Kembalinya Cinta Ramadan Bab 6



Tiga tahun berlalu.....

Esok, umat islam akan menyambut bulan Ramadhan. Terimbas kenangan Ramadhan tahun lepas. Perkenalan singkat dengan gadis bernama Wardah  meninggalkan kesan yang sukar dipadamkan dalam hatinya. Seminggu mereka bersama dan tika itu hatinya telah pun memasang angan – angan agar seminggu itu berlanjutan sehingga hatinya menemui rentak berirama dengan hatinya.

Pertemuan mereka amat indah. Di kala orang bertasbih di dalam masjid, mereka ditemukan. Singkatnya masa bersama tidak menjadi ukuran. Namun mungkin pertemuan itu sebuah ujian buat hatinya, bukannya jodoh buatnya.

“Jauh termenung encik Hariz” teguran dari Wahida, setiausahanya mengembalikan Hariz ke alam sedar. Senyuman nipis diukir dan dia menyambut fail yang dihulurkan.

“Hari ini berbuka di mana?” Soal Wahida berbasa basi. Dia tahu kedua orang tua bosnya berada di Mekah. Khabarnya tahun ini mereka mahu menghabiskan masa beribadat dan menyambut raya di sana. Bosnya pula akan berangkat menyertai kedua orang tuanya seminggu sebelum aidilfitri. Heran juga Wahida. Apa hebatnya sambut puasa dan raya di mekah? Ada beza sangatkah?”

Hariz mengangkat kening.

“Entah... mungkin di kedai mamaklah.” Balasnya sambil menghulurkan kembali fail setelah disemak dan ditandatangan.

“Hurmmm... Apa kata kita berbuka puasa sama-sama? Saya pun sorang juga,” pelawa Wahida.

Sudah lama dia mencari peluang untuk berdua-duaan dengan ketuanya. Hari pertama bertentang mata, hatinya telah jatuh. Segala-galanya tentang Adnan Hariz amat berharga buatnya. Dua tahun menjadi setiausahanya, menjadi kelebihannya untuk lebih mengenali Adnan Hariz.

Hariz diam seketika. Bukan dia tidak tahu perasaan Wahida padanya. Tapi hatinya telah terikat pada Wardah  yang dikenali setahun lalu. Pertemuan singkat tidak bermakna, apa yang dirasakannya itu singkat juga. Sebaliknya sehingga ke hari ini, perasaan itu tumbuh subur seiringan dengan doa yang dipanjatkan agar mereka dipertemukan kembali dan bersama.

“Elok juga. Nanti awak ajak mereka kat luar tu sekali. Lupa sebenarnya saya dah janji hendak belanja berbuka semalam.”

Berubah air muka Wahida mendengarnya. Sentiasa ada alasan. Jika tak sudi, terus teranglah.

Sebaik sahaja Wahida melangkah keluar, Hariz menarik nafas lega. Wahida cantik dan bergaya. Boleh dikatakan menepati ciri-ciri wanita idamannya tetapi hatinya tidak terpikat. Tiada irama lagu yang mengujakannya setiap kali memandang wajah cantik setiausahanya. Sebaliknya Wardah juga yang membuatkan hatinya berirama lagu jiwa.

Wardah... saya tidak tahu apa berlaku sebenarnya. Tapi saya berharap walau di manapun awak berada, semoga Allah s.w.t melindunginya.

Sebenarnya dia hilang punca. Selepas seminggu kereta Wardah siap dan dipulangkan, Wardah sudah tidak ditemui lagi. menurut teman serumahnya Wardah balik kampung. Dicari juga di pejabat Wardah, kata pembantunya, Wardah tiba-tiba menghantar surat perletakan jawatan 24 jam kerana masalah peribadi. Selepas itu dia terus hilang. Namun nama Wardah tidak pernah hilang dari hatinya.

Tiba-tiba telefon pintar di atas mejanya bergetar dan berbunyi. Ada panggilan masuk.

