Bab 2 : Cinta Si Adik Manja


Cerita lama diberi nafas baru.. Harap lebih menghiburkan...




Geng gadis pingitan Kg Berangan

Nisa

Hensem tak Abang Syam?

Siti is typing..

Nur jeling whatapps tanpa rasa mahu membalas. Wajah itu yang selalu dielakkan dilihat. Tapi Nisa makin galak pula berkongsi gambar abangnya. Nak tegur tapi apa alasan dia? Biarpun bertahun-tahun berlalu, sakit di hatinya masih berdenyut tatkala kawan-kawannya rancak bersembang tentang lelaki itu.

Siti

Hensemnya Abang Syam.. melting. Bila dia nak balik Nisa?

Aini

Kan? kacak betul. Macam pak arab dah pulak. Eh.. macam model yang aku tengah skodeng dalam IG ni taylor philips.. My hero.. Sure boleh cair hati aku ni.

Nisa

Selasa ni. Aku pun tak sabar nak tunggu abang aku tu. 7 tahun tak jumpa. Rindu giler kat gurauan dia. Aku dah cakap, tak beli hadiah harijadi aku untuk 7 tahun ni, aku boikot. Hahaha..


Nur diam membaca tanpa mencelah. Bila topik Abang Nisa ni, dia selalu out of zone. Menyampah tapi nak juga baca. Benci tapi curi-curi tengok juga. Walaupun selepas itu dia dengan geramnya padam segala gambar lelaki itu. Munafik. Mungkir janji. Entah-entah sekarang dah kahwin dan beranak pinak, sebab itulah tak hairan langsung kat budak hingusan ini! Dia bencikan Hisyam!

Nisa is typing...

Misah

Abang Syam tak de mak we lagi kan? Aku ingat nak masuk nama sebagai calon mak we dialah..

Nisa

Dia dah ada calonlah. Bakal kakak ipar aku tu cantik sangat. Jangan nak berangan jadi kakak ipar aku ya ;P


Wajah Nur pucat! Bait-bait kata Nisa itu bagaikan menikam hatinya, bertubi-tubi. ‘Apasal aku rasa sakit sangat!’ Matanya hangat. Telefon pintarnya diletak atas meja. Suasana dalam perpustakaan tenang. Semua yang berada di sini fokus menelaah. Dikerdipkan mata beberapa kali. Mahu mencari ketenangan diri yang tercalar. Buku rujukan kimia di atas meja di depannya ditatap sepintas lalu. Hatinya tawar untuk terus mengulangkaji.

Abang Hisyam nak balik

Abang Hisyam dah ada tunang cantik, lawa.

Abang Hisyam dah nak kahwin.

Berulangkali kata-kata itu berlegar di dalam kepalanya. Nur gigit bibir bawahnya, menahan rasa sakit.

Abang Hisyam penipu!

Abang Hisyam munafik

Tak padan belajar kat Mesir tapi pemunafik besar! Jerit batinnya.

Notifikasi whatapps di dalam group terus berbunyi. Dia tahu kawan-kawannya hangat bercakap pasal Hisyam. Dia tak mahu baca lagi. Sakit di hatinya semakin parah. Tapi dia tidak tahu hendak diluahkan pada siapa. Sudah tentu bukan kepada Nisa mahupun kawan-kawan yang lain. Mereka tidak boleh tahu rahsia hatinya yang satu itu.

“Hey Nur, kau okey?” cuitan dan teguran lembut di belakangnya membuatkan dia mendiamkan diri. Cuba mengumpul ketenangan diri. Tisu pantas diambil, wajah dikesat.

Pemilik suara tadi bergerak ke sisi. Kerusi di sebelah di tarik perlahan sebelum melabuhkan punggung. Senyuman kacak menghiasi wajah Azim. Tapi dahinya berkerut apabila melihat wajah sedih Nur.

“Kau kenapa?” dia ingin tahu.

