Bab 1 Aku Bukan Penggoda





Pintu pejabat Tetuan Aizat, Zamri & Co ditolak. Baizura melangkah masuk dengan yakin. Senyuman dihulurkan kepada orang pertama yang dilihatnya di kaunter penyambut tetamu. Kali pertama ke sini, dekorasi firma guaman ini mengagumkannya. Pemiliknya mempunyai standard yang tinggi dan berkelas. 

“Assalamualaikum. Saya dari Tetuan Ibnu, Ali & co. datang audit. Encik Nik Rizal ada?” Baizura senyum sambil memperkenalkan diri. 

“Waalaikumusalam. Cik Zura ya?” 

“Ya betul,” jawab Baizura mesra. 

“Encik Nik belum masuk lagi. Mari saya tunjukkan tempat dulu cik.” Gadis itu keluar dari kaunter penyambut tetamu. Senyumnya manis. 

“Baik. Siapa nama?” Ramah Baizura mahu berkenalan. Gadis itu mempersilakan dia mengikutnya masuk ke ruang pejabat. Mereka berjalan seiringan menuju ke bilik yang dikhaskan untuk Zura gunakan untuk melakukan kerjanya. 

“Azizah. Panggil Azie je.” 

“Okey Azie. Terima kasih. Ini Nadya, pembantu saya,” balas Zura sambil memperkenalkan teman di sebelahnya. Mereka berbalas senyum dan bersalam. 

“Ikut saya cik.” 

Baizura angguk. Kemudian mengikut Azie ke tempat kerja sementaranya nanti. Sempat lagi dia menjeling keadaan dalam pejabat itu. Rata-rata pekerjanya tekun melakukan kerja. tapi keadaan persekitaran kemas. Tidak seperti firma guaman milik bapa saudaranya, penuh dengan fail kes. 

“Sila masuk Cik Zura dan Nadya.”

“Terima kasih.” Baizura senyum. 

“Semua dokumen ini adalah mengikut senarai yang Cik Zura email tempoh hari. Jika ada lagi dokumen yang cik perlukan, cik panggil je saya. Interkom nombor 010,” jelas Azie sambil menunjukkan dokumen yang tersusun di atas meja. 

Baizura angguk. Dia belek dokumen di atas meja. 

“Nad, tolong check dulu fail ni. Mana yang tak ada senaraikan nanti kita minta.”

“Baik kak.” Tanpa membuang masa Nadya memulakan kerja. Kerja dengan Baizura tak adalah strict sangat. Cuma untuk permulaan dia kena memastikan setiap dokumen yang diperlukan ada untuk diperiksa nanti. Satu hal pula nak berulang kali minta. 

Baizura berpaling memandang Azie. “Terima kasih Azie. Nanti ada apa-apa lagi saya bagitahu.”

“Sama-sama,” balas Azie. 

“Biasanya Encik Nik Rizal masuk kerja pukul berapa?” tanya Zura sebelum Azie menutup pintu bilik mesyuarat itu. 

“Kalau tak ada kes di mahkamah dalam pukul sembilan dah sampai. Tapi hari ni ada sebut kes jadi mungkin tengahari baru masuk,” jawab Azie. 

“Okey.. okey.” Baizura angguk faham. 

Azie melemparkan senyuman sebelum meninggalkan mereka berdua. 

Baizura mengambil tempat. Kali pertama datang ke sini. Hatinya berkira-kira, adakah Nik Rizal seorang peguam seperti yang diperkatakan oleh orang atau hanya di permukaannya sahaja nampak berkarisma dan berwibawa. Dengar cerita panas, dia juga seorang playboy kacak. Itu diakuinya. Berbelas tahun berlalu, tentu dia semakin matang dan kacak. Baizura pejam mata. Teringat kenangan berbelas tahun dulu. Jika tidak kerana kemalangan itu, tentu jalan hidupnya berbeza. 

“Kak Zura, cantik pejabat peguam ni. Tengok dekorasi pejabat ni nampak ada class dan mewah kak. Tak macam pejabat peguam yang saya pernah pergi, bersepah dengan dokumen,” banding Nadya, mengejutkan Baizura dari lamunan.

Baizura angguk. Teringat pejabat guaman pak sunya. Bertimbun dokumen di setiap meja kerani dan pembantunya. Dia pernah bekerja sekejap di situ. Masa tu ada tikanya dia tak tahu mana nak cari letaknya dokumen yang diperlukan. Mujurlah ada Kak Jasmin yang arif dengan kedudukan dokumen di dalam pejabat itu. 

“Ikut citarasa pemiliknyalah Nad.”

