Raikan Cinta Kita - 2


 
(Novel Cinta Adik Manja)

“Kak Auni....”

“Isyy mak budak ni. Cuba buat perangai elok-elok sikit,” tegur umi. Dia geleng kepala.  Masih lagi tak berubah sikap biarkan dah jadi seorang ibu.

Nur sengih.  Nurin Sofea menggeliat di atas ribanya. Terganggu dengan suara soprano mamanya.  Oppss terlupa. Dia mengulit Nurin kembali. Melihat kakak sepupu yang agak lama tidak ditemui, hatinya teruja. Banyak cerita yang ingin dikongsikan. Suami ustaznya entah ke mana menghilang dengan abah. Tak pernah lama berada di rumah. Ada sahaja benda yang mereka buat. Sesekali bila moodnya swing, mahu merajuk sampai habis syawal ni. Iyalah selalu tinggalkannya sendirian di rumah.

Auni melangkah menghampiri Nur  di sofa. Dia labuhkan punggungnya di sisi Nur, adik sepupu kesayangannya. Adik manja dulu sudah menjadi seorang ibu. Terserlah sifat keibuan di wajah manis Nur. Namun sikap manjanya tak berubah.

“Nasib baik tak terlompat bangun tadi. Kalau tak kasihan baby terjatuh sebab mamanya brutal,” bebel Auni.  Dicuit pipi tembam Nurin Sofea. Geramnya nak gigit-gigit. Tidurnya tak terkuit langsung.

“Itu pun nasib baik Mak Teh ada kat sini ni haa.. Kalau tak dah terkam dah kamu tadi, Auni,” tambah umi pula.

Sengihan Nur masih lebar. Dia hulur tangan mahu bersalam dengan kakak sepupu kesayangannya ini. Tangan Auni dicium. Pipinya pula menjadi sasaran bibir Auni. Rindu sangat. Kali terakhir mereka berjumpa adalah semasa majlis perkahwinannya. Ketika Kak Auni kahwin, dia tidak dapat balik sebab tengah final exam.

“Kak Auni makin cantiklah,” puji Nur.

“Adik kak Auni ni pun sama. Makin cantik berseri,” balas Auni. Wajah Nur nampak bercahaya. Jelas di matanya, Nur bahagia hidup bersama Hisyam. Dulu bukan main lagi mahu lari dari rumah, tak mahu kahwin. Sekali, bila dah jadi isteri, terus tak mahu berpisah. Dia teringat cerita Mak tehnya, selepas dibawa berbulan madu di Bukit Tinggi Freser, terus mahu ikut Hisyam ke Kuala Lumpur.

“Duduklah Aazad. Budak berdua ni kalau berjumpa terus lupa orang di keliling,” pelawa umi.  Dia geleng kepala.

“Abang Aazad, Nur pinjam Kak Auni kejap eh. Tak lama sejam dua je,” terus Nur minta kebenaran.

“Tak bolehlah Nur, nanti abang rindu pulak tak jumpa buah hati abang sejam dua ni,” balas Aazad, mengusik.

Nur cemik bibir. “ Kedekutlah abang ni. Sejam dua je. Bukan setahun dua.”

“Hahaha... Kalau setahun dua, demam rindulah abang sampai kurus kering,” balas Aazad sambil ketawa.

“Tak usah layan cakap dialah Nur. Hisyam mana?”

“Entah!” balas Nur. Ada nada rajuk di dalam suaranya. Cemburu bila masa suaminya banyak dimonopoli oleh abahnya sendiri.

“Aik?” Auni angkat kening.

“Abang tu anak menantu emas abah, bukannya Nur. Jejak je kaki kat kampung terus abah heret ikut dia entah ke mana. Sibuk mengalahkan pak menteri lawat kawasan,” bebel  Nur geram.

“Budak manja ni tak habis-habis nak jeles dengan abah sendiri Auni. Dia mahu berkepit je dengan Hisyam 24 jam. Mahunya tak kena tarik dengan abah,” cerita Kak long yang  baru keluar dari biliknya. Dia baru sahaja sampai bersama keluarganya. Anak-anaknya pula sebaik keluar dari kereta terus ikut angah pergi  beraya.

