Uncle Doktor.. Nak tak jadi papa Niny bab1



[Tak edit]

Lini...

“Niny.. kita mandi dulu sayang. Lepas tu mama suapkan ubat,” pujukku tanpa melihat Niny yang terbaring lesu di atas katil. Tangan aku pantas menarik kain tuala dan baru aku berpaling memandang Niny. Aku tergamam. Tuala di tangan terjatuh ke kaki. Tubuh Niny menggigil dan tegang. Mata ke atas. Mulut berbuih. Aku menerpa, panik. Air mata entah bila merambu keluar. Niny aku ambil dan dukung keluar bilik. Dalam keadaan panik, hanya perkataan hospital terlintas di dalam benakku. Tudung aku capai dengan tangan kiri. Beg dan kunci kereta aku main ambil tanpa melihat. Tubuh Niny terus menggigil tanpa henti. Terasa haba tubuhnya panas. Aku takut dan panik. Aku berlari keluar.

Kereta di pecut laju menuju ke hospital. Kereta dibrek mengejut di hadapan kecemasan. Aku turun dan terus membuka pinta sebelah penumpang. Dalam suara serak dan wajah bekas air mata, Niny aku dukung erat.

“Kenapa puan?” petugas di kecemasan menyoal ku. Matanya memandang Niny di dalam pelukan.

“Niny de..demam.. tadi badan dia tetiba menggigil dan mata terbeliak ke atas,” sedaya upaya ku cuba terangkan keadaan sebenar. Badanku menggigil. Entah bila Niny diambil dari pelukanku.

“Tenang puan. Puan pergi parking kereta dulu dan datang kembali ke zon kuning.”

“Tapi...”

“Kami jaga dan berikan rawatan. Puan parking kereta dulu kemudian datang ke sini.”

Tubuhku menggeletar. Mendengar pujukan petugas kecemasan itu aku cuba bertenang. Menarik nafas dan berusaha memanggil kembali semangatku. Aku angguk dan senyum risau. Niny terpaksa aku tinggalkan di dalam jagaan mereka.

10 minit kemudian aku kembali ke bahagian kecemasan dan terus ke zon kuning. Pintu ditolak dan tangisan nyaring Niny kedengaran kuat. Aku cepatkan langkah mendekati Niny yang sedang dikerumumi oleh 3 orang petugas kecemasan.

“Mamaa... mamaa..” serak dan pilu. Meronta dalam lemah.

“Mama sini sayang.” Tangan kecil Niny dipegang dan kepalanya kuusap.

“Anak puan dah berapa hari demam? Suhu dia tadi 40°. Kami dah masukkan ubat dan air. Sebelum ini dia demam kena sawan juga ke?” soalan bertalu-talu ku jawab dengan gelengan. Mulut terasa kering. Rasa risau dan takut menakluki hati.

“Hari ini hari kedua. Saya bagi ubat demam biasa. Check suhu dia tak lebih dari 38°. Dia pun aktif macam biasa. Makan minum okey. Tapi tadi tiba-tiba dia kejang masa saya nak mandikan,” jawab ku.

“Berapa lama dia kejang tu, macam mana keadaan dia ketika itu?”

“Saya tak pasti. Dalam tak sampai 5 minit kot. Sebab saya terus angkat dia bawak dia ke sini. Tangan kaki keras dan tegang. Tangan merengkok. Kaki pun sama.”

Dan macam-macam lagi soalan yang mereka tanya. Aku jawab sekadar mampu. Niny pula tidak mahu duduk atas katil. Dia mahu didukung. Tangan kuat memelukku seolah-olah takut aku meninggalkannya.

“Suami pun mana? Anak puan kena maksud wad untuk pemantauan. Jadi kena uruskan pendaftaran masuk wad di kaunter 1,” jelas pembantu perubatan itu.

Aku diam. Niny masih kuat memelukku. Saat ini hatiku luluh. Rasa tak terdaya. Dengan Niny yang sakit dan urusan yang perlu aku uruskan. Niny seolah-olah faham yang aku kena meninggalkannya sekejap. Semakin erat dia memaut tubuhku.

Faham dengan keadaanku. “Puan bagi saya mykid dan duit RM1, saya tolong uruskan.”

Terkebil-kebil aku memandangnya seketika sebelum menggagau ke dalam beg tangan aku mencari mykid dan duit RM1 itu.

“Terima kasih.” Suaraku kawal. Cuba menahan sebak di dada.
Pukul 12 tengah malam Niny dibawa ke wad. Dia masih juga tidak melepaskanku. Ketika misi mahu mengambilnya, Niny meraung kuat dan tidak mahu melepaskan pegangannya. Misi mengalah. Belakang Niny ditepuk memujuk.

