Bab 8 : Cinta Si Adik Manja

Psst... boleh runtuh rumah bila Nur ni mengamuk... Hahaha.. Kasihan Abang Syam..



Pang!!

Pintu dihempas kuat. Tanpa menghiraukan ke dua lelaki itu, Nur terus meluru masuk ke dalam rumah. Beg pakaiannya pun tidak diambil. Biar sahaja angah yang angkut masuk. Abah dan umi dicari.

Angah geleng kepala. Perangai kepala angin adik bongsunya tak pernah berubah. Hairan, apa yang dia marahkan sangat? Dia kerling Hisyam yang baru juga keluar daripada kereta. Tentu Hisyam terkejut. Dia pun terkejut juga.

“Mari masuk Syam, kita makan sekali. Abah dan umi tengah tunggu kita ni,” ajak Angah.

“Adik tengah marah tu?” Hisyam sengih. Boleh tahan garang Nur sekarang. Terkejut jugak dia tadi. Tapi lain pulak hatinya rasa, jelingan tajam Nur nampak menggoda tadi. Hailaa hati, dah pandai macam-macam nampak.

Angah sengih. “Kau tak payah ambil hati dengan adik aku tu. Nur tujuh tahun lepas dan sekarang sama saja. Marahnya kejap. Nanti pandailah kau pujuk bagi baik balik. Lagipun salah kau kan?” sindir angah.

Dalam hatinya juga berharap adiknya dan Hisyam akan berbaik seperti dulu. Melihat Hisyam dan Nur tadi, hatinya macam digaru sesuatu. Ada yang tak beres di antara mereka. Lebih dari janji yang dimungkiri. Bahu Hisyam ditepuk dan ditarik masuk.

Dalam segan Hisyam melangkah masuk juga. Lagipun dia mahu berjumpa pak teh dan mak teh juga.

“Tapi hati aku ni nak tahu jugak sebab sebenar kau tak telefon.” Perlahan angah bisik di tepi telinganya.

Soalan itu merencatkan langkah Hisyam. Dia pandang wajah selamba angah di sebelahnya. Wajah Hisyam berubah kelat seketika sebelum dia kembali tenang. Dalam masa yang sama, mereka telah sampai di meja makan.

“Panjang umur Hisyam. Kami baru saja bercakap tentang kamu,” tegur mak teh apabila terlihat Hisyam dan angah menghampiri meja makan.

Nur yang berada di situ, terus mati senyum. Dia tak jadi tuang air teh ke dalam cawan. Tanpa menegur atau memandang mereka yang berada di situ, dia terus berlalu menuju ke bilik.

“Adik makan dulu, baru sambung tidur,” tegur kak long.

“Tengok muka orang tak tahu malu tu, tak jadi lapar!” tanpa menoleh dia menjawab sebelum pintu bilik dihempas kuat.

“Astaqfirullah’azim.” Mengucap pak teh. Terkejut mendengar pintu dihempas kuat.

“Tadi pintu kereta, ni pintu bilik pulak, boleh roboh rumah ni kalau hari-hari macam ni,” omel angah. Dia meletakkan plastik berisi nasi kerabu atas meja.

“Duduk Hisyam. Tak payah ambil hati dengan perangai Nur tu,” sapa mak teh.

Hisyam angguk. Dia senyum faham.

“Duduk, duduk..” ajak pak teh pula.

“Pasal Nur tu kita cerita kemudian. Pak teh tahu dia marah sangat pasal kamu tak telefon. Lepas ni pandai-pandailah pujuk dia semula.”

Angah dan kak long saling berpandangan. Angkat kening menyoal dalam diam. Bahu kak long bergerak turun naik, tanda tak tahu. Mereka menikmati hidangan nasi kerabu, kuih muih yang dibeli oleh angah tadi.

“Masa ambil adik tadi, ada kawan lelaki satu kolej teman dia. Rupanya saudara Syam jugak,” cerita angah.

“Boyfriends adik ke?” Kak long teruja. Wajahnya bersinar ingin tahu.

“Entah. Kawan je kot. Tapi aku tengok budak tu macam sukakan adik,” sambung angah.

“Budak tu saudara belah siapa? Ayah kamu?” Mata pak teh tertala kepada Hisyam.

Hisyam angguk. “ Ya, pak teh. Cucu Pak Itam, yang tinggal kat kampung Rhu Rendang tu.”

“Oooo.. aku kenal dengan Pak Itam tu. Budak tu anak sulung, anak dia yang tinggal di Putrajaya kan?”

“Betul, pak teh. Tahun lepas mereka sekeluarga menunaikan umrah. Saya yang jadi mutawif mereka.”

Pak teh angguk. “Jemput makan Syam.”