“Assalamualaikum tok ayah.”

“Waalaikumussalam. Tok ayah mengganggu kamu ke ni?” tanya Haji Zakaria di hujung sana.

“Tak. Ariz pun tengah teringatkan tok ayah ni. Mummy dan daddy dah berangkat ke Mekah. Puasa dan raya kat sana,” beritahu Hariz.

“Dah tu, teringat tok ayah tapi tak reti balik kampung jenguk tok ayah.”

Hariz sengih sendiri. Dia garu kepalanya yang tidak gatal.

“Tahun ni semua dah boleh. Dah tak ada PKP lagi. Jadi tok ayah mahu kamu cuti sebulan puasa ni. balik berpuasa di kampung.”

“Tapi tok..”

“Syarikat kamu tu, tanpa kamu pun boleh beroperasi seperti biasa. Bukan tak ada internet atau telefon kat kampung ni. Semua di hujung cari. Jadi jangan cari alasan. Tak guna kamu bayar gaji beribu tapi tanpa kamu mereka tak boleh buat kerja.” Sebelum memberi alasan, Hariz dulu kena basuh dengan tok ayahnya.

Jadi dia tidak ada alasan untuk menolak lagi.

“Okey tok ayah. Bagi Ariz masa dua hari nak settlekan urusan syarikat. Lepas tu Ariz balik kampung temankan tok ayah sampai raya.”

“Hummm.. tok ayah tunggu kamu balik dua hari lagi,” tegas Haji Zakaria sebelum mematikan panggilan mereka.

Selepas panggilan diputuskan, Hariz termenung seketika. Dia mengeluh dalam diam. Sejak dunia dilanda covid-19 ni, prestasi syarikat terjejas. Mereka kehilangan hampir 30 peratus pendapatan dua tahun berturut-turut, walaupun begitu kewangan syarikat masih lagi stabil. Awal tahun ini syarikat sudah kembali on track.

Tok..

Tok..

Hariz melihat ke pintu pejabatnya. Teringatkan perbualan tok ayah dan sikap Wahida yang semakin berani, ada baiknya dia mengambil cuti lama menemani tok ayah di kampung. Soal syarikat tidak perlu dirisaukan kerana Luqman boleh menguruskannya sepanjang ketiadaannya nanti.

“Kontrak yang Encik Hariz minta tadi.” Wahida meletakkan kontrak yang baru dicetak sekejap tadi.

Hariz angguk.

“Saya akan ambil cuti panjang mulai Rabu ini. Jadi segala urusan syarikat nanti Luqman akan uruskan.

Wahida terkejut. Takkanlah kerana kata-katanya menyebabkan Hariz mengambil cuti lama tiba-tiba. Bibir diketap, dicuba menahan air mata dari jatuh. Sungguh dia kecewa dan terasa. Hina sangatkah cintanya.

“Encik Hariz akan bercuti sampai bila?” tanya Wahida dengan nada suara dikawal supaya tidak terkeluar perasaannya sebenar.

“Sampai seminggu selepas raya.” Selepas diteliti kontrak tersebut, diserahkan kembali kepada Wahida.

“Boleh proceed dan lepas tu serahkan kepada Luqman,” arahnya.

Kontrak tersebut disambut dan Wahida masih lagi tidak beredar.

“Ada apa lagi?”

“Petang ni jadi tak berbuka puasa Encik Hariz.”

“Jadi. Nanti awak uruskan. Beritahu semua staf saya belanja hari ini.”

Wahida angguk dengan perasaan bercelaru. Mahu saja dia booking berbuka puasa berdua dengan Encik Hariz sahaja tetapi kalau dia bertindak begitu sudah tentu Encik Hariz tidak suka dan imej baiknya akan rosak serta akan menutup peluangnya mendekati lelaki itu. Jadi dia kena sabar. Dia yakin suatu hari nanti Encik Hariz akan menerimanya. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6