Cinta Bawah Sedar Bahagian 8


Zahirah
“Waalaikumussalam.” Mataku terus tertala ke arah pintu. Terbuntang luas memandang Abang Zaid dengan senyum segarisnya. Sedar keadaan diri yang tidak sempurna. Aku terus leraikan pelukan Hasif, Atia pula aku angkat dukung. Tanpa mempelawa Abang Zaid masuk, aku masuk ke dalam bilik. Dada ini macam mahu meletup. Dia sudah tak kesah. Auratnya yang dijaganya terbuka. Malunya bukan kepalang.
“Baba...” terdengar Hasif memanggil dan tapak kaki kecil itu terus berlari ke arah babanya. Mulut mula bercerita.
“Mama buatkan nasi goreng, sedap. Asif makan dua pinggan. Atia pun makan banyak. Tapi Atia tak mahu duduk, nak mama dukung je. Mana boleh, Atia dah besar. Asif pun nak mama dukung jugak.” Aku pasang telinga mendengar Hasif riuh bercerita.
Mama.. Mama.. panggil itu membuatkan wajahku bertambah merah. Apa kata Abang Zaid nanti, senang-senang biarkan anaknya memanggilku mama. Hatiku diburu risau. Takut Abang Zaid tak suka. Lagipun bukan salahku, mak yang mula membahasakan mama. Melekat terus panggilan itu.
“Masuklah Zaid. Berdiri di muka pintu tu buat apa?” aku dengar mak menegur Abang Zaid. Tapi tidak dengar pula Abang Zaid membalas, sebaliknya terdengar bunyi kerusi ditarik.
Aku tarik dan lepas nafas dua tiga kali, mahu menghilangkan debaran yang semakin berkumpul di dada. Teringat perbualan dengan mak malam tadi. Dan sudah tentu Abang Zaid maklum apa yang mak dan mak uda telah bincangkan. Sungguh aku tidak mahu kali ini Abang Zaid dipaksa pula. Yang lepas tu lepaslah. Lagipun aku tak pernah terfikir pun suatu hari nanti, akan jadi macam hari ini. Tak pernah terlintas dalam hati aku untuk berkahwin dengan Abang Zaid selepas dia kahwin.
“Za, buat apa dalam bilik tu? Zaid datang ni,” panggil mak. Mungkin mak tak tahu kot masa Abang Zaid datang, aku ada dekat dapur tu tengah suap makan anak-anak.
“Mama.. Ba..Ba atang..” riuh mulut Atia memberitahu.
Aku senyum dan angguk. Pipi Atia menjadi mangsa ciuman bertaluku. Beberapa saat aku ambil sebelum tombol pintu ditarik. Tudung sudah terletak elok di kepala.
Nampak sahaja aku keluar, mak bangun. Dia hulur tangan mahu ambil Atia.
“Duduk teman Zaid makan. Dia ada benda nak cakap dengan Za,” beritahu mak sebelum berlalu. Aku pandang belakang mak, air liur ditelan terasa kesat. Janggal ditinggalkan berduaan.  
Aku rasa mahu masuk ke dalam bilik semula. Lagipun aku tak ada benda nak cakap pun. Ataupun aku patut minta kebenaran dari Abang Zaid nak jaga anak-anak dia. Kot itu yang Abang Zaid nak cakap. Tak mahu aku rapat dengan anak-anak dia. Tambah lagi anak sulung abang Zaid tu tak sukakan aku. Paling penting aku nak Abang Zaid tahu, yang kisah 10 tahun lalu aku dah lupa pun. Walaupun tak kahwin lagi dan dia dah jadi duda. Aku tak simpan perasaan pun. Aku tak nak orang cop aku andartu gatal, tak laku.
“Za, tolong buatkan abang kopi O, boleh?” matanya memandangku lembut, mengharap.
Aku berpaling pandang dia. Keliru. Tapi kepala aku angguk juga. Pelik dengan pandangan mata Abang Zaid itu. Semakin seram. Cepat aku melangkah ke kabinet dapur. Dapat lari sekejap darinya dan menenangkan hati sendiri. Tapi rupanya salah. Matanya tetap mengekori setiap langkahku. Aku semakin salah tingkah. Sengaja aku buat lambat-lambat air kopi itu.
“Airnya,” aku letakkan di atas meja di sebelah kanannya. Pecah rekod aku buat air kopi lambat hari ini.
“Duduklah temankan abang makan,” pintanya lagi. Bibirnya kuntum senyum lembut. Aku pula diserang debar tak henti.
“Za nak tengok Hasif dan Atia sekejap. Mana dia orang ni pergi.” Mahu lari darinya. Takut macam aku tertangkap buat benda memalukan. Padahal semalam biasa-biasa je Abang Zaid pandangku. Adakah sebab rancangan tak diduga mak dan mak uda tu?
“Ada dekat depan tu dengan mak. Mak abang pun ada sekali.” Mendengar kata-katanya hati semakin tak mengerti. Mak? Aik semalam bukan panggil mak cah ke? Sejak bila jadi mak? Jangan macam Hasif dan Atia sudahlah, dalam satu malam panggilan dah tukar jadi mama bukan mak long lagi.
Aku ambil tempat di kepala meja. Jauh sikit darinya. Mataku terus terpandang novel badai semalam di atas meja. Baru perasan.aku genggam kuat jariku sendiri. Novel ini memberi seribu makna buatku. Novel itu juga menyimpan rahsia paling besar. Tapi kenapa baru hari ini novel itu muncul kembali.
