Aisyah Humaira Bab 2




SMK Sri Astana

Kringgggggg....

“Aisyah nanti collect semua buku latihan dan hantar ke meja saya,” arahan terakhir Cikgu Che Eshah disambut dengan keluhan para pelajar tingkatan lima Beta.

“Esoklah cikgu. Tak sempat nak siapkan karangan ni.” Terdengar suara merayu.

Cikgu Che Eshah memandang wajah pelajar-pelajarnya.

“Jadi, dalam exam SPM nanti kamu minta hantar esok juga ke?” nadanya lembut tetapi sinis.

Terdiam para pelajar mendengarnya.

“Dalam exam esok, kamu semua diberikan dua jam tiga puluh minit untuk menjawab empat soalan yang diberikan. Jadi, boleh ke kamu jawab semua soalan itu dalam masa yang ditetapkan?” matanya memerhati setiap wajah anak didiknya.

Ada yang tunduk dan menggeleng. Ada yang termenung.

“Empat bulan; tolak tidur, makan, bermain games dan berdating tu, tinggal berapa hari lagi? Sempat ke tidak kamu membuat latihan membiasakan diri menyiapkan jawapan dalam masa yang ditetapkan?”

Semakin ramai yang menundukkan kepala. Cikgu Che Eshah mengeluh. Dia menggeleng kepala.

“Kali ini, last saya bagi kamu siapkan latihan di rumah. Pastikan kamu hantar esok pagi. Selepas ini, setiap latihan yang diberikan, kena hantar sebaik saja tamat waktu bahasa Melayu.”

“Baik cikgu.”

Bersemangat pula kedengaran suara mereka semua. Terjungkit bibir Cikgu Che Eshah ke atas. Dia menggeleng kepala. Buku diambil dan dia terus keluar dari bilik darjah itu.

“Mujur ... lega aku,” keluh Sofea.

Dia sempat menulis satu perenggan sahaja. Tidak faham soalan, macam mana dia hendak menulis jawapan.

Aisyah tersenyum mendengarnya.

“Itulah, masa cikgu mengajar kau berangan,” usik Aisyah.

“Mana ada. Aku dengarlah apa yang cikgu Che Eshah ajar kat depan tu.”

“Apa yang dia ajar?”

Erk ... Sofea garu kepala. Dia sengih-sengih. Entahlah, rasanya dia dengar apa yang cikgu ajar, tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Mata pula asyik hendak tertutup, suara cikgu macam alunan muzik yang membuatkan dia mengantuk.

“Aku nampak kau tersengguk-sengguk tadi.”

“Kenapa kau tak cubit aku.” Sofea sengih-sengih. Kalau kena cubitan berbisa Aisyah mungkin segar sedikit matanya.

“Tak nak aku. Kulit kau sensitif. Cubit sikit dah berbekas biru. Nanti cikgu nampak, kata aku buli kau pulak.”

“Eh, mana ada. Aku bagi kebenaranlah. Kau boleh cubit aku. Mana tahu berkat cubitan berbisa kau tu, aku dapat A+ semua subjek.”

“Aamiin. Bukan kau je nak semua A+, aku pun nak jugak,” sampuk Norza.

Adelia, Aisyah, Sofea dan Norza berkawan baik sejak dari sekolah rendah lagi. Walaupun Aisyah dan Adelia mendapat tawaran ke SBP dan MRSM, mereka menolaknya kerana ingin belajar di sekolah yang sama.

“Petang ni jadi tak nak stay back study group?” tanya Sofea.

Semalam Aisyah tidak ada, jadi tidak cukup ahli membuatkan mereka menamatkan study group sejam lebih awal.

“Kau tak ada, Irfan kurang bersemangat nak belajar.”

Kening Aisyah terangkat.

Adelia mencondongkan tubuhnya dekat dengan Aisyah.

“Irfan tu memang betul angaukan kau, Syah. Tak dapat nak ditolong dah.”

Berderau darah Sofea mendengar kata-kata Adelia itu. Hati terasa sebab dia sukakan Irfan.

“Huh! Semua orang sukakan aku. Kau pun sukakan aku, kan?” lencong Aisyah, sempat menangkap perubahan wajah Sofea itu.

“Kau ni ... aku cakap, kau main-main pula!” Adelia memukul perlahan lengan Aisyah.

Aisyah menayang sengih.

“Kita ni nak SPM hujung tahun ni, jadi aku tak ada masa nak fikir dia suka aku ke, aku suka dia. Tak ada istilah suka dan cinta dalam hati aku sekarang ni. Fokus aku, SPM. Lepas SPM baru cerita,” jelas Aisyah dalam satu nafas.

“Lepas SPM Irfan ada peluang tak?” soal Sofea lagi, inginkan kepastian. Mana tahu dia dapat mengorek rahsia hati Aisyah.