“Untuk deko macam ni kak. Banyak duit keluar ni.” Nadya melihat ikut cermin kaca. Di luar sana terdapat 5 kubikel dengan 5 meja yang semuanya berpenghuni. Dinding pula dihias dengan lukisan asbtrak yang mempunyai kisah. 

“Tak kisahlah Nad. Mungkin banyak kes berprofile tinggi yang mereka dapat. Encik Nik tu pun bukan calang-calang orang juga. Peguam sedang meningkat naik. Setiap kes yang dia pegang, semuanya menang. Lagipun bapa dia peguam legend tau.” Bibir Zura senyum sinis. Masih belum ada peluang lagi dia bertemu dengan Nik Rashid. Setiap cerita tentang Nik Rashid masih kemas tersimpan di lipatan memorinya. Setiap momen manis terasa bagaikan menyindirnya. Semuanya palsu.

Nadya angguk. 

“Kak Zura.. baik dan kacak lagi tu… he he..” bisik Nadya. 

Baizura menjeling, Si Nad ni belum tengok lagi pak su dan kawan dia. Lagi kacaklah. 

“Dah pernah jumpa dia ke?” sengaja bertanya. Tak jumpa pun google dah boleh kenal orangnya. 

Nadya angguk. “Dalam selasa lepas dia datang pejabat, jumpa Encik Ali.” 

“Selasa? Kak Zura half day hari tu?” Zura berkira dalam hati. Hari tu dia ada hal dekat resort, jadi terpaksa ambil cuti separuh hari. 

“Iya kak. Dia datang bawak KFC belanja satu pejabat.” Bukan main lagi Nadya mencanang kemurahan hati Nik Rizal. Senyum-senyum dia membayangkan wajah kacaknya. Alahai kalau dapat pak we macam tu, puas hatinya. 

“Patutlah beriya puji baik.. kacaklah..” sindir Baizura. Orang belanja KFC dah melebih pujiannya. Kalau belanja makan hari-hari apalah lagi pujian muncul dari bibir Nadya tu. Materialistik betul minah ni. 

Nadya tersengih-sengih. “Kenyataan kak.” 

Baizura mencebik. Tak kisahlah kacak ke baik ke. Tujuan mereka datang ke sini adalah untuk melaksanakan kerja yang diamanahkan. Bukan nak mengorat ke apa. Tapi tak sabar juga nak berkenalan dengan peguam yang orang kata hensem ni. 

Sepit rambut di dalam beg diambil dan rambutnya disimpul lalu disepit. Sengaja dibiarkan rambut ditepi telinga terjuntai menyerlahkan batang leher putih mulusnya. 

“Seksilah Kak Zura,” komen Nadya apabila dia melihat leher dan dada Baizura yang terdedah. Baju kemeja yang dipakai pula sengaja di buka dua butang teratasnya. Sudahlah bajunya berwarna biru lembut, kainnya pula nipis sehingga menampakkan bayang bra merah yang dipakainya. 

Baizura pandang diri sendiri. “Apa yang seksinya?” pelik. dia geleng kepala. Baju ni dah selalu sangat dipakai ke pejabat. Selalunya dia sarung jaket, tapi hari ini terlupa pula bawa jaket. 

“Apa yang seksinya kak? Tu.. leher akak tu nampak menyelerakan. Baju pulak terbuka sampai ke pangkal dada, orang boleh bayangkan apa yang ada dalam baju tu. Boleh tahan mengkalnya.”

“Uishh.. Kau tu anak dara lagi Nad. Cakap bukan main,” Baizura membetulkan bajunya. Rambut dilepaskan. Dia geleng kepala. 

Nadya angkat bahu dan sengih. Dah terbiasa cakap lepas. Kalau dengan kawan-kawan lagi banyak kata-kata tidak ditapis. Biasalah zaman sekarang semuanya bersikap terbuka. Bercakap bercakap juga, tapi kerja pun kena jalan, lalu ditarik fail general ledger, bersedia untuk memulakan kerja. Fail-fail yang disenaraikan dan diminta semua ada. 

“Panaslah Nad. Kau tak panas ke?” 

Nadya pandang Baizura dengan wajah tak percaya. Dia punyalah sejuk tahap beku, Kak Zura cakap panas?

“Panas kak? Sejuklah,” rungut Nadya. 

“Akak panas.” Rimas dengan rambut panjangnya, disimpul dan disepit ditinggi mendedahkan lehernya. Yeah... masuk je ke pejabat ni diri terasa berbahang panas. Mungkin sebab hatinya tengah berdebar sakan. Mahu berjumpa dia setelah berbelas tahun tak jumpa. Tapi tentu sekali dia tu sudah lama melupakannya. 