*****

Pulang dari rumah pak teh, dia terus masuk bilik. Mahu tidur sekejap. Dia berbaring terlentang memandang siling, tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Wajah manis masam Nur tadi mencuit hatinya. Marah Nur hanya seketika mencalar hati. Selebihnya dia rela dimarah ataupun dimaki asalkan dapat melegakan kemarahan gadis itu. Salahnya! Dia akui. Berjanji sebelum pak teh datang bersemuka dengannya. Akibatnya dia terpaksa mungkir janji terdahulu yang dibuat.

Kesannya bukan hanya pada Nur, tapi dia juga. Peritnya dia menahan keinginan untuk mendengar suara comel itu tujuh tahun lalu. Peritnya dia terpaksa berkorban kerana janji yang terpatri. Nur demam. Dia juga demam. Dia yang mencadangkan jubahnya yang tersangkut di dinding bilik diberikan sebagai ubat rindu Nur. Dia pula di sana terpaksa bergelut sendiri. Mujurlah setiap kali dia menelefon kampung, ibunya tidak pernah lokek bercerita tentang Nur. Biarlah Nisa menjadi penggantinya sementara walaupun dia tahu, Nur telah menyimpan dendam di dalam jiwanya.

Tok.. tok.. tok..

Terjongol kepala Nisa di celah pintu. “Abang Syam buat apa? Tidur ke?” tegurnya. Pintu bilik dibuka lebar.

“Tak lagi… Saja baring-baring kejap. Nak apa?”

Nisa sengih-sengih sambil menghampiri katil abangnya. Matanya terpandang sebuah kotak ditepi almari baju. Cuma kotak tersebut yang masih belum dibuka. Kata Abang Hisyam, kotak tu kawan dia punya. Dia duduk dibirai katil.

“Nur balik hari ni,” beritahu Nisa.

“Abange tahu. Tadi temankan angah pergi ambil dia.” Hisyam bangkit bangun dan duduk bersandar di kepala katil. Dia pandang Nisa.

Sengih Nisa melebar.

“Amboi tak sabar nak jumpa adik kesayangan dia tu. Adik yang kat depan ni buat tak tahu je. Sooo…” Nisa jungkit kening. Ada rasa teruja di hati. Selama ini dia menjadi penyampai maklumat tak bertauliah kepada abangnya. Padahal dulu dia cemburu sangat melihat keakraban Nur dengan Abang Hisyamnya. Nur yang selalu Hisyam lebihkan. Tapi selepas melanjutkan pelajaran ke Mesir, hubungan itu macam terputus. Hisyam tidak lagi rapat dengan Nur. Sebaliknya, Hisyam menggunakannya untuk mengutip maklumat tentang Nur. Siap ada upah lumayan lagi asalkan segala-gala tentang Nur diceritakan.

Hisyam mengeluh. Teringat layanan dingin Nur tadi. “Dia buat tak kenal abang. Marah-marah.”

Nisa terus ketawa. Kelakar tengok muka kecewa abangnya. ‘Padan muka.’

“Abang Syam yang cari pasal. Janji bagai nak rak. Tapi satu pun abang tak buat. Padan muka!”

“Abang ada janji dengan pak teh juga. Terpaksalah korbankan salah satu.”

“Janji apa?” Nisa dah pelik. Ini kali pertama Abang Hisyam bercerita.

“Nanti Nisa akan tahu jugak,” balas Hisyam. Mahu lagi berahsia.

Nisa cemik bibir.

“Susah tak nak pujuk Nur kalau dia marah?” Tanya Hisyam tiba-tiba.

Nisa angkat bahu, tak tahu. Tak pernah lagi Nur marah selama ini. Merajuk suka-suka tu adalah. Malah tak pernah pun dia tengok Nur marah. Nur tu lembut dan manjalah. Mana reti marah.

“Nur mana reti marah? Merajuk tu banyak kalilah jugak. Tapi tak adalah merajuk teruk sangat,” balasnya.

“Betul ke Nur marah abang? Atau merajuk je?” Nisa inginkan kepastian. Tak caya ni. Julung kali dengar Nur marah orang. Abang Hisyam pulak tu!

Hisyam angguk. Marah betul bukan main-main. Kalau merajuk pun dia tak reti nak pujuk juga. Dia rindukan Nur yang comel dulu. Versi dewasa ni bukan comel lagi dah tapi cantik dan manis. Walaupun muka tu masam.

“Hurmmm…” Nisa pandang abangnya yang larut dalam perasaannya sendiri. Ada rindu dan kecewa terbias di wajah itu. Membuatkan tanda soal di dalam kepalanya beranak pinak dan semakin besar.

“Tapi kenapa abang nak sibuk-sibuk pasal Nur pulak?” soalnya musykil.

Hisyam diam. Biarlah Nisa mengomel sendiri. Esok-esok nanti dia akan tahu juga.




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6