Mulut Nur terus memuncung. “ Dah jadi suami adik, mestilah nak berkepit dengan dia je. Takkanlah nak berkepit dengan abah pulak. Marah umi,” jawab Nur tidak mahu kalah.

“Eh hello dik. Kak long pun ada suami juga. Tapi tak adalah macam kau, asyik nak merenyam dengan laki je,” sindir kak long. Dia ambil tempat di sofa sebelah kanan.

Muka Nur memerah. Dia ketap bibir. Sentap dengan kata-kata berbisa kak longnya. “ Suka hatilah, dah laki aku,” balasnya keras.

“Isyyy.. budak-budak ni. Jumpa bertengkar. Tak jumpa rindu. Baru je salam minta maaf tadi dah bergaduh balik?” umi geleng kepala.

“Saja nak menyakat adik ni umi. Biar tough sikit. Ni sikit- sikit Hisyam. Hisyam tu pula manjakan sangat budak manja ni,” balas kak long.

“Aku pun Aazad manjakan juga. Lebih dari Nur ni. Kau tu pun sama masa awal-awal kahwin dulu. Siap abang long kena temankan kau kat hospital, kau tak bagi balik bila kena kerja di hari raya,” Auni buka pekung kak long.

“Aah. Umi pun ingat. Nangis- nangis telefon laki dia. Suruh teman dia kerja kat hospital tu. Terpaksalah laki dia batalkan cuti,” sambung umi.

Kak long pula dah merah mukanya. “Laparlah pulak. Umi, nasi dagang ada simpan untuk kak long tak?” mahu mengelak apabila diri sendiri terkena.

“Ada. Atas meja kat dapur tu. Auni dan Aazad pergi makan sekali dengan kak long. Mak teh sengaja simpan untuk korang juga bila mak kamu telefon cakap kau mengidam nak makan nasi dagang mak teh.”

Bulat mata Auni mendengarnya. Dia terlupa sebenarnya. Bila mak teh sebut, baru dia teringat. Terus kecur air liurnya.

“Mengidam?” serentak suara Nur dan kak long bergema.

Auni sengih. “Baru dua bulan.”

“Alhamdulillah kak Auni. Tahniah. Ni mesti berjangkit dari adik ni,” sengih Nur melebar.

“Bukan Auni yang kena jangkit dengan kau tu je, kak long pun sekali,” sampuk kak long.

“Betul ke ni?” umi inginkan kepastian.

“Betul umi. Sebab tulah kak long asyik penat je. Rasa malas dan nak tidur je.”

“Alhamdulillah. Bertambah lagi sorang cucu umi.”

“Pergilah makan. Nur ni tak ke mana perginya. Mengulit Nurin je,” arah umi lagi.

“Mari Auni, Aazad. Tinggal je budak manja tu,” ajak kak long pula.

Ketiga-tiga mereka melangkah ke dapur. Umi pula menuju ke pintu rumah apabila terdengar bunyi enjin motor. Tentu abah dan menantu kesayangannya dah balik. Nur perlahan-lahan mengangkat Nurin di ribunya, mahu diletakkan di dalam bilik. Sebenarnya mahu sembunyi dalam bilik. Merajuk dengan cik abam ustaz dan abah punya pasal.

Hisyam melangkah masuk. Abah berada di belakangnya.

“Nur mana umi?”

“Eh, tadi ada duduk kat sofa tu,” beritahu umi. Dia pandang ke depan. Ruang tamu kosong. Cuma terdengar orang bercakap-cakap di dapur.

“Masuk bilik kot. Letak Nurin yang tertidur dalam bilik. Budak tu merajuk,” sambung umi lagi.

Hisyam angguk dan senyum. “ Saya masuk dalam dulu umi, abah,” dia meminta izin.

“Pergilah pujuk dia. Tak makan sejak tengahari tadi, tunggu kamu balik,” beritahu umi.

