Beautiful Jodoh; Bab Empat



“Habis tu kenapa awak tak nafikan?”

“Dah.. tapi tak guna. Orang tetap anggap saya ni bercinta dengan dia. Jadi saya biarkan je. Nanti dah penat orang berhentilah bergosip,” balas Ferran Atiq, ambil mudah. Seolah-olah perkara itu biasa saja.

Lain pula dengan Haura Nur. Anginnya naik sampai ke kepala. Geram dan sakit hati pula dengan sikap ambil mudah Ferran Atiq. Tahu tak Ferran Atiq, setahun dia simpan kecewa dan sakit hati kerana ingat mereka berdua bercinta.

Muka Haura Nur merah. Imran Iman memerhati dalam diam, seolah-olah dia tidak ada di situ. Tapi matanya tajam memerhati setiap perubahan memek muka adiknya. Sikap Ferran Atiq juga lain dari biasa.

“ Tapi awak tahu tak si Anis tu ambil kesempatan. Dia gunakan nama awak.”

Ferran Atiq tenang mendengarnya. Dia perasan nada suara Haura Nur dah lain. Ada rasa terkilan dan kecewa di dalamnya. Ferran Atiq memandang Haura Nur seketika. Melihat perubahan riak Haura Nur, dia baru rasa menyesal.

“Saya ada dengar tapi ia tidak mengganggu saya. Lagipun gosip tersebut sedikit sebanyak menjauhkan saya dari gangguan siswi lain,” balasnya terus terang.

Bertambah sakit hati Haura Nur mendengarnya. Kata tak bercinta tapi apa tu maksudnya? Tak menafikan sama seperti mengiyakan gosip tersebut sama seperti menerima cinta Anis Syatilla itu. Haura Nur diam. Dia cuba tenangkan diri sendiri. Hatinya semakin sakit mendengar jawapan Ferran Atiq itu.

“Awak tak bersungguh menafikan bererti awak pun suka juga minah fake tu, faham tak?”

Terkejut mendengar tuduhan itu membuatkan Ferran Atiq memandang Haura Nur penuh minat. Minah fake? Semakin menarik, dia pun tahu Anis Syatilla tu minah fake? Muncul senyum lucu di wajahnya.

“Minah fake? Ingat saya je yang tahu.” Ferran Atiq ketawa kecil.

Kali ini Imran Iman memberi reaksi. “ Kau pun rasa dia tu fake?”

Fake dan pandai berlakon. Kalau dia terjun ke bidang lakonan aku rasa dalam setahun mesti dapat menang anugerah pelakon terbaik,” ulas Ferran Atiq.

Kali ini Haura Nur pula terdiam. Ingatkan selain dia dan rakan sebiliknya tidak ada orang lain tahu.

“Awak tahu dia tu fake tapi awak biarkan dia guna nama awak. Baiknya hati,” perli Haura Nur. Pertama kali bercakap membuatkan Haura Nur dah naik angin. Sia-sia dia admirer Ferran Atiq selama ini.

“Bukan baik hati. Tapi strategi mengelakkan diri dari menjadi buruan gadis-gadis lain.”

Haura Nur cebir bibir. “Macamlah dalam kolej ni tak ada gadis lain yang boleh dicari.”

Ferran Atiq angguk. “Betul. Sebab masa tu awak tak masuk kolej ni lagi.”

Kata-kata Ferran Atiq itu membuatkan Haura Nur terdiam.

Imran Iman berdeham. Syaknya tadi menjadi kenyataan.

“Kenapa awak libatkan saya pulak?” Haura Nur bengang. Tak pasal dia pula yang jadi topiknya.

“Kenapa kau cakap dia fake dan pandai berlakon?” tanya Imran Iman tanpa menghiraukan adiknya.

“Hmmm.. pasal kewujudan gambar itu aku tak tahu pun, kawan sebilik aku bagitahu. Selepas itu aku tanya Anis tentang gambar tu, dia cakap dia pun tak tahu siapa yang ambil dan postkan dekat group tu. Dia cakap takut, seolah-olah ada orang perhatikan mereka. Jadi dia minta aku ambil dia di kolej tika ada meeting waktu malam. Temankan dia makan sebab tak ada orang nak temankan. Aku pun okeylah. Sebab nak pergi meeting yang sama, makan pula kebetulan aku lapar, nak pergi makan juga. Dan selepas itu muncullah gambar-gambar mesra kami berdua. Aku buat tak kisah lagi. Tapi tak sedap hati juga. Aku tanya dia lagi, takut pula jadi masalah kat dia. Aku ni jenis tak kisah, awek pun tak ada,” Ferran Atiq menjeling Haura Nur.