“Misi nak timbang berat dan tinggi je, bukan nak ambil dia pun. Tak nak lepas langsung mama dia. Kasihan mama, penat dukung adik,” pujuk Misi.

Aku senyum mendengarnya. Dalam masa yang sama aku turut berbisik memujuk Niny agar mendengar cakap misi itu. Niny geleng lemah. Pautan dileherku tidak dilepaskan malah semakin kuat. Aku terasa tercekik.

“Niny tercekik mama ni.” Tangannya ku cuba leraikan. Leher aku terasa sakit. Sakit pun, tenaganya kuat.

“Niny.. Lepas kejap je, mama tak tinggal. Nanti mama dukung semula,” pujuk ku lagi sekali lagi..

Niny tetap geleng kepala.

“Kenapa ni?” suara garau penuh prihatin menegur dari belakang. Aku berpaling dengan Niny masih lagi di dalam dukunganku. Proses mengambil timbangan berat dan tinggi tersangkut lagi. Seorang lelaki kurus berbaju ungu menghampiri kami. Berkulit putih dan berkaca mata.

“Adik ni tak nak lepas mama dia, doktor. Tak boleh nak timbang berat dan ukur tinggi lagi ni. Kasihan mama,” adu misi yang dari tadi memujuk Niny.

Terasa mata doktor memanah ke arah aku. Aku tunduk berbisik di telinga Niny. Memujuknya supaya mendengar cakap misi. Namun Niny tetap degil. Masih lagi menyembunyikan wajahnya di celah leher ku. Tak ingin langsung orang lain menyentuhnya.

“Adik.. Doktor ada choki choki, nak tak?”  umpan doktor lelaki itu.

Aku sempat pandang namanya di dada. Sam. Doktor Sam. Aku kulum senyum. Aku biarkan Doktor Sam memujuk Niny pula. Hatiku resah dan berdebar. Kedudukan kami agak rapat. Aku perasan misi senyum-senyum pandang kami.

“Doktor Sam pujuk siapa tak pernah terpujuk,” usik misi.

Mungkin telah biasa dengan cara pujukan dan layanan Doktor Sam. Misi tadi beredar menguruskan seorang lagi pesakit cilik yang dibawa ke wad.

“Nak tak choki-choki ni. Yang ni last doktor ada. Tak nak doktor bagi kat baby ni.”

“Baby mana boleh makan choki-choki lagi. Tak ada gigi,” Niny bersuara lemah. Sempat lagi tu Niny balas balik kata-kata doktor lelaki itu. Takut sangat tak dapat  choki-choki. Bila dah keluar suara tu, nampaknya pujukan Doktor Sam berhasil. Hati aku lega bila pautan tangan Niny di leher melonggar.

Doktor Sam senyum bila melihat Niny angkat muka dari celah leher ku. Mata digosok-gosok. Aku usap kepala Niny. Bila demam Niny akan dua kali ganda manjanya.

“Kita timbang berat dan ukur tinggi dulu. Nanti baru doktor bagi choki-choki ni.” Sengaja Doktor Sam tunjuk dan kemudian simpan choki-choki ke dalam poket bajunya.

Tangan dihulurkan untuk mengambil Niny. Tanpa sebarang gesaan, Niny menyambut huluran itu dan berpindah ke dalam dukungan Doktor Sam. Aku memandang mereka dengan bibir digigit sedikit kuat. Menahan sebak yang mencengkam dada. Teringatkan bekas suamiku. Tapi tidak ada di dalam ingatan ini layanan penuh kasih sayang darinya. Niny tidak pernah merasa belaian kasih abahnya.

Cekap Doktor Sam menguruskan Niny. Aku hanya mengikut mereka bila misi menunjukkan katil Niny. Doktor Sam meletakkan Niny dan mula melakukan pemeriksaan rutin. Niny diam tak meragam lagi. Di tangannya ada choki-choki. Hatiku lega. Selepas melakukan pemeriksaan tindak balas saraf, Doktor Sam memujuk dan menidurkan Niny. Dalam masa yang sama seorang doktor pelatih datang menghampiri kami bersama dengan laptop. Dia bagaikan dah biasa dengan kelakuan Doktor Sam. Niny sudah lena. Doktor Sam mula menyoal aku. Soalan yang sama ditanyakan ketika di bahagian kecemasan tadi. Aku mengulangi jawapannya sekali lagi. Doktor pelatih itu pula mencatat setiap maklumat yang aku berikan.

“Kita akan pantau 24 jam. Kalau tak ada sawan lagi dan tak demam. Kita akan benarkan balik.” Aku angguk faham. Hati terasa lega. Lebih lagi bila melihat Niny sudah tertidur pulas.

“Terima kasih doktor.”

Doktor Sam angguk. “Sama-sama. Senyumnya ikhlas dan manis.


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6