“Dua tahun lepas, isteri abang datang bertanya abang sambil pegang novel ni. Siapa Za-id?” Aku diam. Tunduk. Mata dah panas. Terasa berdosa.
“Abang terkejut. Novel ini selepas Za berikan, abang terus simpan atas rak buku. Maafkan abang,” ujarnya penuh kesal.
Aku terkejut dan tergamam. Tak jangka perkara ini yang dia mahu bincangkan. Sedangkan aku telah lupa tentang novel itu. Terpandang tadi baru teringat kisah gila-gila remaja aku dulu. Kononnya mahu beri hint dekat Abang Zaid. Rupanya rasa hati aku dulu tak bersambung pun.  Aku angkat muka dan pandangnya beberapa saat dengan pandangan kosong. Sempat mata kami bertembung, ada kekesalan dalam sinar matanya. Bagiku pula semuanya telah berlalu. Malah aku rasa bersalah sebab Kak Aisyah tahu pasal novel itu.
“Kalaulah abang baca novel tu dulu, tentu kisah kita jalan ceritanya akan berbeza.”
“Tak pernah ada kisah kita,” bisikku perlahan. Aku beranikan diri menentang matanya kali ini. Aku mahu dia tahu, aku telah lama melangkah ke depan. Kisah kita? Kisah kami tak pernah aku fikirkan setelah dia berkahwin. Pinangan yang datang dulu, datangnya daripada Mak Uda. Dia tak pernah berusaha datang berjumpaku bertanyakan kenapa aku menolaknya dulu. Jadi aku andaikan dari awal lagi aku ditolak. Sebab aku telah meluahkan perasaan lama dulu. Novel ini yang menjadi pengantara bisu kami. Novel ini juga bukti perasaanku dulu.
“Abang minta maaf. Abang tak pernah tahu Za. Kalaulah abang tahu awal, abang akan tunggu Za. Abang akan bersama-sama membantu Za memikul tanggungjawab keluarga,” luahnya penuh kesal.
Aku geleng kepala. Empangan mataku akhirnya pecah. Kehilangan Chek secara tiba-tiba membuatkan aku hilang tempat bergantung. Nasib baik ketika itu aku telah menamatkan pengajian, terus dilamar kerja. Jadi fokus aku ketika itu adalah membantu mak dan adik-adik. Mereka perlukan aku. Lamaran yang datang, mulanya aku gembira mendengarnya. Tapi wajah adik-adik memonopoli hatiku. Aku tidak boleh fikirkan soal diriku lagi, mereka lebih memerlukan. Jadi lamaran itu aku tolak. Tanpa mendengar alasan, mak uda terus membuat kesimpulan sendiri. Aku kesal tapi tak menyesal. Aku redha, jodohku bukan dengan dia.
“Bila lamaran itu datang, Za pernah berharap abang datang bertanya kenapa Za tolak. Tapi abang tak pernah datang. Jadi Za anggap abang pun terpaksa ikut kata orang tua. Za anggap andaian Za betul sebab 6 bulan selepas itu abang kahwin dengan Kak Aisyah.”
Merah mata Abang Zaid mendengar pengakuanku. Nasi goreng di depannya hanya luak separuh. Dia meramas rambutnya sendiri. Kelihatan kecewa.
“Abang silap. Abang yang salah. Bila Za tolak pinangan itu, abang anggap Za dah ada pilihan sendiri.”
“Hati Za telah lama pilih. Bahkan Za telah berikannya bersama-sama novel itu dulu.” Buat pertama kalinya aku meluahkan rasa yang terkunci jauh di dalam hati. Biarlah aku luahkan agar dia tahu.
Mendengar kata-kataku itu, wajah Abang Zaid semakin beremosi. Menyesal dengan apa yang terjadi. Tapi untuk apa? Sedangkan dia diulit bahagia dengan pilihannya. Abang Zaid pandang aku. Dia tarik kerusi mendekatiku. Renungannya penuh harapan. Aku semakin tak mengerti.
“Kahwin dengan abang Za?” perlahan tapi jelas.
Dumm..
Spontan aku geleng kepala. Tak jangka kata-kata itu keluar dari bibirnya. Jika 10 tahun dulu aku, akan terima jika dia datang kepadaku selepas aku menolaknya. Tapi hari ini, tak mungkin. Aku tidak mahu menjadi pilihan kedua. Aku mahu menjadi yang pertama. Sebab dia insan pertama aku letakkan di dalam hatiku.
“Tak mungkin. Za dah tak ingat kisah lalu. Jangan sebab abang rasa bersalah, abang lamar Za. Abang dan Za tak salah pun. Mak uda pun tak salah. Ini takdir kita. Bukan jodoh kita.” Perlahan aku membalasnya.
Aku tak mengharap lagi.
“Jika Za kata telah lama membuat pilihan. Abang pun sama, sebelum Aisyah. Za adalah pilihan pertama. Silapnya abang sebab bukan abang yang melamar Za dulu. Abang terus hantar mak meminang tanpa mengetahui keadaan Za.”
“Kahwin dengan abang Za. Abang mahu satukan hati kita kembali. Abang tahu dalam hati Za masih ada abang.”
Yakinnya dia? Aku ketawa sinis. Selepas sepuluh tahun?
“Abang dah tak ada dalam hati ni. Jangan perasanlah,” ejekku.
“Mulut boleh nafikan. Tapi abang tahu. Sebab mata yang bagitahu.” Balasnya yakin. Matanya terus menikam mataku.

Dan aku terus tunduk pandang meja. 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6