Uncle Doktor.. Nak tak jadi papa Niny? Bab 3


Untuk tempahan klik link ini :www.wasap.my/601123432311/uncledoktor

Lini...

“Mama, uncle doktor mana?”

“Uncle doktor sibuk. Duduk diam-diam. Nanti mama cakap pada misi supaya suntik Niny.” Aku sudah tidak tahu hendak menjawab apa lagi. Boleh dikatakan setiap minit Niny bertanyakan Doktor Sam. Orang sebelah sudah senyum-senyum, melihat kami.

“Misi uncle doktor mana? Niny kan baik, dengar cakap, kenapa uncle doktor tak datang check Niny. Niny kan sakit..” Misi pula yang jadi mangsa Niny.

Aku cuma mampu beristighfar di dalam hati. Cepatlah boleh keluar wad ni! Mulut Niny sudah tidak mampu kukawal lagi. Hendak dimarah pun bukan dia dengar. Nanti merajuk, aku juga yang susah memujuk.

“Uncle doktor dah habis syif dia dah. Esok pagi baru dia datang.”
“Alaaa...! Nanti Niny rindu macam mana?”

“Kasihan uncle doktor nak rehat. Mamakan ada ni. Jangan nak mengada-ngada Niny!” Suaraku dah tegang. Tapi masih lagi kukawal nadanya. Geram betul dengan Niny ni.
“Ala..alaa..Kasihan Niny. Nanti misi telefon uncle doktor datang. Okey?” Niny langsung tidak mendengar cakap aku.
 
“Misi.. jangan ikut sangat cakap Niny tu.” Cepat-cepat aku bersuara. Takut pula misi betul-betul menelefon Doktor Sam.

Misi sengih sambil kenyit mata pada Niny. Aku dah susah hati. Tak pasal-pasal misi tadi telefon Doktor Sam. Tidakkah akan mengganggu rehatnya nanti. Aku tahu kerja doktor ini masa kerjanya bukan macam pekerjaan biasa. Ada yang sampai 24 jam mereka kena bertugas. Iyalah, orang sakit tak kira masa. Tambah pula hospital kerajaan kekurangan doktor. Lagi double waktu kerja mereka. Janganlah misi tadi betul-betul telefon Doktor Sam, doaku dalam hati.

Dan doaku termakbul. Misi pun tentu faham. Macam-macam kerenah pesakit cilik. Lebih-lebih lagi yang macam Niny ni, nampak sangat dahagakan kasih sayang ayah. Aku menarik nafas panjang. Niny, aku perhatikan dalam diam. Matanya sentiasa memandang pintu bilik medikal 1 ini, mengharapkan kemunculan seseorang. Hatiku tersentap melihat wajah mengharap Niny.

Tapi Niny tak faham. Setiap kali nampak misi, terus dia bertanyakan uncle doktornya. Aku jadi segan dibuatnya. Tidak tahu bagaimana mahu menghentikan permintaan Niny. Sehinggakan aku menyoal diri sendiri, Niny ni betul ke demam sawan malam tadi? Macam orang tak sakit, malah lebih aktif daripada biasa.

“Kakak doktor, bila uncle doktor nak datang?” Tak malu Niny bertanya, bila ada doktor pelatih datang melihatnya.

“Uncle doktor?” Terpinga-pinga doktor pelatih baru itu.

“Doktor Sam” Misi tolong jawabkan. Kebetulan misi sedang mengambil tekanan darah dan suhu badan.
Agaknya semua orang dalam wad kanak-kanak ini sudah tahu, Niny hendak Doktor Sam jadi papanya. Sebab setiap kali misi datang, Niny akan bertanyakan uncle doktor. Begitu juga apabila doktor lain datang membuat pemeriksaan rutin.

“Oo... Niny ni?”

Misi angguk senyum-senyum. Aku pula senyum kelat. Segan rasanya, entah apa yang mereka fikirkan.

“Sekejap Niny.” Doktor pelatih itu mengeluarkan telefonnya dan mula membuat video call.

“Eh! Tak payah doktor. Tak perlu kacau Doktor Sam berehat.” Aku kalut membantah.

Kujegil mata pada Niny. Tapi anakku ini tersengih menampakkan giginya bila wajah Doktor Sam terpapar di skrin telefon.

“Uncle doktor! Bila nak datang sini?” Suara Niny ceria.
 
“Niny?” Terdengar suara Doktor Sam seakan terkejut. Mungkin dia ingatkan panggilan atas urusan kerja, tapi wajah Niny yang muncul.

“Niny rindu uncle doktor. Cepatlah datang sini.”

Allah.. Allahu.. Manalah aku nak sorok muka ni!

