Beautiful Jodoh ; Bab Satu



“Assalamualaikum…” Zakiah muncul di muka pintu. Wajahnya merah, dia termengah-mengah mengambil nafas. Semput sebab dia berlari naik tangga tadi.

“Waalaikumussalam..” serentak salam dijawab oleh penghuni bilik 213 itu. Masing-masing berpaling memandang Zakiah di muka pintu.

“GOSIP PANAS!  Korang nak dengar tak?” Zakiah cuba menarik perhatian kawan-kawan sebiliknya. Dia yakin dia orang pertama tahu tentang gossip panas tersebut.

“Dah basi,” balas Latifah selamba. Mata dijuling ke atas. Dia yakin gossip panas yang Zakiah maksudkan itu tentang Ferran Atiq dan Anis Syatilla.

“Apa yang basi. Aku yakin korang tak tahu lagi gossip ni,” balas Zakiah yakin. Tak mungkin dia ketinggalan. Lagipun Ferran Atiq tu rakan sebilik kekasihnya, jadi apa berita terkini tentang Ferran Atiq mesti dia tahu dulu.  

Naemah sengih. Nampaknya Zakiah yakin sangat dia yang tahu dulu. “Kau cakap apa dia?” dia angkat kening.

“Ferran dan Anis dah putus!” beritahu Zakiah bangga. Mesti kawan-kawannya tak tahu lagi.

Latifah buat isyarat tembak dengan tangan kanannya. “Pang.. KO.” Kemudian dia ketawa sambil geleng kepala. Dah agak dah tadi tapi Zakiah dengan yakinnya cakap dia yang tahu dulu.

“Korang dah tahu?” Soal Zakiah tercengang-cengang. Mana boleh!

Semua yang ada dalam bilik itu angguk. Semua senyum dengan kening tergedik-gedik sebelah.

“Kau yang selalu ketinggalan,” sindir Naemah selamba sambil mengunyah Mr Potato.

Haura Nur sengih dan menjadi pendengar sahaja. Dia ketawa apabila melihat riak tak puas hati Zakiah. Cerita tentang Ferran Atiq, sebenarnya dia yang paling tahu dan biasanya jadi yang pertama. Dia sentiasa mengikut rapat segala cerita tentang Ferran Atiq. Dia tahu segalanya tentang Ferran Atiq. Dan dah lama dia menjadi pemerhati setia dalam diam. Jadi jika ada cerita hangat tentang Ferran Atiq dia yang lebih tahu dulu. Tak ada sesiapa pun tahu tentang rahsia ini.

“Mana boleh korang tahu dulu. BF aku sebilik dengan Ferran pun baru tahu,” Zakiah meluahkan perasaan tidak puas hatinya. Beg sandangnya dihempas ke atas kerusi. Geram. Selalu dia jadi yang terakhir.

“Kau ada bukak telegram tak?” Naemah bertanya dengan kening tergedik-gedik. Jarang membuka apps telegram, menjadi sebab Zakiah selalu ketinggalan gosip-gosip panas kampus. Mereka pula dalam sehari mesti ada sekali membuka apps telegram untuk membaca gosip kampus di group ‘TERKINI DAN SENSASI, JOM KITA TERJAH!

Zakiah tarik telefonnya keluar dan dibuka apps telegram. Dahinya berkerut.

“Semalam lagi?” bisiknya apabila melihat hampir seribu mesej tidak dibaca di dalam group tersebut.

“Iya… kaukan tak suka buka telegram. Sebab itulah ketinggalan. Kami ni setiap hari mesti bukak sebab lecturer selalu bagi nota kat group telegram ni.”

Zakiah mengeluh dan mendengus. Dia terduduk lesu. Tak puas hati betul bila dia yang paling ketinggalan.

“Kenapa mereka putus?” soal Naemah tiba-tiba. Ini yang dia nak tahu. Ferran Atiq dan Anis Syatilla sama cantik dan sepadan. Sayang kalau terputus di tengah jalan.

“Sebab minah tu fake.” Selamba Latifah menjawabnya dengan riak menyampah. Sejak dari dulu lagi dia tak sukakan Anis Syatilla tu.

Mereka yang ada di dalam bilik itu saling berpandangan. Memang mereka tahu sejak minggu orientasi dulu, kalau Anis Syatilla berada di sebelah Latifah, Latifah akan tukar tempat. Kalau satu kumpulan, dia sanggup jumpa fasilitator untuk menukar kumpulan. Tak nak langsung dekat dengan Anis Syatilla itu. Sanggup kena denda asalkan jangan diletakkan dia bersama gadis itu. Semasa minggu orientasi dulu, sampaikan fasilitator dah tak kuasa nak denda lagi dan akan pastikan mereka diasingkan terus. Tapi reaksi Anis Syatilla sebaliknya, sentiasa menjadi seorang yang bertimbang rasa dan pandai mengambil hati fasilitator ketika itu. Latifah pula dilabel siswi bermasalah.

