Bab 5 Cinta Si Adik Manja


"Kau orang ni kalau tak mengumpat pasal aku, memang tak boleh hidup aman ke?" tempelak Fatihah. Ditanggalkan kasut, bersepah di tepi pintu. Kemudian dilemparkan pula begnya di atas katil. Panas hati. Tadi sempat dia mencuri dengar mereka mengutuknya. Memang pun dia cemburu dengan Nur. Tanpa sebarang usaha, Nur senang memenangi hati orang, termasuk Azim. Bencinya semakin mendalam.

Nur dan Intan saling berpandangan. Mengumpat ke? Mana ada?

Fatihah ni cantik orangnya. Tinggi lampai dan berwajah peranakan mamak. Sebab itulah dia di antara pelajar yang agak menonjol dan sering menjadi perhatian pelajar lelaki. Manakala Intan pula bertubuh agak montel dan berwajah keanakan. Dia pula sederhana tinggi dan berwajah melayu asli. Ramai yang cakap wajahnya sejuk mata yang memandang. Tapi dia tidak ambil kisah sangat. Lagipun dia bukanlah seorang yang peramah dan agak pendiam sedikit. Itu tanggapan orang apabila kali pertama bersua, padahal dia juga seorang yang boleh tahan peramahnya.

Intan juling mata ke atas. Dia mengumpat pasal orang tak apa pulak. Sekali terkena, terus meroyan? Nur sengih. Intan agak tidak sebulu dengan Fatihah dan selalu mengajuk perbuatannya. Intan cakap Fatihah ni perasan cantik. Perasan dia ratu di sini dan semua orang kena sukakannya. Lain pula apa yang dia fikir. Sikap Fatihah ni lebih kurang sama dengan sikapnya. Tetapi sikapnya hanya menonjol apabila bersama dengan ahli keluarganya dan juga kawan-kawan baik sahaja. Lagipun memang mereka faham sangat, dia anak merangkap adik bongsu yang dimanjakan.

"Kau dah telefon abah?" tiba-tiba Fatihah menyoal.

Nur pandang pelik.

"Sudah. Siap pesan pada umi lagi pagi esok buat sambal mangga dan kerabu terung aku nak ratah." Dijawab juga. Dia sudah terbayangkan keenakan makanan tersebut. Sambal mangga dan kerabu terung ni sangat istimewa. Hanya umi yang tahu menyediakannya.

"Sambal mangga aku pernah dengar, kerabu terung tak pernah dengar, apa lagi rasa. Apa bahan-bahannya?” Intan ingin tahu. Bab-bab makanan ni serah padanya. Bukan saja suka makan, malah Intan juga suka masak. Setiap kali balik rumah, ada saja makanan yang dibawa untuk dijamu kepada rakan sebilik.

Ngeh... Ngeh... Nur sengih. Bab masak ni memang dia tak tahu. Umi pun tak ada paksa dia masuk dapur. Dipanggil masuk pun untuk makan sahaja. Peristiwa dapur hampir terbakar gara-gara umi minta tolong tengokkan ikan dalam kuali menyebabkan dia takut dapur gas. Jadi sampai ke hari ini dia tak pandai masak.

"Aku reti makan je, masak tak tahu,"akui Nur.

"Takkanlah kau tak pernah tengok umi masak, belajar sikit-sikit pasal kerja-kerja di dapur?" Fatihah pula menyoal dengan nada sinis. Siap dengan mimik muka meluat. Walaupun Nur baik dan tidak pernah menyakitinya dengan kata-kata sinis, tapi dia menyampah. Sentiasa merasakan sikap Nur yang lembut itu dibuat-buat. Kemesraan berbual-bual dengan orang tuanya terasa menjengkelkan. Seolah-olah ingin menunjuk-nunjuk bahawa dialah anak yang paling disayangi.

“Aku pernah tolong umi masak ketika umur 13 tahun. Dan dapur terbakar. Jika abah tak bertindak cepat, confirm rumah dah hangus terbakar. Sejak itu umi dan abah tak kasi aku masak.”

“Haaa?” keduanya terkejut.

“Biar betul kau ni? Sampai nak terbakar rumah.” Intan hampir melompat.

Nur sengih malu.

“Aku dengan masak ni mana serasi. Aku dengan makan je, okey.” Nur naikkan dua batang jarinya, simbol keamanan.

Fatihah mencemik. “Alasan. Baik kau jadi tomboy!” cemuhnya.

“Jadi kau tak pernah cuba memasak selepas itu?” Intan jeling Fatihah sebelum pandang Nur.

“Ada. Masak air. Masak nasi aku pandailah.” Nur ketawa. Teringat bila dia cuba tolong umi mengacau gulai di atas dapur, cepat umi tegur, tak payah.

“Teringin jugak nak masak. Tapi buka dapur gas pun aku takut.”

“Parah kau ni.”

“Nanti kahwin, hari-harilah makan kedai nanti. Tak kuasa laki kau nak layan kerenah mengada kau tu. mesti cari lain,” bisanya kata-kata yang keluar dari mulut Fatihah. Siap dengan memek muka mencemik lagi.

“Tak kisah. Kalau dia sayang dan cintakan aku. Tentu dia sanggup terima kekurangan aku ni. Bukannya aku akan paksa dia kahwin pun nanti.” Nur tak mahu kalah. Buat apa nak fikir pasal kahwin lagi. Nanti sampai masa pandai-pandailah dia nak bagi suaminya makan.

“Lelaki ni sebelum dapat memanglah cinta mati. Semua nampak baik dan manis. Tapi bila dah hidup sebilik dan tidur sebantal, semua yang buruk-buruk saja yang dinampaknya nanti.” Fatihah tak mahu kalah.

