Bukan Sekadar Mimpi 5


Bab 5

“Kak Anna teman sampai sini je. Nanti adik masuk sendiri kat dalam tu. Bila dah habis, call akak. Kak Anna ada dekat NU Sentral.”

Azim mengangguk faham, padahal dia tidak mendengar pesanan Anna. Dia ralit membaca mesej Jinyung.

+Dekat lobi, staf hyung tunggu Azim.

-OK hyung. Saya dah sampai kat lobi.

+Wait a minute.

“Dengar tak Kak Anna pesan ni?”

“Hah? Dengar. Kejap lagi ada orang datang jemput adik. Kak Anna jangan risaulah. Tahulah orang jaga diri.”

Anna menarik nafas panjang. Jangan risau ... jangan risau! Hatinya memang tengah risau. Mana pernah dia meninggalkan Azim sendirian di tempat awam. Belum pernah.

Lainlah kalau di rumah, ada jiran-jiran tolong tengokkan. Pak Mid juga turut memerhatikan agar  Azim tidak keluar dari kawasan apartment.

“Awak tu baru 10 tahun, macam mana Kak Anna tak risau.”

“Kalau gitu, baik Kak Anna ikut adik sekali. Tak adalah risau sangat, kan?” Azim memberi cadangan bernas.

Anna mencebik. “Tak kuasa akak nak bersesak kat dalam tu. Macam-macam bau ada.”

Azim buat memek muka, mengajuk Anna membebel. Bosan apabila Kak Anna membebel macam mak nenek. Macam-macam yang dipesannya, padahal dia mahu berjumpa dengan Jinyung hyung sahaja.

Anna menjegil ke arahnya, cubitan keras dihadiahkan di lengan Azim. Azim menjeling geram, tetapi dia tidak berani mengajuk lagi, takut kena heret balik.

Hello, Azim.” Tiba-tiba datang seorang lelaki Korea menegur mereka. Wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi dengan hoodie dan cermin mata hitam besar.

Yes, I am...” Bulat mata Azim melihatnya. Dia dapat mengecam lelaki itu. Jinyung.

Hyung ... Jin ...” belum sempat dia menyebut nama lelaki tu, Jinyung memberi isyarat supaya Azim diam.

Nice to meet you, Azim.” Sempat Jinyung melirik ke arah gadis manis di sebelah Azim. Berdepan begini, Anna nampak lebih cantik.

“Kak Anna ... tengok! Betulkan? Adik cakap betulkan selama ini adik berDM dengan Jinyung hyung,” bisik Azim teruja.

Anna melirik senyum paksa. Dia melihat Jinyung membongkokkan separuh tubuhnya, tanda memberi salam dan hormat.

“Hyung, meet my sister ... Anna. She’s a number one fan of Korean drama.”

Merah muka Anna mendengar pengenalan adiknya.

“But she’s not interested in K-pop Idol, but the strange thing is she’s good at K-Pop dance,” usik Azim.

Kononnya berbisik, padahal semeter boleh dengar suaranya.

“Azimmm!”

Jinyung tersenyum-senyum mendengar kata-kata Azim itu.

“Come on, we have to go now. We are going to start in ten minutes.”

“Jaga diri dan jangan menyusahkan orang lain. Dah habis nanti call akak,” pesan Anna.

Berat hatinya mahu melepaskan Azim, tetapi dalam masa yang sama dia faham dengan keterujaan Azim yang mahu menghabiskan masa bersama idolanya.

“You’re not coming?”

“No. I have something else,” balas Anna.

“Take care of my brother, please. Make sure he doesn’t mess up your program. I’ll pick up him later,” pesan Anna tanpa memandang Jinyung.

Dia berasa malu.

“Don’t worry about it. I’ll look after him like my own brother.

Azim tersenyum lebar mendengar kata-kata Jinyung itu. Bangga hatinya apabila dirinya dianggap seperti adik sendiri oleh idolanya. Keningnya tergedik-gedik sambil memandang Anna, bangga.

Anna mengangguk dan melepaskan mereka pergi. Manakala dia pula bergerak keluar menuju ke NU Sentral.  

*****

Jinyung, Dan Kim, Beak Yun, Jong Kok dan Si Won menghembuskan nafas kelegaan apabila event tamat. Mereka keletihan melayan para peminat, namun berpuas hati dapat memenuhi permintaan peminat di Malaysia.

Mereka sepatutnya datang pada tahun lepas, namun terpaksa menunda hasrat tersebut disebabkan masalah kesihatan Jinyung dan Beak Yun. Bagi mereka, tanpa sokongan peminat mereka tidak akan popular.

 Azim turut sama menyertai permainan yang telah diaturkan. Dia juga penat, tetapi perasaan teruja dan gembiranya membuatkan keletihan itu seolah-olah tidak terasa.

“Seronok?”

“Seronok sangat. Hyung semua memang sporting habis,” puji Azim.

