya gadis ini pasti lupa memberikannya ataupun tidak ini memberi langsung.

Gadis ini serba salah. Kunci kereta telah berada di dalam genggamannya dan dalam terpaksa dia menyebutnya.

“016-3354 xxx, Wardah,”

“Wardah oo Wardah… kau telah mencuri hatiku pada pandang pertama” Hati Hariz mula menyanyikan lagi cinta.

Tanpa ingin membuang masa, Hariz berlalu dari situ. Tidak sabar menunggu esok kerana janji yang ditinggalkan tadi. Rasa hatinya spontan, mahukan mereka bertemu lagi. Jadi tanpa berfikir panjang, mulutnya menaburkan janji. 



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6