Aisyah Humaira Bab 1

“Aisyah, tungguu!”

Jeritan itu membuatkan langkah Aisyah terhenti. Dia berpaling dan melihat Adelia yang berlari ke arahnya. Aisyah menggeleng kepala melihat kawannya berhenti di hadapannya, termengah-mengah.

“Apasal kau berjalan laju sangat?” rungut Adelia.

“Nak balik cepat. Kenapa?”

“Jadi, kau tak join study group hari ni?”

Aisyah menggeleng. “Tak. Kan aku dah bagi tahu dalam group Whatsapp.

“Kan aku dah cakap telefon aku tertinggal kat rumah.”

“Ooh, lupa.” Aisyah menayang sengih.

“Tentu Irfan frust kau tak ada petang ni.”

“Yang lain semua ada, kan? Aku je tak ada petang ni,” balas Aisyah endah tak endah.

“Bukannya kau tak tahu, Irfan join study group kita sebab kau. Dia tu tak join pun tak apa, family dah cari cikgu tuisyen datang ajar kat rumah.”

“Bukan kita paksa dia join pun.” Aisyah menjeling mata ke atas.

Adelia tersengih melihat reaksi Aisyah itu. Dia tahu Aisyah tidak sukakan Tengku Irfan itu, tapi Irfan sukakan Aisyah; sampai cikgu pun tahu.

“Kau nak balik awal hari ni, kenapa?” tanya Adelia

“Tok ayah dan opah aku datang hari ni. Jadi, aku nak balik jumpa merekalah.”

“Ala ... kalau kau balik lambat pun tak apa. mereka faham, kan? Kau kan nak SPM tahun ni, kena study.”

“Tapi, aku ni yang tak okey. Dah hampir setengah tahun tak jumpa mereka, rindulah dengan tok ayah dan opah aku tu. Tu yang aku tak sabar nak balik.”

Adelia terdiam.

“Kau rapat dengan mereka?”

Aisyah mengangguk. “Masa kecil dulu mereka yang jaga aku. Masa tu mama aku tak habis belajar lagi.”

“Aku balik dululah. Kirim salam dekat kawan-kawan. Minta maaf sebab tak dapat join hari ni. Insya-Allah esok aku join study group,” ujar Aisyah apabila melihat Adelia diam.

Adelia mengangguk.

Bye.”

Mereka saling melambai tangan.

******

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam.”

Tubuh tua Hajah Bidah dipeluk erat. Mata Aisyah berkaca-kaca.

“Kakak rindu sangat kat opah.” Dua belah pipi Hajah Bidah dikucup.

“Opah pun rindukan kakak.”

Pelukan dileraikan tetapi Aisyah tidak melepaskan tubuh opahnya. Pinggang Hajah Bidah dipeluk.

“Tok ayah mana?”

“Ada dalam bilik tu, tertidur selepas solat zuhur tadi. Pergi kejut.”

Pelukan dilepaskan dan Aisyah terus berjalan menuju ke bilik khas yang disediakan untuk tok ayah dan opah bila mereka datang ke sini.

Krek ... pintu dibuka perlahan. Aisyah melihat tok ayah yang tengah tidur. Akan tetapi, bukan itu yang menarik perhatiannya; sebaliknya gadis berbaju putih yang duduk bersimpuh di atas sejadah.

“Anum?”

“Aisyah.” Dang Anum senyum apabila melihat Aisyah.

“Awak ikut mereka datang?”

Dang Anum mengangguk. Dia tersenyum tetapi matanya berkaca-kaca.

“Saya rindukan awak. Dah lama awak tak balik kampung.”

“Tahun ni saya bakal ambil SPM. Jadi, saya sibuk belajar. Tak sempat nak balik kampung. Maafkan saya Anum.”

Dang Anum menggeleng kepala. Dia menarik Aisyah duduk di sisinya.

“Awak semakin cantik,” pujinya.

Aisyah tunduk melihat diri sendiri yang masih berpakaian sekolah.

“Mana yang cantiknya. Saya baru balik sekolahlah. Muka berminyak dan berpeluh ni.”

“Awak cantik dan menawan bila memakai pakaian putih.”

Mengekek Aisyah ketawa mendengar pujian itu.

“Saya tahu, mesti wajah saya nampak berseri-seri, kan?” usik Aisyah.

Bukan dia tidak tahu, Dang Anum suka melihat dia memakai baju putih. Katanya putih melambangkan kesucian dan kemurnian, membuatkan gadis yang memakai pakaian putih nampak polos dan suci.

“Aisyah...” mereka terdengar suara garau tok ayah memanggil.

Aisyah bingkas bangun. Dihampiri tok ayah di atas katil. Tangan tok ayah disalam dan dicium.

“Tok ayah dah bangun? Baru kakak nak kejutkan.”

“Hmm...”

“Dengar suara kamu berbisik  dan ketawa tu mananya tok ayah tak terjaga.”

Aisyah mengetap bibir. Dia menjeling Dang Anum di tepinya.

“Tok ayah bawa kawan kakak sekali, mestilah kakak suka.”

“Dia nak ikut. Katanya dah lama tak jumpa kamu.”

“Mak dan ayah dia tak marah ke tok ayah?” soal Aisyah.