Nur gerakkan kepalanya ke kiri ke kanan. Bibir kuntum senyum tawar. “ Tak ada apalah. Mata aku masuk habuk.”

“Bila kau datang?” soalnya berbasa basi. Kalau boleh ketika ini, dia tidak mahu ada orang mendekatinya. Tapi Nur juga tahu Azim bukan orang yang suka dengan perkataan tidak atau tak boleh. Azim memang seorang yang tak reti bahasa. Dia buat tak layan pun Azim akan tetap datang menempel dekatnya. Sudah tidak mampu dihalau, jadi dibiarkan saja. Lama-kelamaan mereka mula berkawan. Azim ni okey jadi kawan. Tapi yang tak okey, dia jadi mangsa jelingan orang.

“Dah lama. Aku ada discussion dengan group tutor aku.” Azim terus mengamati wajah Nur. Wajah pertama yang dipandang ketika mendaftar kolej. Terus melekat di hatinya. Dia tahu Nur berbohong. Mata masuk habuk, alasan lapuklah. Budak kecik pun pun tahu.

Nur angguk. “Dah habis ke belum kau datang kacau aku ni,” soalnya.

“Take 5 minute break . Kau sorang? Mana Intan dan Fatihah?” mata Azim mencari mereka.

“Entah. Kat bilik kot.” Nur angkat bahu. Selepas habis kuliah tadi dia terus ke mari. Ingatkan nak selesaikan assignment kimia yang pensyarah berikan. Walaupun tarikh hantarnya selepas cuti semester nanti, namun bagi dia semua kerja perlu diselesaikan sebelum cuti. Barulah boleh bercuti dengan tenang hati. Tapi bila baca whatapps group tadi, dia tahu hatinya tidak akan tenang dalam cuti dua minggu nanti.

Azim angguk. Wajah Nur ditatap lembut. Manakala Nur pula tunduk. Adakalanya dia sengaja melarikan anak matanya melihat sekitar. Tidak mahu bertentang mata dengan Azim. Kali ini dia segan. Dia tahu Azim tahu dia berbohong.

“Lima minit kau dah tamat. Baik kau pergi,” usir Nur.

Azim sengih. dia garu kepala. Ralit tadi dia merenung wajah comel di depannya.

“Balik nanti saing sama,” ajaknya.

Nur geleng. “Mesti kau lambat habis lagikan. Malas aku nak tunggu. Kejap lagi aku nak balik dah.”

Azim angguk hampa. “Malam nanti kita makan sama-sama nak? Aku belanja,” ajaknya pula.

Nur pantas geleng kepala. “ Aku tak makan malam. Biasanya aku makan sebelum pukul 7.” Nur memberi alasan.

“Tak apalah. Aku tunggu kau dekat kafe pukul 7,” balas Azim, tak putus asa,

“Balik ni aku beli makan siap-siap. Makan dengan Intan dalam bilik. Lainkalilah.” Nur tetap menolak.

Azim hampa. “Okeylah. Lainkali,” balasnya perlahan. Tak apa. Masih ada beberapa bulan lagi sebelum mereka habis belajar. Ada banyak masa lagi nak memikat hati Nur, bisik Azim kepada dirinya sendiri.

“Azim, cepat wei. Sudah-sudahlah tu jual minyak. Banyak lagi tak diskus ni,” Aulia datang mencelah, salah seorang ahli group tutorial Azim datang menegur. Barangkali bosan menunggu Azim yang menempel di sisinya.

Azim bangun. “Malam nanti aku whatapps kau ek.”

Nur angguk. Aulia pula memberikannya jelingan. Bukannya dia yang nak Azim tu menempel di situ.

*****

“Macam mana bang? Apa kata Hisyam?” segera Ainul Mardihah bertanya apabila melihat suaminya di depan pintu.

