Beautiful Jodoh bab 10

Bab 10 ni bab terakhir saya akan kongsikan di blog ini. 
Kalau nak baca kisah Haura dan Ferran sampai tamat, korang kena beli novel dan ebook. 
Ebook juga dijual di esentral.my dan juga play book google. Tak pun korang boleh klik kedai online kami 




HAURA NUR mendongak.

‘Dia lagi. Kenapa kerap sangat mamat ni muncul di depan aku. Kenapa tidak dulu?’ Haura Nur menjegilkan mata, sebagai isyarat menghalau Ferran Atiq.

Ferran Atiq berpura-pura tidak faham. Selamba dia duduk di hadapan Haura Nur.

Haura Nur ketap gigi kemudian kembali tunduk membuat kerjanya. Dia mahu cepat habis menyalin maklumat yang diperlukan dan balik ke kolej. Tidak guna dia memarahi Ferran Atiq yang tidak faham bahasa. Memang tebal sungguh kulit lelaki itu!

Ferran Atiq tidak mengacau Haura Nur, cuma sesekali pandangannya singgah di wajah gadis itu. Semakin dilihat, semakin yakin dengan perasaannya sendiri.

“Ferran, ada orang tak kat sini ... boleh I duduk?” Terdengar suara perempuan berbisik.

Anis Syatilla senyum menawan memandang Ferran Atiq, seolah-olah hanya ada Ferran Atiq di situ.

“Banyak lagi tempat kosong. Sini dah penuh,” balas Ferran Atiq perlahan, tidak mahu Haura Nur berasa terganggu.

Akan tetapi, Haura Nur sudah hilang tumpuan sejak Ferran Atiq duduk di hadapannya. Mujurlah rujukannya telah siap disalin, jadi tangannya cepat mengemas buku-buku dan barang-barangnya. Tidak mahu menjadi orang ketiga di situ.

“Duduk sini. Kerja saya dah siap.” Haura Nur bangun dan menyandang beg sambil mengelek bukunya. 

“Samalah. Kerja saya pun dah siap.” Ferran Atiq turut bangun, mengikut Haura Nur.

Air muka Anis Syatilla terus berubah. Ferran Atiq langsung tidak memandangnya. Dia pula yang menjadi perhatian pelajar yang ada di situ. Malu dan sakit hati bersatu.

Di luar perpustakaan, langkah Haura Nur terhenti. Dia berpaling memandang Ferran Atiq di belakangnya.

“Awak nak apa sebenarnya?” soal Haura Nur. Sudah dua kali Ferran Atiq mengacaunya.

“Saya nak berkenalan dan berkawan dengan awak,” balas Ferran Atiq bersahaja. Sedikit pun tidak terasa dengan sikap dingin Haura Nur.

Haura Nur memandangnya tidak puas hati. Geram! Rasa hendak ditarik pipi Ferran Atiq kuat-kuat.

Heii ... boleh serius sikit tak!

“Sebab Imran?” soalnya.

Ferran Atiq menggeleng kepala. “Sebab saya memang dah lama nak berkenalan dengan awak.”

Hati Haura Nur tersentuh tetapi dia tidak percaya. Ini tentu sebab Imran Iman. Tidak mungkin Ferran Atiq sukarela hendak berkawan dengannya. Dia mendengus kuat.

“Awak tak payahlah ikut sangat apa yang Imran cakap tu. Saya tak pandai berkawan dengan lelaki dan tak suka terlibat dengan lelaki,” tekan Haura Nur.

“Bagus. Itu lagi baik. Awak hanya boleh berkawan dengan saya saja,” balas Ferran Atiq lega, sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Haura Nur.

“Awak dah makan?” Sengaja dia menukar topik, mahu berlama-lama dengan Haura Nur. Tidak dihiraukan wajah marah gadis itu.

Terkebil-kebil Haura Nur mendengar suara maskulin Ferran Atiq bertanya, prihatin. Hilang punca hendak marah. Mengapa lelaki itu seperti tidak faham yang dia tidak suka didekati?

 “Suka hatilah!”

Malas mahu melayan kerenah Ferran Atiq, Haura Nur segera berlalu.

          “Hati saya sudah lama sukakan awak,” balas Ferran Atiq perlahan, menyapa gegendang telinga Haura Nur.

Langkahnya terhenti seketika, namun cepat saja dia meninggalkan lelaki itu. Tanpa sedar bibir Haura Nur menguntum senyuman.

Tidak mengapa hari ini pelawaannya tidak disambut. Esok lusa masih ada. Mata Ferran Atiq setia mengikut langkah Haura Nur sehingga gadis itu menaiki bas.

“AYAH ada telefon Ara?” soal Imran Iman setelah menjawab salam Haura Nur.

“Ada. Dia suruh balik rumah dia hujung minggu ni. Abang Im?” tanya Haura Nur pula.

“Dia datang jumpa abang, hujung minggu ni ada majlis hari jadi anak perempuan dia. Ayah suruh kita ada sama,” beritahu Imran Iman.

Haura Nur mencemik kemudian tertawa menutup luka di hati. “Ara banyak kerja. Tak ada masa nak pergi rumah dia.”

Imran Iman diam. Dia memahami apa yang dirasainya adiknya saat ini. Akan tetapi, kalau difikirkan lebih mendalam, sampai bila mereka mahu mengelakkan diri. Lagipun, ayah mereka tetap wali Haura Nur. Haura Nur masih lagi di bawah tanggungjawab ayah mereka sehinggalah adiknya itu berkahwin.