“Mak saya bagilah. Dia tahu saya rindukan awak.”

Tok ayah diam. Dia tidak boleh nampak tetapi boleh dengar suara Dang Anum.

“Kamu berbual-buallah, tok ayah keluar dulu.”

Aisyah mengangguk.

“Berapa lama Anum singgah kat sini?”

“Tak tahu ... kalau ayah panggil balik, saya baliklah,” balas Dang Anum sambil tersenyum.  

“Jom, masuk bilik sayalah. Saya nak mandi dan solat dulu. Nanti kita sembang.”

“Okey.”

Sementara itu di ruang tamu, keluarga Aisyah rancak bersembang.

“Tok ayah, ada kawan bunian Kak Cah datang ke?” soal Izwan ingin tahu. Dia tahu tok ayahnya mampu mendengar suara dari alam ghaib.

Dia mendengar kakaknya bercakap-cakap dan ketawa seorang diri, terus bulu romanya berdiri. Selain Aisyah dan Fatimah, tok ayahnya juga mempunyai keistimewaan itu.

“Hmm ... kawan dari kampung. Ikut tok ayah dan opah sekali datang. Katanya lama tak jumpa Aisyah.”

Dup dap, dup dap hati Izwan mendengarnya. Pasti malam ini dia tidak dapat tidur. Seram sejuk kaki tangannya.

“Kenapa tok ayah bagi kawan Kak Cah ikut sekali? Aara takutlah,” rungut Aara, adik bongsu Aisyah.

“Mana tok ayah boleh halang dia datang. Ayah Dang Anum tu datang ke rumah tok ayah, bagi izin tok ayah bawa Anum ke mari. Dia datang dengan baik, jadi kita kena terima,” beritahu tok ayah.

“Kamu ni ... cuba jadi berani sikit. Mereka tu makhluk Allah juga. Bila kita buat baik, mereka akan berbuat baik dengan kita. Cuba jadi macam Kak Cah dan Kak Timah kamu tu, sedikit pun tak takut. Siap boleh berkawan baik lagi dengan mereka.”

“Mereka boleh nampak. Tapi Aara dan Abang Iwan ni, mana boleh nampak tok ayah. Tengok Kak Cah ketawa dan bercakap dengan mereka pun kami dah takut,” ngomel Aara lagi.

“Rupa mereka sama macam kita. Cantik dan kacak macam manusia jugak. Cuma, asal kejadian mereka daripada api, kita daripada tanah.”

Aara menggeleng kepala. Biarlah dia tidak nampak dan tahu. Itu lagi baik.

Dalam rancak mereka bersembang, Aisyah keluar dari biliknya dengan senyuman terhias di wajahnya. Wajahnya ceria dan berseri.

Aara mengeluh dalam hati.

“Kak Cah, tak takut ke?” buat sekian kali, itulah soalan yang ditanya setiap kali kawan bunian Aisyah bertandang.

“Takut apa? Mereka pun makhluk Allah juga. Bukan makhluk jahat pun.”

“Tapi ada jugak yang jahat,” bangkang Aara.

“Setakat ni, Kak Cah tak jumpa lagi yang jahat. Kawan-kawan Kak Cah semua baik-baik. Mereka juga selalu ingatkan Kak Cah berbuat kebaikan. Memberi amaran kalau ada yang tak kena.”

“Tapi Kak Cah...”

“Tak ada tapi-tapi lagilah. Mama, Kak Cah nak pergi kampung sebelah sekejap. Nak bawa Anum jumpa Siti Hajar. Nak tumpangkan dia bermalam kat rumah Hajar,” Aisyah meminta izin.

“Pergilah. Tapi, jangan pergi lama sangat. Dah petang sangat ni. Mama takut Kak Cah tak jumpa jalan pulang pulak. Esok sekolah,” pesan Puan Habsah penuh peringatan.

Pernah terjadi sekali. Aisyah pergi ke perkampungan bunian. Dia terlupa masa dan lama berada di alam sana. Mereka sekeluarga panik. Takut orang bunian tidak bagi Aisyah pulang.

Aisyah menayang sengih. Dia faham kerisauan mamanya.

“Sekejap je mama. Lagipun, hari ni Kak Cah tak study pun lagi. Study group pun skip petang tadi,” jelas Aisyah meyakinkan mamanya yang dia tidak akan berlama-lama di sana. Pelajaran tetap diutamakan.

“Okey, pergilah.”

“Terima kasih mama. Tok ayah dan opah rehat dulu ya. Nanti malam, nanti kita sembang.”

“Ya ... pergi cepat, balik pun cepat,” pesan tok ayah pula.

Aisyah senyum.

“Anum, jom kita pergi,” ajak Aisyah sambil berpaling ke belakang, melambai dan senyum.

Ahli keluarganya melihat tanpa menegur lagi. Mereka tahu ada makhluk lain bersama mereka.

“Ayah harap Aisyah akan jumpa lelaki yang faham keadaannya ini,” ujar Haji Yaakob. Ekor matanya terus memerhati gerak langkah cucunya. Wajahnya ceria dan berseri. Pipinya kemerah-merahan.

Aisyah Humaira... 


Pembelian di kedai online



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6