Segera Hisyam melangkah menuju ke bilik Nur. Pintu ditolak perlahan. Terlihat anak perempuannya tidur lena di atas katilnya. Dia pandang sekitar bilik, kalibat isterinya tidak kelihatan. Pintu bilik air pula tertutup rapat. Dihampiri Nurin Sofea di katil, pipi tembamnya dicuit. Tangan kecil Nuri bergerak, mengeliat. Terus bibir Hisyam mengukir senyum.

Pintu bilik air terbuka. Isterinya melangkah keluar. Wajah itu masam tanpa senyuman.

“Sayang..” panggilnya.

Nur buat tak dengar. Sejadah diambil dan dibentangkan di atas lantai. Dia diam tanpa menegur suaminya. Solat asar segera ditunaikan.

Hisyam turut terdiam. Dibiarkan Nur menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah taala dahulu. Dia usik-usik si kecil. Geram. Semakin gebu. Wajahnya saling tak tumpah wajah isterinya ketika bayi dulu. Bayi tercomel yang dia jaga dan sayanginya dua puluh dua tahun dulu. Sanggup setiap hari dia datang bertamu di rumah ini semata-mata mahu bermain dengan si comel itu.

Selesai solat asar, Nur masih lagi tidak menghiraukan suaminya. Dia memakai tudung, mahu keluar berbual dengan Kak Auni. Sengaja mahu mogok diam dengan suami sendiri.

“Sayang...” tangan Nur disambar Hisyam. Lantas ditarik dekat kepadanya. Kemudian tangannya naik melingkar pinggang isterinya.

Nur tunduk. Dibiarkan saja tingkah suaminya. Rajuk masih tebal di hati. Hidung dikepit dan ditarik.

“Sakitlah,” dia mengaduh manja. Kepalanya ditarik kebelakang. Mahu melepaskan sepitan itu. Wajahnya semakin masam. Sakit dan geram. Tangannya cuba rungkai pelukan dipinggang tapi semakin erat pula lingkaran tangan itu. Tubuhnya semakin ditarik rapat.

“Lepaslah, orang nak keluar jumpa Kak Aunilah,” marah Nur. Tapi suaranya tetap kedengaran manja di telinga Hisyam.

“Sorry..” bisik Hisyam. Dia tak hiraukan kata-kata isterinya itu, sebaliknya ditarik tubuh genit itu sampai terduduk di atas pahanya. Nasib baik Nurin Sofea terus lena walaupun terganggu dengan drama romantik abi dan mamanya.

Nur terdiam. Duduk di atas paha dan dipeluk erat, semua rajuknya macam dah terpujuk. Apatah lagi suara lembut garau si suami meminta maaf. Pipinya pula menjadi sasaran bibir si suami.

Ehemm... getaran di dada masih sama seperti kali pertama mereka bersentuhan. Pipinya memerah. Tangannya pula naik memeluk leher suami.  Rajuknya melebur. Mari pula mood nak bermanja. Tapi...

Kruk.. kruk..  perutnya berbunyi nyaring.

Hisyam sengih. “ Lapar?” soalnya.

Nur angguk.

“Kenapa tak makan?”

Nur ketap bibir. Macamlah encik suami ni tak tahu. Selagi tak nampak muka cik abam ni mana dia nak makan.

“Makan bila lapar. Jangan tunggu abang. Tak nak makan banyak pun, makan sikit buat alas perut. Sayang mana boleh biarkan perut tu lapar. Nurin kan menyusu. Nanti kasihan kat Nurin tak cukup khasiat.”

“Siapa suruh abang keluar berjalan tak ingat kat kami. Tak reti nak balik tengok anak bini makan ke tak,” balas Nur, melepaskan perasaannya.

Hisyam tarik nafas. Dia keluar tadi tak adalah lama sangat. Selepas Zuhur. Sekarang baru pukul lima petang.

“Tak lama pun abang keluar dengan abah, sayang dah tarik muka?” Hisyam geleng kepala.

“Lamalah.. orang tunggu.”

“Abang ikut abah ke kampung sebelah. Abah nak tunjuk kambing yang nak dibeli untuk buat akikah Nurin nanti. Kemudian terus solat asar kat surau situ,” jelas Hisyam.

Nur pula terdiam.

