Cinta Bawah Sedar Bahagian 9

Zahirah
“Kali ini abang akan tunggu Za. Ambillah masa selama mana yang Za nak. Di akhirnya abang hanya mahu jawapan Za sudi jadi isteri abang.”
Aku diam. Dia pula sambung makan nasi goreng.
Hatiku?
 Teruja? Tidak!
Sedih? Tidak!
Lega? Ya.. Sebabnya? Sikit pun tak terlintas di hatiku, yang bergumpal di dalamnya  diluahkan dan dileraikan. Ghairahnya telah lama menghilang. Mendengar penjelasan dari dia, aku merasa kerdil sangat. Siapa aku untuk mengharapkan yang indah-indah terjadi. Sedangkan sebagai hamba-Nya, setiap yang dirancang belum tentu jadi seperti yang diharapkan. Jadi kali ini aku benar-benar berserah pada-Nya. Jika betul inilah kalinya aku ketemu jodoh, aku terima. Jika bukan aku akan siapkan hati ini supaya terus kebal dan redha.
“Mama...”
“Mama...”
Suara Hasif dan Atia saling bertingkah memanggilku. Terdengar bunyi tapak kaki kecil berlari sambil ketawa terkekek-kekek menuju ke dapur. Indahnya dunia anak-anak. Suara tawa riang mereka pengubat hati orang tua. Indahnya jika mereka menjadi hak aku secara ekslusif. Macam rapat dan mesra tapi jauh. Masih ada garis yang memisahkan. Aku sedar hakikat ini. anak-anak ini bukan darah dagingku. Sayang yang tumbuh mungkin juga akan layu suatu hari nanti.
“Abaa...” suara kecil Atia memanggil riang Babanya. Terkedek-kedek anak kecil itu berlari ke arah Abang Zaid. Senyuman lebar Abang Zaid menyambut Atia membuatkan aku terus memandang mereka. Aku akui, Abang Zaid seorang ayah yang penyayang. Terleka dan terlupa seketika pada Hasif. Terasa lengan bajuku ditarik.
“Mama, nak air,” pintanya. Tersedar. Pantas tanganku tarik gelas berisi air masak dan disuakan kepada Hasif.
“Nak air tu,” sambil jari kecil tunjuk muk berisi air kopi O Abang Zaid.
“Itu baba punya. Asif minum yang ni. Nanti mak long buatkan air milo.” Nak bahasakan diri mama di depan Abang Zaid, aku segan.
Hasif angguk. Dia minum juga. Bila Atia melihat Hasif dekat denganku, naik ke atas ribaku, terus kaki kecil itu mendekati ku. Diangkat tangan supaya aku mengangkat dan meribanya.
“Atia duduk dengan Baba,” segera Abang Zaid memanggil anak bongsunya. Tapi Atia geleng kepala. Tangan kecil itu menggoyang tanganku. Serbasalah. Asif selamba duduk atas ribaku tak mahu turun.
“Nak mama..” mulut dah tercebik-cebik. Kasihan melihatnya, aku tarik tangan Atia lantas mengangkatnya. Asif pula aku turunkan dari riba.
“Mama...” Hasif pula tercebik tak puashati sebab terpaksa mengalah.
“Adik kecil lagi, Asifkan dah jadi big boy. Budak baik kena mengalah dengan adik. Nanti petang karang kita makan aiskrim yang mak long buat tadi,” pujukku.
“Nak-nak..” wajah keruh kembali ceria. Aku senyum.
“Asif pergi teman baba makan.” Hasif angguk, patuh. Laju berjalan mendekati babanya.
Abang Zaid pandangku dengan senyum berbunga harapan.Dia kelihatan senang dengan keadaan aku direbut oleh anak-anaknya. Aku buat-buat tak faham. Biarlah kali ini aku mengikut kata hatiku pula. Membiarkan dia dengan harapan yang telah lama ditinggalkan.
Tanpa aku mahupun Abang Zaid sedari, drama sebabak kami dan anak-anak menjadi tontonan mak dan mak uda. Masing-masing tersenyum penuh makna dan harapan.
