Beautiful Jodoh; Prolog i

Bismillah...
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang...
Saya mulakan entri novel terbaru saya... Inshaallah akan diterbitkan dalam versi soft copy dan paperback nanti.. 

Untuk itu saya akan kongsikan bab-bab terawal di dalam manuskrip terbaru #BeautifulJodoh ini seminggu sekali...

 Jadi sesiapa yang menantikan buah tangan terbaru saya, boleh kongsikan entri ini  dan entri akan datang di mana-mana medsoc sebagai tanda sokongan. Terima kasih.. 



10 tahun lalu...

“Mama kita nak balik kampung ke?”

“Iya sayang. Kita balik jumpa atuk dan mak tok nak?” si ibu mengusap kepala anaknya bertocang dua. Wajah polos itu gembira mendengar jawapan mamanya. Dia suka balik kampung.

“Nak.. nak.. dah lamakan kita tak balik kampung? Ara rindu nak naik motor dengan atuk keliling kampung, lepas tu tangkap ikan dekat sawah padi.” Haura Nur mula berangan. Walaupun dia dibesarkan di bandar, namun hati kecilnya sentiasa teruja setiap kali balik kampung. Banyak benda baru yang boleh dilakukannya. Bebas. Tidak terkurung di rumah saja.

“Ara suka tinggal dekat kampung,” tanya mama. Mama menatap lama wajah comel Haura Nur, anak kecil yang sentiasa manja dan ceria itu.

“Suka. Setiap petang boleh jalan-jalan naik motor dengan atuk. Boleh bermain dengan kawan-kawan dekat kampung tu. Kat sini Ara jumpa kawan-kawan dekat sekolah je. Tak boleh nak keluar macam kat kampung tu.”

Haura Nur senyum girang. Dia memeluk tubuh kurus mama. Mama wangi sangat, dia suka bila dapat peluk dan cium mama. Mata dipejam. Hatinya dah cukup puas dan gembira dengan hanya memeluk mama saja. Asalkan bersama mama dia sudah cukup gembira. Ayah selalu sibuk bekerja dan jarang berada di rumah. Rasanya dah lama dia tidak berjumpa ayah namun dia sedikit pun tak kisah sebab dah biasa dengan kesibukan ayah.

Mereka pulang berdua saja menaiki kapal terbang. Atuk datang mengambil mereka. namun wajah atuk tidak gembira seperti selalu.

Rupa-rupanya mereka pulang ke kampung kali ini lama. Sangat lama. Ayah pula tidak pernah balik kampung. Telefon pun tidak. Mama mendaftarnya masuk sekolah di kampung. Dapat berjumpa kawan baru dan cikgu baru. Namun jauh di sudut hati kecilnya Haura Nur berasa ada sesuatu tak kena. Mama tak pernah lagi bercakap pasal ayah. Ayah pun tak pernah menghubunginya lagi. Nombor telefon ayah dulu pun sudah tidak dapat dihubungi. Mama banyak termenung. Mama tidak lagi memanjakannya.

“Kita dah tak balik ke rumah ayah ke mama?” suatu hari dia bertanya mama. Dia rindukan ayah dan Abang Imran Iman.  

“Tak. Sebab ayah sibuk dan tak ada masa untuk kita, jadi ayah minta Ara sekolah dekat kampung. Cuti sekolah nanti baru balik ke rumah ayah.” Kerana pujukan mama dia terpujuk. Kerana dia percayakan mama.

Namun mimpi indahnya tinggal mimpi indah. Selepas tiga bulan berada di kampung, suatu hari mama bersiap cantik-cantik dan mengikut atuk ke masjid.

“Mak tok, mama pakai cantik-cantik macam pengantin baru tu nak ke mana.”  Hati Haura Nur tak enak tapi dia masih lagi kecil untuk mengerti dunia orang dewasa. Terkebil-kebil matanya melihat mak tok. Mak tok tidak menjawab sebaliknya tangan tua itu mengusap lembut kepala Haura Nur. Matanya merah.

Bukan Haura Nur tidak memahami apa yang sedang berlaku, dia takut dia yang terlebih fikir sebab itulah dia memerlukan penjelasan dari mak tok. Malam tadi dia terdengar suara mama, atuk dan mak tok berbincang di dapur dengan suara rendah. Mungkin tak nak bagi dia dengar. Ketika itu dia sedang membuat kerja sekolah di hadapan tv di ruang tamu. Tetapi kerana rasa ingin tahu dia mengintai dan mencuri dengar perbincangan mereka. Dia terkejut mendengar perkataan cerai dan nikah semula.

Kemudian dia kembali ke ruang tamu dan nafas tercungap-cungap. Dia masih lagi dala keadaan terkejut, tubuhnya menggigil. Masa itu tak siapa pun yang sedar keadaan dirinya. Ketika itu dia sedar dan yakin mama dan ayah telah bercerai. Ayah telah berkahwin lain dan mama bakal berkahwin juga. Disebabkan terkejut dengan kebenaran yang baru diketahuinya, malam itu dia tidur dengan air mata. Haura Nur takut memikirkan masa depannya. Dia sedar kini dia sudah tidak punya keluarga lagi.

Saat mama melangkah turun tangga, saat mama berpaling melihatnya dengan mata berkaca dia tahu, dia akan kehilangan mama. Namun dia kaku dan renungannya kosong. Itulah kali terakhir dia melihat wajah cantik mama tersenyum penuh kasih sayang memandangnya.

Selepas itu mama mengikut suami barunya tanpa membawanya bersama. Dia mulai menyesuaikan diri dengan kehidupan baru dan belajar berdikari. Sikap manja dan peramahnya hilang.

Dia anak yang dibuang dan ditinggalkan. Tidak punya keluarga. Hidup atas balas ehsan atuk dan mak tok. Kerana takut ditinggalkan lagi, dia mulai belajar membuat kerja rumah, menolong meringankan kerja atuk dan mak tok. Walaupun hidupnya tak susah tapi dia sedar diri, hidupnya menumpang di sini. Air mata tumpah disimpan dan dipendam sendiri.


 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

  1. Wow!!! Satu cerita yg menarik shima xberani nk ulas lbh2 coz baru bab permulaan

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6