“Abang ikut abah pun sebab hal anak kita juga,” jelas Hisyam. Dia geleng kepala. Manja dan cepat merajuk, dua sikap ni macam dah sebati dengan diri isterinya. Cepat sangat nak sentap, dengan abah sendiri pulak tu.

“Maaf, I’m sorry,” perlahan suara Nur meminta maaf. Tahu dia bersalah. Mengada melebih-lebih. Padahal encik suami keluar dengan abah je.

Hisyam tarik Nur ke dadanya. “Sayang tak ada buat salah pun. Cuma mengada-ngada je. Jika buat salah pun abang sentiasa memaafkan,” bisiknya.

Nur balas pelukan itu. Dia merapatkan wajah mereka. Dahi bertemu dahi dan hidung bertemu hidung. Suka dengan kedudukan intim mereka tanpa mereka sedari ada mata sepasang mata comel sedang memerhatikan mereka. Mulut dah mula tercebik-cebik. Tubuh digolek ke kiri dan ke kanan, mahu bangun  mendekati abi dan mamanya.

“Maa.. “

Terasa sentuhan di belakangnya, Hisyam memutuskan renungan kasih mereka lantas berpaling ke belakang. Nurin Sofea tergolek meniarap sambil tersengih-sengih memandang ke dua orang tuanya.

“Laa... budak bambam ni dah bangun? Baru kejap je tidur tadi,” bebel Nur. Dia bangun dari riba suaminya kemudian duduk di sebelah.

“Puteri abi dah bangun?” Hisyam angkat Nurin dan dibawanya ke dalam dakapannya. Pipi tembam anaknya digomol.

“Jom kita keluar makan. Nanti pengsan pulak mama..” bisik Hisyam kepada anak daranya. Sebelah tangan mendukung Nurin Sofea, sebelah lagi memeluk bahu si isteri.

“Korang bila balik Kuala Lumpur?” soal Auni ketika mereka berkumpul di ruang tamu. Perutnya terasa penuh dengan nasi dagang. Dua pinggan penuh dihabiskan tadi.

Nur pandang suaminya. Dia kalau boleh sebulan syawal ni, sebulanlah berada di kampung. Sedih mahu berpisah dengan Nurin. Anaknya terpaksa ditinggalkan di bawah jagaan umi buat sementara waktu. Baki satu semester perlu dihabiskan sebelum memperolehi ijazah.

“Pagi sabtu.”

“Umi dengan abah ikut sekali,” tambah umi pula.

“Haa? Betul ni umi?” Nur terasa mahu melompat gembira.

“Betullah. Abah kamu ni risau sangat anak dan cucu dia demam rindu.”

Makin melebar senyuman Nur. Dia bangkit dan terus menuju ke arah uminya. Dipeluk erat tubuh gempal itu. Kemudian dia mendekati abah pula, terus dihadiahkan ciuman di pipi abah tanpa malu.

“Sayang abah dan umi ketat-ketat,” ucapnya. Hati yang merusuh kerana perlu tinggalkan Nurin dikampung mula tenang. Tak perlu lagi dia tanggung rindu kepada bambamnya.

“Berapa lama mak teh dan pak teh akan tinggal di Kuala Lumpur nanti?” tanya Auni. Dalam hati dah merangka mahukan mak teh masakkan nasi dagang untuk rumah terbukanya nanti.

“Sampai Nur habis belajar.”

“Bolehlah Auni minta mak teh masakkan nasi dagang untuk open house nanti,” ujar Auni teruja.

“Auni..” tegur Aazad. Dia tidak mahu menyusahkan mak saudara isterinya. Lagipun mereka boleh ambil katering untuk uruskan soal makanan.

“Abang akan tempah katering nanti. Jangan susahkan mak teh,” sambungnya.

“Tapi..”

“Tak susah eh. Mak teh suka masak. Nanti mak teh boleh masakkan. Bila nak buat open house?”

“Sabtu minggu lagi satu. Nak buat solat hajat dan doa selamat sekali.” 




Boleh follow pages penulis di facebook 


Instagram; shima.rostambs 
 
Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. 

Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6