“Berapa inci tebal kulit Kak Zura ni? Saya yang bertudung ni tak tahan sejuk.” Nadya geleng kepala. Dia tak bertudung panas? Aku yang bertudung ni sejuk. Terbalik pula. Nadya pandang seniornya ragu. Ada kata mahu diluahkan tapi ragu-ragu nak dizahirkan. 

Diperhatikan saja tingkah laku Baizura. Diteliti dari atas ke bawah. Dia kagum. Kak Zura cantik. Tak perlu mekap tebal, tak perlu pakai pakaian terdedah pun, dia nak nampak seksi dengan kemeja warna biru lembut dan seluar slack warna biru tu. Longgar tapi terletak elok di tubuhnya yang ketinggian sederhana itu. 

“Kenapa pandang akak macam tu?” tegur Baizura. Dia pandang dirinya. Ada yang tak kena ke?

Nadya geleng kepala. Matanya pandang wajah Baizura. “Kak Zura seksi. Pakailah apa pun memang nampak seksi. Silap hari bulan ada yang tergoda dan mahu mencuba.” Ngeri Nadya fikirkan. Sengih sendiri dengan olahannya. 

“Ishh.. mulut. Doa tu doa.. minta-minta dijauhkan semua tu,” marah Zura. 

“Sebab itulah lebih baik Kak Zura pakai tudung dan menutup aurat sepenuhnya,” nasihat Nadya. 

Baizura geleng kepala. Bukan saja Nadya menegur, ramai dah yang tegur. Buat masa ini hatinya belum terbuka untuk bertudung sepenuhnya. Mungkin suatu hari nanti, Mungkin selepas semuanya selesai. 

“Doakan Nad, hati Kak Zura terbuka untuk menutup aurat sepenuhnya..” Dia pandang Nadya lagi. Banyak Nadya tidak tahu kisah hidupnya. Masih banyak tanggungjawab dipikulnya. 

“Buat kerja. Cepat siap, cepatlah kita balik pejabat. Kak Zura tak nak berlama-lama di sini.” Nadya angguk. 

Tok.. tok.. 

Pintu ditolak dari luar. Muncul seorang lelaki tinggi lampai berbaju kemeja putih, tersenyum memandang mereka. 

“Assalamualaikum...” matanya terfokus kepada gadis yang tak bertudung. Rambut disepit tinggi menyerlah lehernya yang putih gebu. Dia menelan liur perlahan. Matanya bagaikan tergam untuk terus melihat di situ. Wajah itu sangat cantik, seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Terasa sangat familiar. 

Huk..huk.. 

“Cik Zura?”

“Saya..” Baizura bangkit dan berjalan mendekati lelaki itu. Dia senyum.

“Everything okey?” lelaki itu bertanya, prihatin.

“So far okey. Encik Nik Rizal kan?” Baizura inginkan kepastian. Dahinya sengaja dikerutkan, seolah-olah teragak-agak dan kurang yakin tekaannya betul ke salah. 

Nik Rizal ketawa dan angguk. 

“Betullah tu. Saya.”

“Sorry.. Semasa Encik Nik datang pejabat hari tu saya half day,” ramah Baizura bercerita. Kacak. Tinggi. Patutlah Si Nadya ni puji melangit. Tarik bibir terjungkit sikit pun dah buat gadis-gadis terpukau. Wajahnya tak pernah berubah. Malah kematangannya membuatkan dia semakin kacak. Lain dari yang dilihat di dalam internet. 

“Dekat lunch hour ni, saya belanja makan..” pelawa Nik Rizal. Mahu mengambil kesempatan ini untuk mengenali dengan lebih dekat. Zura.. nama itu mengingatkannya tentang seseorang. Tapi tak mungkin. Seseorang itu telah lama meninggalkan dunia ini. 

Nadya yang mendengarnya tarik senyum lebar. Makan tengahari bersama dengan peguam kacak ni, siapa tak nak. Free pulak tu. Jimat duit belanjanya hari ini. 

“Nad?” 

“Okey je Kak Zura. Memang tengah lapar ni, pagi tadi breakfast dengan roti bakar 2 keping je.” 

Baizura jegilkan mata. Nadya tersengih-sengih. 

“10 minit lagi kita jumpa dekat bawah. Saya masuk pejabat kejap.” Putus Nik Rizal tanpa tunggu lama dia melangkah ke biliknya. Tidak mahu mendengar jawapan tidak dari mulut Zura. Rugi dia tak ambil kesempatan untuk berkenalan. Lagipun dia ada benda nak minta tolong. Harap-harap Zura boleh bertolak ansur dengannya. 

“Pandai-pandai je kau ni Nad. Akak tak cakap pun nak lunch dengan dia.” 

Nadya seringai.. “Orang nak belanja jangan ditolak kak. Jimat duit lunch hari ni. Hehehe”



Baizura geleng kepala. 







Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6