“Tahu tak suka dia tapi janganlah tunjuk sangat. Ramai kawan dia kat sini.  Tapi kenapa kau kata dia tu fake?” soal Haura Nur ingin tahu.

Nak juga tahu apa yang Latifah maksudkan fake tu. Sebab dia tengok minah tu cantik je. Muka flawless. Berfesyen kena pada tempatnya. Maklumlah model sambilan. Setakat ini tak ada yang dia nampak buruk. Tapi iyalah, belakang yang tak nampak, tak tahu kan.

Zakiah, Naemah dan Latifah seolah-olah berpakat memandang Haura Nur. Terkejut. Selama ini Haura Nur tak banyak cakap, jarang sekali nak ambil tahu pasal orang. Tapi petang ni, dia seperti menjadi orang lain, tiba-tiba banyak cakap.

“Dia tu bukannya baik sangat. Pemalas hangit. Nampak cantik di luar tapi pengotor. Suka ambil kesempatan ke atas orang lain. Pandai bermuka-muka. Suka buli orang dan bila buat salah pandai cari alasan mengelakkan diri dan menyalahkan orang lain.” Latifah senaraikan satu per satu sikap buruk Anis Syatilla.

“Dia pernah rampas pak we kau ke?” tiba-tiba Zakiah bertanya soalan cepumas.

Buruk sangat Anis Syatilla ni di mata Latifah. Jadi mesti ada cerita di sebalik kebencian Latifah itu. Haura Nur dan Naemah angguk. Mereka pun ingin tahu juga. Sejak tinggal sebilik, nama Anis Syatilla paling pantang disebut. Latifah akan terus tarik muka, tak pun memakinya.

Latifah diam. Dia tarik nafas.

“Anis tu anak tiri ayah aku. Mak dia janda gatal merosakkan kebahagiaan kami sekeluarga. Mak dia goda ayah sampai kahwin.  Mula-mula mak aku pasrah, ada ayah aku suka dan dah nikah, jadi terpaksa terima. Mula-mula itu mereka baik tapi rupa-rupanya mak Anis ni pandai berlakon, depan ayah aku bukan main lagi buat baik dekat mak aku. Pendek kata pijak semut pun tak mati. Tapi dia pandai dalam masa yang sama dia masuk jarum supaya ayah aku jadi tak benci kat mak aku.”

 Seolah-olahnya kalau ada benda yang berlaku, semuanya sebab mak aku cemburu. Ayah aku pula percaya bulat-bulat apa dia cakap. Layanan ayah semakin berat sebelah sampailah ayah jarang balik ke rumah mak. Tapi mereka berkahwin tak lama pun, dalam tiga tahun ayah aku jatuh sakit dan meninggal dekat rumah mak Anis.”

“Selepas ayah aku meninggal, segala harta peninggalan ayah aku semua jatuh dekat tangan mak dia. Tapi mujurlah insurans ayah aku atas nama mak aku, mereka tak tahu. Jadi dengan duit insuran itulah mak aku memulakan hidup baru di kampung mak.”

 “Aku ingatkan dah tak jumpa mereka lagi. Rupanya kecik dunia ni, jumpa kat universiti. Sebab itu aku bencikan dia.” Panjang Latifah bercerita.

Air matanya menitik apabila teringat maknya di kampung. Bersusah payah membuka gerai menjual nasi lemak pagi-pagi untuk mencari duit, menanggung dia dan adiknya.

Haura Nur, Naemah dan Zakiah terdiam. Tak disangka di sebalik senyuman Latifah selama ini rupanya ada kisah duka yang terpendam. Memang patutlah dia benci sangat dekat Anis Syatilla itu.

“Paling aku tak boleh lupa mak dia membiarkan kami adik beradik di luar rumah ketika ayah aku sedang nazak. Kami tak sempat melihat ayah buat kali terakhir.” Latifah lap air matanya.

Kejadian itu seperti baru semalam terjadi. Tengok saja muka Anis Syatilla dia teringat kekejaman mak dia lakukan. Senyuman sinis Anis Syatilla penuh kemenangan apabila dengan bangga mengusir mereka sekeluarga. Dia tak boleh lupa sampai sekarang. Rasa mahu dikoyakkan mulut minah tu biar senget dan herot. Biar dia tahu hidup ini tak selalunya akan berada di atas.

Haura Nur, Zakiah dan Naemah mendekati Latifah. Mata masing-masing merah. Terkejut dalam masa yang sama bersimpati dengan Latifah. Walaupun tidak merasai tapi mereka memahami apa yang telah Latifah lalui.

Haura Nur memeluk Latifah. “Kau tabah dan kuat. Kau insan bertuah.”

“Aku yakin Allah taala akan membalas setiap perbuatan jahat mereka. Orang jahat tak selamanya berjalan mendongak ke langit. Sampai masa Allah Taala akan tarik balik segala nikmat tak berkat itu.” 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6