Aisyah menggeleng. “Sukalah. Kawan, kan. Kalau tak suka macam mana boleh berkawan?”

“Jadi, Irfan ada peluang jadi boyfriend kau?” Sofea tidak putus asa. Berdebar juga hatinya menunggu jawapan Aisyah.

Norza dan Adelia  yang mendengar, saling berbalas pandang. Sofea memang tergila-gilakan Irfan tapi Irfan pula sukakan Aisyah; nasib baik Aisyah tidak membalas perasaan Irfan itu.

Aisyah ketuk kepala Sofea.

“Kau ni kenapa hari ni? Mamai? Mabuk? Bukan kau tak tahu, aku tak suka cakap soal hati selagi tak settle exam SPM.”

“Aah la ... aku lupa,” balas Sofea dengan sengihan, walaupun tidak mendapat jawapan pasti daripada Aisyah.

“Sebenarnya, aku kasihan tengok Irfan tu. Semalam tengok muka frust dia, buatkan aku terfikir apa salahnya kalau kau cuba terima dia. Belajar sama-sama. Mana tahu boleh termotivasi dan jadi best student SPM tahun ni.”

“Apa kata kau try pikat hati Irfan tu? Mana tahu kau dengan dia boleh jadi pasangan best student SPM tahun ni,” balas Aisyah semula.

Dia tidak suka diregu-regukan dengan Irfan. Semakin lama, dia menyampah mendengar namanya dipasangkan dengan Irfan.

Memandai sahaja Sofea pasangkan dia dengan Irfan. Sedangkan dia langsung tidak ada perasan pada Tengku Irfan tu, tapi dia perasan Sofea ada menyimpan perasaan terhadap Irfan.

“Kalaulah dia pandang aku ni, memang aku terima. Tapi...” dia melirik ke arah Aisyah.

“Dia nampak kau je, tak pernah nampak aku,” keluhnya.

“Kau dah cuba tarik perhatian dia?” soal Norza.

Sofea menggeleng kepala. Malulah dia. Takkan dia pula yang harus memikat Irfan.

“Sekarang ni lelaki atau perempuan sama saja. Tak kisah siapa yang pikat siapa dulu.”

“Tapi...”

“Tapi aku rasa kau patut fokus kepada SPM dulu. Lepas SPM nanti, baru cuba dekati dia,” sambung Aisyah.

“Kalau aku pikat Irfan, kau terasa tak?”

“Sikit pun tak terasa sebab aku hanya anggap dia sebagai kawan,” cepat Aisyah menjawab.

Sofea menarik nafas lega.

“Tapi aku nak ingatkan kau, kalau dia tak suka, kau jangan terhegeh-hegeh pula. Ramai lagi lelaki dekat universiti kau akan jumpa nanti. Jadi, jangan frust sangat,” sampuk Adelia pula.  

Aisyah dan Norza mengangguk, mengiyakan. Mungkin ada yang bercinta dari zaman sekolah sampai ke jinjing pelamin tapi ada juga yang terkandas di tengah jalan. Jadi, lebih baik bersedia dengan kemungkinan terputus di tengah jalan itu.

“Jom, makan.”

“Okey.”

Di kantin...

“Aisyah, Sofea ... sini!” lambai Ahmad, rakan baik Irfan.

Mereka berdua terus melangkah mendekati Ahmad yang menjaga meja makan itu.

“Korang tunggu sini, aku tolong Irfan ambil makanan.”

Memang sengaja dia menunggu di situ sebab tidak mahu tempat tersebut diduduki oleh pelajar lain.

“Eh, Mat ... kami boleh pergi beli makanan sendirilah.”

“Tak payah. Irfan belanja. Korang duduk sini, tunggu kami ambil makanan,” beritahu Ahmad.

Sofea, Adelia dan Norza memandang Aisyah penuh makna.

What?” soal Aisyah, buat-buat tidak faham.

“Kau sorang saja yang dapat merasai layanan istimewa Irfan ni,” kata Adelia.

“Eh, bukan aku sorang ya. Korang pun termasuk sekali,” sangkal Aisyah.

“Yalah, sebab jadi kawan kaulah kami dapat merasa makan free, siap dihidangkan lagi,” usik Norza.

Sofea mengangguk lalu tersenyum. Senyuman yang jelas hambar. Dia sebenarnya terasa dengan layanan Irfan ini. Selama ini, dia sering memberikan perhatian istimewa kepada Irfan, namun tidak pernah sekali pun dia dilayan sebagaimana Irfan melayan Aisyah.

Norza mencuit Adelia dan memberi isyarat supaya melihat Sofea. Jelas wajah Sofea berubah dengan usikannya tadi.

Aisyah sekadar menjeling dan kemudian menggeleng kepala.

 

“Sahabat yang baik tidak akan mengkhianati, sebaliknya menasihati, melindungi dan tulus mengasihi.”

 



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6