Beautiful Jodoh ; Bab Tiga


Pesan Saya ;  Jika cerita di blog ini menarik, boleh share link di mana-mana medsoc. Saya berbesar hati dengan sokongan korang semua...

Novel ini akan dibuka Pra Tempahan Pertengahan Bulan Ogos 2021 nanti... Nantikan.. Inshaallah..




“Tunggu siapa lagi?” tanya Haura Nur.

“Kawan abang. Tadi abang datang jumpa dialah. Dia balik kolej kejap, ambil barang abang.”

“Siswa ke siswi?” Haura Nur menyoal macam polis pencen. Hati dah terasa masam.  

“Siswa Ara, lelaki. Nanti Abang Im kenalkan kat Ara, boleh dipertimbangkan jadi bakal suami,” usik Imran Iman.

Haura Nur menjeling dengan riak muka tak kuasa nak layan.

Sejak mereka berjumpa semula, sikap si adik banyak berubah. Bukan budak manja lagi tapi budak cepat baran. Tidak peramah dan tak friendly lagi. Dia rindukan Ara yang dulu. Yang manja, banyak cakap, mudah senyum dan sentiasa ketawa.

“Nasib baik siswa. Kalau siswi, Abang Im makan dengan dia jelah. Ara tapau balik makan kat bilik,” ugut Haura Nur. Dia tak suka ada perempuan lain bila makan bersama abangnya. Bakal kakak ipar dia pun kena dapat kelulusan daripada dulu. Kalau tak dengan Imran Iman sekali dia boikot.

“Araa... Araaa.. tak nak bagi abang kahwin ke?” usik Imran Iman. Sikap suka ikut kepala dia ni, tak pernah hilang walaupun bertahun tak jumpa.

Haura Nur cebik mulut. “Bukan tak kasi, tapi baik Abang Im cari perempuan sebaya dengan abang. Yang matang bukan pelajar universiti, terutamanya minah fake tadi. Paling penting Ara approved dia jadi kakak ipar Ara,” tegas Haura Nur.  

“Kenapa Ara tak sukakan Anis tu? Dia pernah sakitkan Ara ke?” soal Imran Iman ingin tahu. Dalam hati ada terdetik nak berkawan juga dengan Anis Syatilla tu. Orangnya cantik dan lembut tapi Haura Nur tak suka. Tak jadilah kawan sebab menjaga hati Haura Nur lebih penting dari gadis tadi.

Haura Nur tunduk. ‘Dia pernah rampas orang yang Ara suka,’ bisik hati kecilnya. Cincin dicari manis dipusing-pusing. Setiap kali hati geram atau sakit hati, cincin itu yang dipusing-pusing, turun sikit suhu panas dalam hatinya. Haura Nur tunduk melihat cincin yang setia di jari manisnya sejak mendapat keputusan cemerlang dalam PT3 dulu. Kata mak tuk hadiah sebab dapat semua A.

Tapi yang tu dia tak kisah sangat sebab mereka dah berpisah. Yang dia tak boleh lupa cerita Latifah macam mana mak Anis Syatilla menganiayai keluarganya.

“Mak Anis pernah merosakkan keluarga kawan Ara. Bukan itu saja, dia bolot semua harta peninggalan ayah kawan Ara, halau mereka sehelai sepinggang dari rumah mereka sehingga mereka terpaksa balik kampung dan memulakan hidup baru. Bayangkan mak Anis tu baru kahwin 2 tahun dengan ayah kawan Ara, pandai bermuka-muka dan berlakon sehingga ayah kawan Ara tidak mempedulikan hidup mereka. Ayah kawan Ara yang sihat tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah mak Anis. Sikit pun dia tidak memberikan peluang kepada mak kawan Ara berjumpa dengan suaminya buat kali terakhir. Abang Im rasa orang macam tu manusia baik-baik ke?” cerita Haura Nur panjang lebar.

Imran Iman terdiam. Dia terkedu mendengar cerita itu, seolah-olah kisah kawan Haura Nur itu lebih kurang sama dengan kisah keluarga mereka. Mungkin sebab itulah Haura Nur bersikap kurang sopan tadi.