Dia tidak menyangka, melayan peminat boleh sepenat ini. Namun, sikap ramah artis Korea itu membuatkan rata-rata yang datang, pulang dengan senyuman lebar. Dia pula semakin dapat menyesuaikan diri bersama mereka.

“Dah mesej Kak Anna?” Jinyung bertanya tiba-tiba. Prihatin. Tidak mahu Anna menganggap dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

“Kak Anna??”

 Serentak empat pemuda Korea yang sedang duduk melepaskan penat itu bersuara dengan nada terkejut.

“Lawa tak?”

“Comel tak?”

“Cantik tak?”

Serentak mereka bertanya ... teruja!

“Cantik, lawa, comel dan pandai menari, pandai memasak dan tak suka K-pop, tapi suka menonton drama Korea dan Cina,” jawab Azim dengan bangga.

Memang betul pun Kak Anna cantik. Tidak pernah jemu dia memuji kakak kesayangannya itu.

Notifikasi WhatsApp telefon pintar Azim berbunyi. Sibuk mamat K-pop mendekatinya, mahu membaca juga.

“10 minit lagi Kak Anna sampai,” beritahu Azim.

Jinyung menjeling memberi amaran kepada ahli kumpulannya. Serta-merta mereka berundur dan tidak jadi menyibuk. Namun, mata dan telinga tetap dipasang untuk melihat dan mendengar perbualan atau WhatsApp daripada Anna.

“Jom, kakak mesti dah sampai kat lobi,” ajak Jinyung. Dia tidak mahu Anna menunggu lama.

Azim tersengih. Walaupun dia tidak faham mengapa mereka tiba-tiba diam dan berundur, Azim suka dengan sikap Jinyung yang melindunginya.

“Kami ikut sekali.”

“Apa kata kita keluar bersiar-siar?” Beak Yun memberi cadangan. Lagipun, masa lapang mereka hanya petang ini sahaja.

Mereka datang mengadakan konsert di sini, dalam masa yang sama mereka akan merakamkan muzik video untuk lagu terbaru mereka. Ada lirik dalam bahasa Melayu. Sebab itulah rakaman muzik videonya dilakukan di Malaysia.

Yes ... aku setuju. Lagipun, petang ni kita free. Boleh kita melihat-lihat Kuala Lumpur. Kakak Azim boleh jadi tour guide kami, kan?” Dan Kim bertanya.

“Boleh. Sebut je ke mana nak pergi kat KL ni, Kak Anna tahu.” Azim terus menjual nama kakaknya.

“Dia setuju tak?” Jinyung menyoal tiba-tiba. Bimbang menyusahkan gadis itu. Bukan dia tidak tahu sikap nakal ahli kumpulannya, mahu nanti kakak Azim menjadi mangsa usikan mereka.

“Mestilah setuju. Kak Anna takkan tolak permintaan artis idola adiknya,” balas Azim, yakin.

“Kak Anna!.”

Anna berpaling ke arah suara itu. Azim berlari mendekatinya dengan senyuman lebar. Mengekori di belakangnya, lima orang lelaki Korea berpakaian low profile, tetapi cara pemakaian mereka itu tetap menarik perhatian orang ramai.

Anna melihat ke ruang lobi hotel, masih ada peminat kumpulan ini yang belum balik. Mujurlah mereka tidak menunjukkan sikap teruja melampau. Hanya melambai-lambai dari jauh sahaja. Anna lega. Kalau tidak, dia akan terus menarik tangan adiknya balik. Tidak mahu dia dihimpit oleh peminat mereka.

“Hai, Kak Anna.” Serentak empat lelaki Korea itu menyapa dan membongkokkan tubuh mereka separuh, tanda hormat.

Anna terkejut. Seperti tidak percaya pula  melihat mereka berlima di hadapannya dan memanggilnya ‘Kak Anna’ walaupun usianya lebih muda daripada mereka.

 

“H-e-l ... hello...” Anna tunduk membalas. Dadanya berdebar-debar.

‘Kenapa pulak mamat Korea ni ikut Azim. Aku tak minat pun nak kenal,’ rungutnya dalam hati.

“Kak, mereka nak jalan-jalan tengok KL. Jadi, nak minta Kak Anna jadi tour guide,” beritahu Azim.

Kecut juga perutnya, takut kakaknya marah. Dalam hati Azim tidak putus-putus berdoa agar kakaknya setuju.

Wajah Anna berubah. Geram pun ada. Pandai-pandai Azim membuat keputusan sendiri tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Kecil besar, kecil besar dilihatnya Azim. Mengapa pula namanya dipetik, padahal ramai peminat mereka yang sanggup menjadi  tour guide mereka.

“Kak Anna sudi tak? Ini kali pertama kami sampai ke Malaysia. Tentu Kak Anna tahu banyak tempat menarik di KL ni, kan?” tanya Beak Yun.

