Beautiful Jodoh Bab 9

Jom kita layan bab 9. 

Novel ni kisahnya santai je. Saya tak mahu pembaca pening kepala. Saya mahu pembaca enjoy bila membaca novel-novel saya. Walaupun santai saya terapkan juga sedikit ilmu di dalamnya. Semoga memberi kesedaran kepada kita semua. 


“MUNGKIN Ferran jadi berani sebab tahu Ara ni adik Imran?” teka Naemah.

“Mungkin juga. Tapi, aku tengok sikap Ara, macam tak suka pun Ferran tu.” Latifah berkata pula.

“Laa ... baru lagi. Lama-lama nanti hati Ara tu cairlah,” balas Zakiah yakin.

“Kita tunggu dan tengoklah.”

Masing-masing mengangguk. Habis bergosip, mereka kembali membuat kerja masing-masing.

Haura Nur baru selesai mandi. Dia bersolat dan kemudian naik ke atas katilnya. Diari pink di bawah bantal diambil.

I feel like I’m dreaming. Does he really like me? Tak mungkin! Sebab Abang Im yang suruh!.

Emosi Haura Nur berubah. Dia tidak jadi menulis dalam diarinya. Dia memejamkan matanya, mahu berehat. Yang lain membuat hal masing-masing.

Namun, baru hendak terlelap, Vivonya bergetar. Tanpa melihat nama pemanggil, Haura Nur menekan butang reject tetapi si pemanggil tidak berputus asa. Haura Nur mengalah.

“Hello!”

“Hmmm...”

“Hujung minggu ni balik rumah ayah.” Haura Nur diam mendengar suara ayahnya.

“Sibuk,” balasnya sepatah dan segera talian mahu diputuskan.

“Haura Nur! Jangan nak jadi anak derhaka. Malam Jumaat ayah datang jemput pukul 9 malam.”

Mengantuknya hilang. Hujung matanya basah. Jiwa terasa kosong.  Daripada nada suara Encik Ismail, sudah tiada lagi perasaan kasih seorang ayah.

“ADA apa ayah?” soal Imran Iman tanpa perasaan.

Setiap kali dia berjumpa dengan ayahnya, pasti dia teringat Haura Nur. Wajah Haura Nur banyak mengikut iras wajah ayah mereka. Manakala dia pula lebih mirip ibu mereka.

“Ara ... kamu ada jumpa dia?” tanya Encik Ismail. Wajah serius anak lelakinya ditenung.

“Ada,  minggu lepas. Dia sihat. Sibuk belajar,” jawab Imran Iman tanpa berselindung.

Encik Ismail mengangguk. Setiap kali dia berjumpa dengan anak lelakinya, tidak banyak mereka bualkan. Malah, sejak Imran Iman balik dari England, jarang sekali mereka berjumpa.

“Nanti ajak dia datang rumah ayah. Sejak dia belajar kat sini, tak pernah lagi datang rumah ayah.”

Imran Iman tergelak sinis mendengar kata-kata ayahnya.

“Ooo ... jadinya ayah masih ingat lagi ayah ada anak perempuan?” sindir Imran Iman.

Terus wajah Encik Ismail berubah. Dia terasa bersalah, namun dia menyalahkan bekas isterinya yang membawa lari anak gadisnya itu.

“Ayah ingat. Sentiasa ingat. Ayah rindukan anak perempuan ayah tu,” Encik Ismail tidak malu mengaku dalam nada memerli.

“Dah terlambat ayah. Anak perempuan ayah tu dah dewasa. Dia tak perlukan ayah lagi. Dia boleh hidup sendiri. Lagipun, abang dia dah balik. Boleh jaga dia,” balas Imran Iman. Dia berasa sakit hati dengan sikap lepas tangan orang tuanya.

Haura Nur berubah sebab mereka pentingkan diri sendiri.

“Ayah tahu ayah bersalah  tapi mama kamu yang tak bagi ayah jaga Ara,” Encik Ismail mula menyalahkan bekas isterinya.

Imran Iman senyum sinis. Teringat ibu kandungnya; wanita yang juga pentingkan diri sendiri. Sebaik sahaja habis iddah, dia terus berkahwin lain dan Haura Nur ditinggalkan di bawah jagaan orang tuanya.

“Ayah pun tak ada usaha nak ambil Ara balik. Sebelum mama kahwin, ayah dah kahwin dulu. Pernah tak ayah telefon Ara bertanya khabar? Beri duit belanja? Atau ayah ambil dia bawak bercuti ke?  Masing-masing dah bahagia dan terus lupa kewujudan kami berdua,” ujar Imran Iman kesal. Mereka seolah-olah anak yatim piatu, walhal orang tua masih ada.

Encik Ismail terpukul mendengar kata-kata anaknya itu. “Sebab itulah ayah nak tebus balik kesilapan ayah. Ayah nak jumpa dia, ayah nak dia tahu yang ayah sentiasa rindu dan sayangkan dia,” jelasnya supaya Imran Iman faham.

“Dah terlambat ayah. Kalaupun sebelum ini ayah beri duit belanja, ayah rasa duit tu boleh ganti kasih sayang ayah pada dia ke? Jadi, lebih baik ayah jangan kacau hidup dia,” balas Imran Iman tanpa menghiraukan perasaan Encik Ismail.

“Tapi, ayah nak Ara kenal dengan adik-adiknya. Ayah nak Ara tahu selain abang, dia ada dua lagi adik perempuan. Kamu pun tak pernah datang rumah ayah sejak balik. Hujung minggu ni majlis hari jadi Rara, jadi ayah nak anak-anak ayah semua ada. Sambut bersama-sama,” Encik Ismail memberitahu tujuannya, walaupun masih ada perkara yang disembunyikan.

Imran Iman merenung  wajah Encik Ismail. 

“Ayah ingat tak hari jadi Ara bila? Pernah tak ayah buat majlis atau bagi Ara hadiah? Ayah fikir tak, apa perasaan Ara hendak menyambut hari jadi orang yang dia tak pernah kenal, dan majlis tu dibuat oleh ayah yang tinggalkan dia?” selar Imran Iman. Seingatnya Haura Nur tidak pernah menyambut hari jadi selepas perceraian orang tua mereka.

Encik Ismail terdiam. Dihirupnya kopi yang masih berbaki, sambil cuba mengingati tarikh hari lahir Haura Nur dan Imran Iman, namun gagal. Banyak memori bersama bekas isterinya telah hilang daripada kotak ingatannya.

Imran Iman menggeleng kepala. Dia tidak mengharap sangat.

“Ayah terlupa tapi ayah tak pernah lupa kamu anak ayah.”

“Ayah lupa tanggungjawab ayah!”

“Sebab itulah ayah nak tebus balik. Ajak Ara datang rumah ayah hujung minggu ni,” tegas Encik Ismail. Segera dia bangun, tidak memberi kesempatan untuk Imran Iman menolaknya.

“Siapa tadi?” tanya Ferran Atiq yang baru sampai.

“Ayah aku,” balas Imran Iman.

Ferran Atiq tidak lagi bertanya.

“Lebih baik jadi anak yatim daripada ada ayah,” bisik Imran Iman perlahan.

“Bukan anak saja yang menderhaka. Mak bapak pun ada yang derhaka!”


 


Boleh dapat ebook dan novel di kedai online kami : https://wasep.me/shima-rostam-book-sandwich

Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6