“Ara tak nak Abang Im jadi macam ayah kawan Ara. Ara akui Anis tu cantik dan manis tap cantiknya berbisa, manisnya beracun. Jadi Ara harap Abang Im mampu menepis godaan dari dia. Kalau boleh jangan berhubung langsung dengan dia tu,” tekan Haura Nur. Dia tidak main-main dengan kata-kata. Itu peringatan untuk abangnya.

Imran Iman diam, menyerap cerita Haura Nur itu. Dahinya berlapis. Antara mahu percaya dan tidak. Wajah manis Anis Syatilla bergayutan di matanya. Mahu dinafikan, tak mungkin gadis manis. Lemah lembut itu berbisa. Masih ada lagi perasaan nak berkawan dengan Anis Syatilla itu. Mungkin sikap dia berbeza dari maknya. Mana tahukan?

“Abang Im tak percaya?” soal Haura Nur. bila melihat Imran Iman seolah-olah nak percaya dan tidak, pendek kata meragui ceritanya.

Dia tak boleh memaksa abangnya percaya. Lagipun cerita yang dia ketahui hanya dari sebelah pihak. Haura Nur angkat bahu. Terpulanglah. Percaya atau tidak dia sudah memberi peringatan.  

“Bukan macam tu. Abang tak rasa dia tu jahat. Lagipun Ara dengar cerita sebelah pihak saja. Kita kena dengar dari kedua belah pihak, barulah boleh menilai cerita itu betul ke tidak. Ataupun dari pihak ketiga.” Imran Iman menyuarakan pendapatnya.

Haura Nur geleng. “ Ara percayakan apa yang kawan Ara ceritakan. Dia tak ada sebab pun nak burukkan Anis tu. Tapi sebaliknya Anis semasa minggu orientasi dulu pernah buat kawan Ara tu tak disukai oleh fasilitator. Semuanya sebab Anis ni pandai berlakon jadi orang lemah lembut, tak pandai melawan. Jadi dapat meraih simpati orang. Sampaikan Ara pun hampir terpedaya juga. Tapi bila fikir balik macam tak logik Anis tu lemah tubuhnya sedangkan dia tidak ada sakit pun. Demam pun tak.”

“Abang Im nak percaya ke tak, terpulang pada penilaian Abang Im. Ara dah cerita hal sebenar. Jika lepas ni kalau Abang Im cari dia, Abang Im hilang adik abang ni semula. Dia manusia pandai berlakon,” tegas Haura Nur.

Selepas itu masing-masing terdiam. Imran Iman tidak membalas lagi kata-kata itu apabila melihat wajah penuh emosi Haura Nur. Dia tidak mahu hubungan baru baik ini, terputus semula.

“Assalamualaikum...” tiba-tiba ada suara lelaki menegur mereka.

“Waalaikumussalam.. sampai pun. Jemput duduk Ferran,” pelawa Imran Iman.

Ferran?

Ferran Atiq?

Hati Haura Nur seakan berhenti berdenyut. Tak percaya dia mendengar nama itu disebut abang. Haura Nur angkat muka mahu melihat dan memastikan dia tak salah dengar. Sebaik dia berpaling, tanpa sengaja matanya bertembung dengan mata Ferran Atiq. Mulut murainya tadi terus kelu dari berkata.

Imran Iman memandang adiknya, pelik. Tiba-tiba adiknya menjadi gadis melayu terakhir. Tapi diabaikan saja perasaan itu. Sudah terlalu biasa terjadi apabila berjumpa dengan Ferran Atiq.

Orderlah. Kau nak makan apa?” pelawa Imran Iman lagi.

“Neslo ais dan nasi ayam,” balas Ferran Atiq. Dia menjeling gadis yang duduk di hadapan Imran Iman. Diam dan tunduk memakan nasinya. Rindu. Dah lama tidak melihatnya dari dekat.  

“Ini barang kau. Aku dah reformat balik dan masukkan data terbaru. Selepas ini kita guna email saja. Jadi tak ada masalah data hilang lagi,” ujar Ferran Atiq sambil meletakkan external disk di atas meja.