Dia berharap Anna akan bersetuju. Sempat lagi matanya mengerling Jinyung. Rakannya itu diam sahaja. Sikapnya tidak pernah berubah. Bukan dia tidak perasan air muka Jinyung berubah lembut apabila memandang Anna tadi. Sorotan matanya pun lain macam. Jadi, sebab dia baik hati, dia membuka peluang Jinyung mendekati Anna.

Anna menjeling.

“Siapa kakak awak!” marah Anna, garang.

‘Suka hati dia panggil orang kakak,’ gerutunya.

Beak Yun terkejut. Dia berundur setapak dan menundukkan pandangan.

“Uish, garangnya kakak Azim!” bisiknya, tetapi jelas kedengaran suaranya.

“Kak Anna, bolehlah kak. Diorang nak kenal KL ni. Siapa lagi nak bawak kalau bukan kita,” rayu Azim, cuba meraih simpati.

Padahal dia mahu bersama idolanya lagi. Tidak puas hanya dua jam sahaja. Banyak lagi yang dia hendak tahu tentang mereka.

Anna menunjukkan wajah garang, tetapi hati tercuit apabila melihat muka kasihan lima orang mamat K-pop di hadapannya. Dia mengeluh. Jari menyisir rambut hitam separas bahu itu. Terasa panas, dia menarik scruncies di pergelangan tangan untuk mengikat rambut.

“Bolehlah kak. Hari ni je diorang free. Esok dah sibuk dengan program lain.” Tangan Anna diayun. Azim terus mempamer muka kasihan.

Anna tidak sampai hati mahu menolak. Dipandang mamat Korea di hadapannya, satu per satu. Hanya wajah Jinyung sahaja yang jelas di matanya. Melihat pemakaian mereka, kalau keluar dari hotel ini, tentu akan menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi warna rambut mereka. Dari jauh mereka sudah boleh dikenali, apatah lagi kalau peminat fanatik mereka. Tidak sanggup Anna mahu membayangkan kekecohan yang akan terjadi.

Anna memandang mereka; otaknya ligat memikirkan pakaian yang sesuai untuk mamat berlima itu, supaya tidak menarik perhatian orang.

“Baik, tapi dengan syarat mereka kena ikut cakap Kak Anna,”  tegas Anna.

Dia dan Azim akan terdedah kepada bahaya kalau ada paparazi mengambil gambar mereka. Mereka mungkin akan menjadi mangsa buli siber peminat kumpulan ini.

Bukan Anna tidak tahu, ramai yang kena buli gara-gara sikap fanatik peminat K-pop Idol ini. Bukan hanya peminat, malah ada artis K-pop itu sendiri pun dibuli sehingga mereka bertindak membunuh diri.

“Yeay!! Mesti mereka akan ikut cakap Kak Anna. Kan ... kan?” Azim terlebih gembira.

Dan Kim cepat mengangguk sebab dia faham apa yang Anna katakan. Yang lain pun turut sama mengangguk. Walaupun lambat mahu menangkap kata-kata Anna, mereka juga memahami apa yang dikatakan. Terima kasih kepada Dan Kim yang selalu berbahasa Melayu.

“Pertama kali, tanggalkan segala mak nenek subang dan cincin tu. Togelkan muka tu dulu. Basuh muka, buang mekap. Takut kulit terbakar, pakai sunburn lotion je. Pakai T-shirt jangan warna terang-terang sangat, hitam putih or warna gelap-gelap. Jeans biru atau hitam je. Warna lain tak boleh.”

Dan Kim mengembungkan pipi, menahan tawa sebaik-baik sahaja mendengar perkataan ‘togelkan muka’ itu. Dia segera memandang ke arah lain. Yang lain pula, tercengang-cengang mendengar kata-kata Anna itu.

Selesai Anna bercakap, barulah Dan Kim melepaskan tawanya.

“Kali pertama saya dengar perkataan togel,” ujar Dan Kim di hujung tawanya dalam bahasa Melayu yang fasih.

Anna terkejut. “Awak tahu cakap Melayu?”

“Sikit-sikit.” Dia mengigit bibir bawah. Tersasul pula bercakap Melayu. Kantoi.

Azim tersengih melihat gelagat Dan Kim. Dia tahu Dan Kim pernah tinggal di Malaysia dan boleh bercakap dalam bahasa Melayu.

“Jadi, mesti awak tahu kan selok-belok KL ni; boleh bawak kawan-kawan awak jalan-jalan, kan?”

“Err ... tak. Tak tahu. Dulu saya tinggal di JB,” Dan Kim memberi alasan. Terasa peluh sejuknya keluar. Sempat dijeling Jinyung seketika.

“Cepat naik tukar baju. Nanti kang Kak Anna tukar fikiran,” Azim memberi amaran.

Dan Kim menarik rakan-rakannya pergi sebelum sempat Anna berkata-kata lagi. 


Ini adalah bab terakhir di blog ini. Untuk mengetahui kesudahan kisah ini boleh dapatkan ebooknya di kedai online saya dengan klik link beli ebook di atas. Ebook ini juga boleh didapati di esentral.com. 

Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6