"Lambat lagi cerita pasal nikah ni. Tunggu aku habis belajar dulu."

"Manalah tahu, kau juga yang cakapkan, abah kau lebih suka anak-anak gadisnya nikah ketika belajar. Baru senang hati nak lepas belajar jauh."

"Kak long dan kak chik aku tu gatal. Masa belajar sudah sibuk bercinta. Sebab itulah abah nikahkan mereka awal-awal."

Rasanya dia terkecuali kot. Sebabnya sehingga kini dia tidak pernah bercinta. Cuma hatinya kadang kala terasa merindui seseorang. Puas juga dia mencari siapa yang membuatkan hatinya rindu, namun gagal.

"Tu kau yang cakap, bukan abah kau."

"Aku rasa kau pun senasib macam kak long dan kak chik kau tu jugaklah. Kena kahwin awal," ramal Fatihah.

Nur terdiam. Hatinya mula termakan kata-kata Fatihah itu. Masuk akal juga. Lagipun abah ni over protective sikit, takut perkara buruk terjadi pada anak daranya jika tak ada orang tengok-tengokkan.

Manakala Fatihah tersenyum dalam hati. Mengharu birukan hati Nur memberikan kepuasan padanya. Biar dia risau. Asyik senyum dan ketawa, meluat aku, bisik hati jahatnya.

Intan yang senyap sejak tadi mula bersuara semula. "Kau tak payah fikirkan sangat Nur. Takkanlah abah kau senang-senang nak lepaskan anak dara bongsunya awal-awal. Mesti kau terkecuali ni."

Nur senyum nipis. Mungkin juga. Takkanlah abah sanggup buat macam tu. Dia kan anak kesayangan abah.

*****


"Assalamualaikum...." Dan bibirnya terus tersenyum menyapa.

Angah berpaling. Senyumannya melebar.

"Walaikumussalam. Bila kau sampai?” Tujuh tahun berlalu. Fizikal mereka banyak berubah. Dari badan sekeping, jadi tegap dan sado. Wajah pula semakin semakin matang. Sesuai dengan usia mereka yang dah menjangkau 26 tahun.

“Tengah malam tadi,” jawab Hisyam.

Dia pandang angah yang membongkokkan tubuhnya, tangan bertongkat di lutut. Nafas termengah-mengah. Muka angah merah. Seketika kemudian dia membuat senaman ringan sebelum menarik nafas panjang.

“Awal kau keluar ambil angin. Tak tidur ke?”

Hisyam sengih. Sebab rindukan suasana kampung yang telah lama ditinggalkan, selepas subuh tadi dia terus turun berjalan. Banyak yang berubah tapi setiap sudut kampung ini ada memorinya yang tersendiri. Istimewa dan akan kekal sebagai kenangan indah di hatinya.

“Ambil udara segar kampung, selepas subuh tadi, mata aku ni terus celik. Jetlag. Rindu nak tengok kampung,” jawab Hisyam. lebih rindu dengan kenangan bersama adik dulu.

“Aku ingatkan kau dah lupakan kampung halaman,” sindir angah. Dia kemudian sengih.

“Mana boleh lupa. Tempat lahir dan besar aku ni. Rindu tak pernah surut pun.” Perlahan suara Hisyam menjawab. Ada rasa bersalah di dalam nadanya. Sebab tidak pernah cuba berhubung dengan angah., padahal mereka ni berkawan baik sejak kecil lagi. Hanya sekali saja dia membalas email angah yang memberitahu tentang adiknya demam rindu. Itu pun ringkas sangat. Dia tahu angah marahkannya. Tapi tangannya terikat janji.

“Baguslah kalau ingat. Bukan lupa macam janji kau dengan adik aku dulu,” sinis angah.

Hisyam diam. Dia pandang jauh ke tengah laut. Bibirnya senyum nipis. Tahu yang angah tidak berpuas hati dengan sikapnya itu. Namun belum masanya lagi dia menjelaskannya.

“Adik demam terus selepas kau pergi. Berminggu-minggu jugak. Mujurlah ada jubah yang kau tinggal, jadi ubat demam dia.”

Hisyam diam. Dia tahu. Bahkan dia juga turut demam rindu.

Sikap diam Hisyam menyebalkan hati angah. Geram hatinya. “ Kenapa kau berjanji tapi tak tunaikan janji itu? Adik aku setiap hari tunggu kau telefon? Patutnya kau tak berjanji kalau tak boleh tunaikan janji tu. Jangan biar orang tunggu. Lebih-lebih lagi budak manja macam adik aku tu.”

Hisyam tarik nafas. Baru berjumpa setelah tujuh tahun, angah dah luahkan perasaan tidak puashatinya. Dia pula tidak ada kata mampu mempertahankan diri sendiri. Salahnya. Memang dia akui. Tapi jika ini untuk menjaga hati orang tua, dia sanggup makan hati.

“Aku tahu. Tapi apa yang dah berlaku aku tak boleh nak putar semula. Aku pun berada di dalam keadaan serba salah.” Hisyam masih ingat apa yang terjadi dulu. Seminggu dia demam nak sesuaikan diri. Dalam masa yang sama mendapat khabar, Nur pun demam. Dia teringatkan jubahnya yang tersangkut di dalam bilik tidurnya, lantas dihubungi maknya di kampung.

“Kenapa tak telefon? Itu saja aku nak tahu alasannya. Ataupun sekurang-kurangnya telefon aku.”



“Nanti kau akan tahu juga. Yang pasti, aku tak pernah lupakan adik. Dia sentiasa ada di dalam hati aku,” ujar Hisyam penuh makna.
Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6