“Ok. Baik bos!” Imran Iman sengih. Hati lega bila satu masalah dah selesai.

“Hurmmm...” Ferran tidak membalasnya. Sebaliknya dia melihat gadis di hadapan Imran Iman. Hati tertanya apa hubungan mereka. wajah ada iras. Mungkin adik atau sepupu, bisiknya mahu menyedapkan hati sendiri.

“Kenalkan.. Ini adik aku. Haura Nur.”

Haura Nur angkat wajahnya, senyum tanpa suara. Ferran Atiq melihat Haura Nur. Panahan mata mereka bertembung membuatkan wajah Haura Nur merah padma. Dah diagak tetapi hati tadi tidak tenang bila tidak mendengar dari mulut Imran Iman sendiri. Hatinya berasa lega dan lapang. Jadi Ara yang selalu Imran Iman sebut itu Haura Nurlah.

“Ara kenal Ferran ni?”

“Kenal.. Orang famous dekat kolej ni dan juga bekas kekasih Anis Syatilla,” balas Haura Nur sambil memandang abangnya dengan kening terjungkit sebelah. Biar Imran Iman ingat topik mereka bercakap tadi.  

Haura Nur tidak menyangka orang yang abangnya mahu berjumpa adalah Ferran Atiq. Jadi Ferran Atiq ni kawan abangnya? Tak pernah pulak dia tahu, lebih baik kata tak pernah ambil tahu.

“Anis tadi?” soal Imran Iman mahukan kepastian.

Haura Nur angguk.

“Tak percaya tanya dia sendiri,” balas Haura Nur. dia jeling Ferran Atiq di sebelah abangnya. Minta-mintalah apa yang keluar dari mulut Ferran Atiq seirama dengan kata-katanya tadi. Harapnya Ferran Atiq tidak buta menilai mana kaca dan permata.

“Anis Syatilla bekas kekasih kau? Betul ke?” tanya Imran terus terang. Dia telah mendengar cerita dari Haura Nur tadi. Mungkin dia boleh mendengar pandangan Ferran Atiq pula.

“Tak.” balas Ferran Atiq. Dah dia tak pernah bercinta dengan Anis Syatilla, jadi buat apa mengaku. Dia tak pernah sukakan gadis itu.

“Tipulah!” balas Haura Nur spontan. Air mukanya berubah. Terasa macam dia sengaja bawak cerita tadi. Haura Nur jeling abangnya. Bercinta bagai nak rak tapi tak nak mengaku. Selalu berdua ke sana ke mari. Gambar mesra mereka berlambak dalam telegram dan juga media sosial lain.

“Betul. Saya tak tipu. Saya tak pernah bercinta dengan dia. Nak putus macam mana? Hubungan kami setakat hubungan kerja saja.” Ferran Atiq memberi penjelasan.

“Saya tak percaya. Selama ini awak keluar berdua dengan dia ke sana ke mari bukan bercinta? Berdating?” Haura Nur tidak puas hati. Dia percayakan gossip tu tak salah. Bukan dia saja yang percaya, semua kat kampus ni percaya.

Imran Iman diam memerhati mereka berdua bersoal jawab. Pelik dengan cara mereka bercakap.

“Itu keluar ramai-ramai, bukan saya dan dia je,” balas Ferran Atiq jujur.

“Saya tak percaya.” Haura Nur membuka apps telegram dan menunjukkan gambar Ferran Atiq dan Anis Syatilla.

“Ni.. takkan ramai-ramai.”

Ferran Atiq angguk. “Betul. Ada orang crop gambar tu tinggal saya dan Anis je,” jawabnya.

Haura Nur terkedu. Nak percaya ke tak. Jadi selama ini gossip yang dia dengar tu cerita palsu?

“Jadi awak memang tak bercinta dengan dia? Gossip tu palsu?”

Ferran Atiq angguk lagi.

“Siapa yang memulakan gossip tu? Siapa yang crop gambar tu?”

“Anis,” jawab Ferran Atiq sepatah.

Terus Haura Nur memandang abangnya seolah-olah memberitahunya. ‘Dengar tu Anis bukan cantik tapi macam ular berbisa.’ 


 Pesan Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6