“Sehingga aku nampak dia dengan seorang siswa ni, mesra sambil tengok gambar. Aku kenal lelaki tu, memang hobinya ambil gambar. Jadi aku siasat sumber gambar tu dari mana, rupanya dari lelaki itu. Kemudian aku hack telefon pintar, jumpa WhatApps antara dia dan Anis pasal gambar mesra aku tu. Jadi segala gosip tersebut datang dari Anis sendiri. Dia  upah orang sebarkan. Tapi bila aku tanya Anis tak mengaku dan berlakon seolah-olah dia juga menjadi mangsa. So, selama ini memang aku kena game. Bila dia rasa aku dah syak dia buat,  muncul pulak gosip kami dah putus.”

“Padan muka!” perli Haura Nur sedas lagi. Sebab geram dengan sikap ambil mudah Ferran Atiq. Dalam masa yang sama Haura Nur tersedar dia dah tertunjuk emosinya yang sebenar.

“Abang Im dengar tak? Kan Ara dah cakap minah tu fake, cantik berbisa, lembut beracun. Jadi sila jauhkan diri,” kemudian cepat pulak dia beralih kepada abangnya Imran Iman kerana mahu menutup sikapnya yang agak keterlaluan tadi.  

Ferran Atiq angkat kening, bertanya.

“Aku berkenalan dengan Anis tadi ketika tunggu Ara ni. Lama juga sembang. Aku bagi dia kad business. Orang cantikkan, ingatkan nak kenal,” selamba Imran Iman bercerita.

“Jangan tengok luaran saja, kena tengok dalaman juga. Orang tegur dan larang tak nak dengar. Kalau dengar cerita Ferran pun Abang Im nak kawan juga dengan dia, jangan cari Ara lagi,” tegas Haura Nur. dia tidak akan bagi muka langsung.

“Iyalah. Abang tak kawan dengan dia,” Imran Iman mengalah.

Better. Aku pun menyesal tak ambil tindakan awal,” balas Ferran Atiq dengan mata melihat gadis di hadapannya.

@@@@@

Balik ke bilik, Haura Nur tak sabar hendak berkongsi cerita yang dia dengar tadi. Hati gembira. Nasib baik Ferran Atiq tu bukan bekas kekasih Anis Syatilla. Lagi berganda nasib baiknya, Abang Imran Iman tak jadi nak masuk jarum berkawan dengan Anis Syatilla. Jadi dia kena cari orang lain yang paling sesuai dijadikan kakak iparnya. Tidak mahu Imran Iman tersilap pilih lagi. Termasuk dalam senarai Naemah dan Latifah. Cantik dan manis juga ke dua-duanya. Boleh masuk calon kakak iparnya.

“Aku ada cerita nak kongsikan dengan korang.”

“Apa dia?” serentak Zakiah dan Naemah bertanya.

“Sebenarnya kan, cerita pasal Anis bercinta dengan Ferran tu tak betul pun. Mereka tak pernah bercinta tapi Anis yang sengaja adakan cerita mereka bercinta. Gambar-gambar mereka berdua tu pun Anis yang upah orang sebarkan. Bila Ferran tahu cerita sebenarnya, tiba-tiba timbul pulak cerita mereka telah berpisah.”

“Sahih tak? Kau tahu dari siapa? Sumber mana?” hampir serentak suara mereka berdua. Sangat berminat nak dengar.

“Dari Ferran sendirilah.”

“HAAAA....” mereka bertiga menjerit kuat.

“Woi..Boleh diam sikit tak!” jerit orang sebelah.

Mereka berempat terus terdiam dan menahan ketawa.

“Betul ke?”

Haura Nur angguk laju. “Aku lunch dengan dia tadi..”

Bulat mata ketiga-tiga rakan sebiliknya. Mereka terus tarik tangan Haura Nur duduk atas katil dan mengelilinginya. Tak sabar nak dengar cerita.

“Bila kau ada skandal dengan dia!” 




Boleh follow pages penulis di facebook 

https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom 

Instagram; shima.rostambs

Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6