Azrul mengeluh. Ainul segera berganjak ke tepi memberi ruang untuk suaminya melangkah masuk. Terdengar suara kakak iparnya menegur abangnya, Ayuni keluar dari biliknya. Terus dia menghampiri Azrul, dadanya berdebar hebat bersama dengan harapan setinggi gunung. Siang malam dia berdoa agar jodohnya bersama Hisyam. Harapnya kali ini impiannya akan menjadi kenyataan.

Azrul menapak ke kerusi. Dihempaskan tubuhnya di situ. Dia pandang isteri dan adiknya. Mereka memandangnya dengan penuh harapan. Hatinya diburu rasa bersalah. Salahnya yang silap perhitungan. Kini Ayuni yang menerima akibatnya. Kalaulah dia tidak bersikap terburu-buru, tentu sekali Ayuni tak kecewa.

“Ambil abang segelas air masak, Ayu,” perintahnya. Ayuni menurut walaupun hatinya tak sabar ingin tahu.

“Apa kata Hisyam, bang?” Ainul Mardihah menyoal lagi.

Azrul menyelesakan duduknya. Kepalanya bergerak kiri kanan. Ainul Mardihah terdiam. Sudah diagak jawapannya, namun hati masih juga mahu menaruh harapan. Kasihan Ayu. Dia diam.

“Air abang,” Ayuni hulurkan gelas air berisi air suam kepada abangnya. Dia ambil tempat di depan abangnya. Sedia menadah telinga mendengar jawapan terbaru Hisyam.

Azrul pandang isterinya, lama. Dia mencari kekuatan untuk berterus terang. Ainul Mardihah mengerdipkan mata, memberi isyarat supaya meneruskannya.

“Abang minta maaf Ayu. Semua ini salah abang. Kalaulah abang siasat dulu bukan buat tanggapan, tentu tak jadi macam ni...” Azrul tarik nafas. Dia pandang adiknya yang sudah tundukkan kepala, sedang meramas tangan sendiri.

Ainul berkalih tempat. Duduk di sisi Ayuni.

“Abang Hisyam cakap apa?” bibir Ayuni bergetar.

Azrul tenung wajah Ayuni seketika. “ Dia dah ada tunang di kampung. Bertunang sebelum datang ke Mesir.”

Dia tahu itu. Ayuni pandang lagi abangnya. Dia tidak ada masalah tentang itu. Dia sanggup terima tunang Hisyam sebagai madunya, asalkan dia jadi isteri pertama. Sungguh dia tak kisah berkongsi Hisyam dengan perempuan lain.

“Hisyam menolak cadangan itu, Ayu. Kata Hisyam, dia hanya perlukan seorang isteri sahaja dalam hidupnya.”

Ayuni geleng kepala. Tidak mahu terima. Bodoh Hisyam ni. Ada perempuan sanggup jadi madu pun tak mahu. Dia ketap bibir. Matanya bergenang. Hatinya sakit. Sukar mahu terima penolakan itu.

“Ayu tahu dia tipu. Abang percaya dia dah bertunang?”

Azrul geleng kepala. Percaya atau tidak, itulah yang Hisyam jelaskan tadi. Jelas niatnya untuk menjodohkan Hisyam dengan adiknya, tidak diterima oleh lelaki itu.

“Dia dah menolak, Ayu. Tipu atau tidak, tak perlu dipersoalkan. Dia bukan jodoh Ayu.”

“Tidak!”

“Ayu yakin sangat dia jodoh Ayu. Berkali-kali Ayu solat istikharah, Ayu nampak dia.” Ayuni tidak segan lagi menangis.

“Sebab ketika Ayu solat istikharah itu, hati Ayu dah pilih dia. Hati Ayu dah penuh dengan wajah dia. Tak kena tu Ayu.”

Ayuni bingkas bangun, air matanya dikesat kasar. Dia melangkah ke biliknya. Pintu dihempas kuat. Hatinya bertekad. Hisyam tetap akan jadi suaminya!




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6