“Ara ... sampai bila Ara mahu mengelak. Tak suka atau benci sekalipun, dia tetap ayah kita. Wali sah Ara nanti. Kita pergilah tunjuk muka sekejap, lepas tu balik,” pujuk Imran Iman.

Walaupun marahkan Encik Ismail tempoh hari, dia tetap tidak lupa tanggungjawabnya sebagai anak. Mana tahu, selepas majlis hari jadi nanti, hubungan mereka bertambah baik. 

Haura Nur menggigit kukunya. Hati terasa berat ingin memenuhi permintaan abangnya. Untuk apa? Menoreh luka di hati sendiri? Ayah? Sudah lama kasih ayah tidak dirasai sehingga dia sudah lali. Begitu juga kasih mama. Sudah lama hilang dari hati. Dahulu, dia sangat mengharapkan kehadiran orang tuanya. Namun, seiring dengan masa, harapan itu semakin menipis dan terus menghilang dari radar hati. Dia redha menerima takdir hidupnya. Dibuang oleh ayah dan mama. Dia bernasib baik kerana ada atuk dan mak tuk yang sanggup menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Mak tuk pernah berpesan supaya dia tetap menghormati ayah dan mamanya, walaupun mereka membuangnya daripada hidup mereka. Kata mak tuk, tanpa mereka dia tidak akan wujud di dunia ini. Jadi, dia kena berterima kasih kepada mereka dan jangan sesekali hilang hormat terhadap mereka. Sakit hati itu simpan sahaja dan jangan berdendam, dan sentiasa berdoa agar Allah melembutkan hati mereka untuk kembali mencari dan mengasihi dirinya. 

“Ara ... dengar tak abang cakap ni?”

“Haa? Hmmm ... dengar.”

“Ara tak sendirian. Abang ada. Kita pergi ya?” pujuk Imran Iman.

“Hmm...” Tidak ada jawapan pasti daripada Haura Nur.

“Abang anggap Ara setuju ni. Sabtu ni pukul 11 pagi abang datang ambil.”

“Hmmm.”

“Oklah Abang Im tak kacau Ara dah. Abang WhatsApp bila sampai nanti.”

“Eh, Abang Im ... kejap!”

“Apa dia?”

“Abang Im cakap apa dekat Ferran sampai dia rajin sangat muncul depan Ara?” tanya Haura Nur.

Imran Iman ketawa kecil. Baguslah Ferran Atiq serius.

“Ara tak suka dia?”

Haura Nur diam. Bukan dia tidak suka tetapi terasa janggal apabila Ferran Atiq tiba-tiba muncul mengganggu hidupnya.

Imran Iman tersenyum di hujung talian apabila tidak mendengar balasan daripada adiknya. Dia tahu Haura Nur sukakan Ferran Atiq tetapi malu hendak mengaku.

“Abang Im cakap apa dekat dia?” tanya Haura Nur lagi tanpa memberi jawapan kepada soalan Imran Iman tadi.

“Abang cakap, abang Im suka kalau dia jadi adik ipar abang.”

“Buat malu je abang ni!” marah Haura Nur. Dia malu. Tidak sangka Imran Iman boleh pula berterus terang begitu dengan Ferran Atiq.

“Kalau dia tak suka, dia takkan mendekati Ara. Cuba fikir kenapa dia selalu muncul depan Ara selepas abang cakap abang suka dia jadi adik ipar abang.”

Haura Nur diam sambil menggigit bibir. Beberapa saat kemudian, baru dia menjawab.

“Sebab dia nak jaga air muka abanglah. Abang kan kawan dia. Dia tak sampai hati nak tolak niat baik abang tu sehingga terpaksa korbankan perasaan sendiri.”

Nonsense! Ferran tu bukannya orang yang tak ada pendirian. Dia tahu apa yang dia mahukan. Kalau dia tak nak, tak ada siapa pun yang boleh paksa dia,” jelas Imran Iman.

Kata-kata Imran Iman itu meresap masuk ke dalam hatinya.

“Saya sukakan awak” Haura Nur tidak pernah lupa bisikan Ferran Atiq itu.

“Ara pun sukakan dia juga, kan?” tekan Imran Iman di hujung talian.

Haura Nur diam, tidak mengaku atau menafikan.

“Diam tandanya suka. Jadi, Abang Im nak Ara bagi peluang kepada diri sendiri. Cuba berkawan dengan Ferran. Jika ada keserasian dan cinta dalam hati, teruskan. Jika tak serasi, tak apa, anggap je dia kawan,” Imran Iman memberi cadangan dan nasihat. Selebihnya terpulang kepada Haura Nur.

“Abang Im dah lama kenal Ferran ni. Kami samasama aktif dalam e-sport. Dia antara perintis e-sport ni. Bukan setakat bermain games, dia juga seorang leader yang baik. Dia mampu membawa pasukan negara ke peringkat antarabangsa. Dalam masa yang sama, dia juga buat business online dan seorang siswa. Selama abang kenal dia secara online dan offline, karakternya sama. Dia calon terbaik jadi suami Ara.”

Calon suami juga yang Imran Iman sebut. Wajah Haura Nur terasa panas.

“Tengoklah macam mana nanti. Ramai yang suka dia. Pilihan dia banyak. Cantik-cantik pulak tu. Ara ni gadis kampung. Asyik pakai baju kurung je. Manalah dia suka.” Haura Nur merendah diri.

Imran Iman ketawa. Terusik dengan sikap rendah diri si adik. Haura Nur sangat cantik di matanya. “Lagilah Ferran suka. Gadis Melayu berbaju kurung ni manis dan cantik.”

Haura Nur mencemik. Mata dijeling ke atas. Vivonya masih melekap di telinga. Dia terus memutuskan talian.



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6