Dan hari-hari seterusnya Atia dan Hasif terus melekat denganku. Dua puluh empat jam bersamaku. Namun jawapan untuk lamaran Abang Zaid itu masih tiada. Aku sengaja biarkan tergantung tanpa jawapan. Lagipun aku lebih bahagia dengan keadaan sekarang.
“Atia dan Hasif ni anak orang Za. Nak jaga anak ni kena jaga baba mereka sekali,” mak tak sudah bagi hint supaya aku terima lamaran Abang Zaid.
“Bukannya Za ambil budak ni tapi mereka yang datang cari Za,” aku tetap juga tidak mahu mengalah. Sekali itu je aku pergi rumah Mak uda. Abang Zaid ambil budak-budak ni bawa balik, tak sampai setengah jam, Hasif bimbing tangan Atia datang ke rumah mak. Entah babanya tahu ke tak. Bila ditanya. Nak mama, tak nak baba. Aku dan mak hanya mampu saling memandang. Jadinya terpaksa aku whatapps Abang Zaid memberitahu anak-anaknya ada dengan aku. Takut pula dikata menculik budak comel dan cerdik ini.
Apa yang Abang Zaid balas membuatkan aku gigit jari, muka merah.
+Mereka mencari mama mereka. Abang minta maaf Za, abang larang pun nak juga mama. Jadi abang pasang harapan agar Za cepat-cepat jadi mama mereka dalam ertikata yang sebenar. Tapi yang sebenarnya abang lebih perlukan Za untuk diri sendiri. Abang mahu realitikan cinta kita.
“Sebab mereka berdua mahukan belaian dan sentuhan seorang mama. Mereka dah anggap Za mama mereka. Jadi Za patut terima lamaran Zaid tu.” Aku pandang mak, terlupa kejap dekat mak yang ada depanku bila ingatkan balasan whatapps Abang Zaid.
Aku diam. Pandang Atia dan Hasif bermain di ruang tengah rumah. Teringat mak uda datang berjumpaku tengahari tadi. Masih lagi berkisar tentang lamaran Abang Zaid.
“Mak uda harap sangat Za terima lamaran Zaid tu. Dulu mak uda bersalah kat Za. Jika mak uda tak terburu-buru dulu, tentu Za yang jadi menantu mak uda. Ibu pada anak-anak Zaid.” Mak uda dah meleleh air mata kesalnya.
Aku tarik nafas panjang. Entahlah. Kosong hatiku. Tidak ada rasa cinta yang menggebu setelah Abang Zaid melamarku. Tidak ada rasa teruja. Tapi aku bahagia melayan karenah anak-anaknya. Angah pun dah sesekali datang ke rumah mak. Tapi tak lama sebab along datang mengheretnya pulang.
“Anak-anak perlukan Za. Tapi yang penting, Zaid tu yang paling perlukan Za sebagai pendampingnya. Bukan salah Zaid dulu. Semuanya salah mak uda. Sebenarnya Zaid yang minta mak uda meminang Za. Mak uda pula dah berkenan dengan Aisyah. Bila Za tolak pinangan itu, mak uda ada alasan untuk memaksa Zaid menerima pilihan mak uda. Jadi dalam hal ini mak uda yang salah. Mak uda tak tahu pasal perasaan kamu berdua. Kalaulah mak uda tak...”
“Sudahlah mak uda, perkara itu dah lama berlalu. Kak Aisyah pun dah tak ada. Lagipun pilihan mak uda tepat. Abang Zaid bahagia hidup dengan Kak Aisyah. Kalau dengan Za dulu mungkin lain ceritanya.” Mengetahui cerita sebenar, hatiku semakin jauh.
“Mak, Za rasa nak pergi jalan-jalanlah,” getusku tiba-tiba.
“Nak jalan ke mana? Nak tinggalkan mak sorang lagi?” mak pandang aku, sayu sinaran matanya.
Aku sengih. “ Takkanlah Za nak tinggalkan mak pula. Za angkutlah mak sekali. Lagipun memang niat Za nak bawa mak jalan-jalan. Biar segar sikit badan mak tu. Mak pun tak pernah berjalan-jalan makan angin.