Doktor pelatih dan mereka yang berada berdekatan sudah sengih-sengih. Jadi aku sengaja jauhkan diri.

“Malam nanti uncle doktor datang. Niny dengar cakap mama dan misi ya.”

“Alright. Babai uncle doktor.” Mujur tak lama dia bercakap.
Niny senyum puas hati. Lepas rindunya. Aku pula yang terasa berbahang panas. Rasa nak demam dengan kerenah mengada-ngada anakku. Aku jeling Niny yang ceria. Hatiku lega walaupun sesak nafas dengan perangainya.

Petang itu Nida singgah melawat Niny.

“Niny, dah sihat dah?” Diusapnya kepala Niny.

“Sihat dah. Uncle doktor yang rawat Niny, mestilah cepat sihat.”

“Uncle doktor?” Berkerut dahi Nida mengulang nama uncle doktor. Matanya memandangku menyoal dalam diam.

“Doktor..”

“Aah... Uncle doktor tu nanti akan jadi papa Niny tau, Acik Nida.” Tak sempat aku jawab, Niny sudah memintas kataku, menjelaskannya.

“Papa Niny?” Lagilah Nida keliru. Entah apa tanggapannya padaku.

“Kau jangan percaya apa yang Niny cakap tu. Uncle doktor tu Doktor Sam. Doktor yang merawat dia malam tadi. Niny ni buat perangai. Doktor Sam yang pujuk. Dah orang baik dengan dia, terus nak jadikan papa dia,” jelasku. Tak mahu Nida salah faham pula.

Nida angguk faham. Tapi ada senyum mengusik di bibirnya. Aku jeling mata ke atas. Takkan Nida pun percaya dengan olah budak ini. Cukuplah kulit muka aku berasa tebal berinci-inci bila berdepan dengan misi dan doktor lain. Jangan pula si Nida pun terikut sama perangai Niny.

“Uncle doktor tu handsome tak Niny?”

“Handsome Acik Nida. Lebih handsome daripada abah. Dan 100 kali lebih baik daripada abah. Niny nak dia jadi papa Niny.” Bersungguh-sungguh Niny bercerita. Matanya bercahaya dan penuh harapan. Hatiku tersayat. Rupanya dalam diam, Niny rindukan belaian kasih sayang ayah. Tapi ayah Niny tak pernah menghargai kehadirannya malah dikatakan sial, menyusahkan hidupnya.

“Kalau nak uncle doktor jadi papa Niny, dia kena kahwin dengan mama Niny dulu.” Nida mula memberi idea mengarut.

“Nida, kau jangan nak ajar Niny yang bukan-bukan ya.” Aku memberi amaran. Niny usianya baru 4 tahun, dalam tempoh 6 tahun pertama, otak kanak-kanak seperti span menyerap setiap perkara yang orang beritahu. Lebih-lebih lagi kalau perkara itu yang dia mahukan juga. Lagi cepat dia faham. Yang bermasalah nanti tentulah dia.

“Kahwin tu apa?” Bulat mata Niny pandang Nida.
“Nida, kau jangan nak ajar bukan-bukan pada Niny. Budak ni mulut tak ada insurans. Nanti entah apa-apa pula dia cerita nanti.” Aku memberi amaran sekali lagi, siap kutarik lengan Nida menjauh sedikit. Tidak membenarkan mereka berbisik.
Nida ketawa.

“Acik Nida, kahwin tu apa?” Tak putus asa juga si Niny hendak tahu. Dia akan terus bertanya sehingga mendapat jawapan yang memuaskan hatinya.

“Tak ada apa-apalah. Budak-budak tak perlu tahu. Itu orang dewasa je tahu,” jawabku bagi pihak Nida. Aku jegilkan mata, memberi amaran pada Nida supaya tidak bercakap apa-apa.
“Nanti Niny tanyakan dekat uncle doktor, kahwin tu apa.”

“Nida...!” Keras suaraku.

Nida ketawa. Dia angkat kening. Aku ketap bibir, menarik nafas. Tak mampu hendakku memarahinya sebab dia banyak membantu aku dan Niny. Walaupun baru seminggu kenal, dia tidak pernah berkira menolong kami. Aku sangat bersyukur, di saat terkontang-kanting mencari rumah sewa, aku ditemukan dengan Nida. Dia juga yang kenalkan aku dengan Kak Ani, pengasuh Niny yang tinggal di tingkat 7 apartment kami. Dia banyak menyenangkan urusanku.

“Okey. Uncle doktor datang malam nanti, Niny tanya.”

Nida angkat ibu jarinya. Aku tepuk dahi. Minta-mintalah Doktor Sam tak datang malam ini. Ataupun Niny sudah tidur bila dia datang nanti!




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6