Mak senyum semula. “ Nak pergi jalan ke mana? Anak-anak ni?”
“Baba mereka kan ada,” balasku sambil cemik bibir. Budak-budak ni jugak mak fikirkan. Tahu mak dah jatuh sayang dengan mereka. Anggap macam cucu dia sendiri. Tapi aku, sejak hari lamaran itu, terasa sesak nafas berada di kampung. Ketenangan berada di kampung sudah hilang walaupun Abang Zaid selepas hari tu bagaikan memberi ruang untukku berfikir. Namun Atia dan Hasif tetap juga hari-hari berada di sini.
“Tapi kasihan Atif dan Atia pulak kalau Za tak ada.”
Aku pandang Hasif dan Atia yang sedang bermain. Rasanya tanpa mereka berdua sekarang hidup aku akan terasa sunyi.
“Bawalah mereka sekali,” cadang mak.
“Kalau Za tak nak cakap dengan Zaid, biar mak je yang cakap dengan dia,” sambung mak lagi. Aku diam. Hatiku dah bercampur baur. Antara sayang yang baru berbenih dengan kehendak hati yang kian jauh.
Aku mengawasi dari jauh. Atia dan Asif seronok bermain air dengan Amani, anak Anisa. Sudah seminggu aku berada di sini. Hati masih belum temui jawapan.
“Sampai bila kau kat sini?” tiba-tiba Anisa menyoal. Baru sekejap tadi dia berada di dalam kolam melayan anak-anak, entah bila pula boleh berada di sebelahku, siap makan sandwic yang aku sediakan.
“Entah. Rasa seronok pula datang bercuti kat sini.”
Anisa menjuih mulut dengan mata dijuling ke atas. “Ello cik kak, kau balik kampung tak sampai sebulan tau. Dah datang sini balik. Kau ni betul ke tinggal kat kampung?” sinis Anisa
Aku jeling tajam. Malas nak balas. Lama tak lama pun, di kampung buat masa sekarang tidak menenangkan jiwaku.
“Aku tak tahu yang selama ini kau ada kisah cinta bawah sedar. Sampaikan aku tak tahu langsung,” ujar Anisa. Rasanya mak ada berceritalah tu dekat Anisa ni.
“Faced the problem Za. Takkan selesai masalah kalau kau lari. Tak nak kau cakap terus terang tak nak. Bagi reason yang solid sampaikan dia terima jawapan kau tanpa banyak soal. Terima kau kena cakap terima, jangan terus bagi orang tu harapan palsu. Sudahlah kau angkut anak-anak dia, kau ingat hati dia tak menaruh harapan ke? Seolah-olah kau dah berikan jawapan positif.”
“Susah Anis. Aku....”
“Kau masih ada hati dengan dia lagikan?” Anisa potong cakapku.
Aku buang pandang ke arah budak-budak yang sedang bermain air. Tak balas kata Anisa itu sebab tak ada alasan nak menafikannya. Ada tapi aku jauh hati. Teragak-agak nak terima.
“Inilah jawapan kepada doa kau bertahun-tahun Za. Menafikan atau menolak bererti kau menolak takdir kau, jodoh kau.” Aku terus terdiam. Kata-kata Anisa tepat terkena hati yang tengah sakit.
“Terima saja. Bahagia atau derita nanti kau sendiri yang mencorakkannya.”
Dan lewat malam itu, seperti malam-malam sebelumnya sejak seminggu lalu, aku bangun bersujud kepada-Nya. Betapa kerdilnya aku ketika berbicara dengan Allah taala.
“Ya Allah, jika ini jawapan untuk setiap doa yang kupohonkan, maka kau tetapkanlah hatiku. Lapangkanlah dadaku untuk menerimanya. Ya Allah permudahkan urusanku. Kembalikan cinta yang menghilang itu agar aku dapat mencapai bahagia itu. Ya Allah engkaulah maha pengasih lagi maha penyayang. Kepada-Mu aku berserah. Amin Ya rabbal a’lamin.”
Usai bertahajud dan beristikharah, aku mencapai telefon pintarku.  Menaip mesej buat Abang Zaid.





Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6