'Sahabat' pena bab 8

Assalam... update bab terkini 'Sahabat' pena..
Lepas ni lambat sikit saya update ya.
Saya sedang tumpukan pada pengeditan Manuskrip Si Adik Manja dan Menantu Pilihan Abah.
Jadi kisah ni saya hold seketika...
Cerita ni In Shaa Allah akan menemui penamat dalam blog... Ada juga kemungkinan selepas itu saya panjangkan versi cetak juga..

Apapun doakan saya agar diberikan ilham untuk terus menulis...


Dia tahu sepanjang berada di rumah Nina, dirinya tidak pernah terlepas dari pandangan Zakwan. Kawan baik Badrul, suami Nina. Kata Nina, itulah BFF suaminya sejak zaman belajar di London dulu. Dia cuma menganggukkan kepala tika mereka diperkenalkan. Takkanlah hendak berjabat tangan pula sedangkan selama ini apabila berurusan dengan lelaki, dia menundukkan kepala dengan tangan kanan di dada, sebagai menghormati mereka dan tidak pula mahu membuatkan mereka terasa hati dengan sikapnya.
Sekilas rasa, wajah tampan Zakwan terbayang di matanya. Orangnya tertib ketika makan dan seorang yang tenang. Walaupun matanya selalu mencuri pandang wajahnya, namun tidak pula dia terasa jelik. Cuma lebih banyak persoalan menerjah di dalam hatinya. Seakan dejavu, adakah mereka pernah kenal sebelum ini? Rasanya inilah kali pertama mereka makan bersama.
Pandangannya redup seakan ingin menyelami kedukaannya. Perasan…. Cepat-cepat hatinya menindakkan kata akal fikiran. Takkanlah dengan sekali pertemuan, terus mahu menyimpul rasa begitu. Lagipun tadi hanya beberapa patah sahaja mereka berbicara. Selebihnya dia banyak berbual dengan Nina. Kawannya itu, walaupun bergelar suri rumah, tetap peka dengan keadaan semasa. Fesyen apa yang tengah hangat atau isu semasa apa yang tengah kecah dibicarakan di ruangan sosial mahupun arus berita perdana semuanya dia tahu. Jadi tidak sukar untuk mereka bermesra lebih dari masa lalu.
Bibirnya tersungging senyuman tiba-tiba apabila teringatkan kata-kata Nina ketika dia ingin pulang tadi.
"Ada orang tengah mengintai untuk mengubati kelukaan hati kau, jadi aku harap kau berikan dia peluang. Tak salahkan? Sabri sedang meniti bahagia sekarang. Aku rasa kau juga patut mencari kebahagiaan sendiri. Usah di kenang kisah lalu. Kau kena berfikiran positif dan terus memandang ke hadapan."
"Aku tak kata aku hendak selamanya sendirian. Tapi... hati aku tika ini masih rapuh. Untuk memulakan perhubungan baru perlukan masa. Aku masih trauma lagi. Aku takut, pisang berbuah dua kali. Biarlah masa yang menentukannya, Nina... Aku terima niat baik dia tapi...."
"Tapi tak salahkan jika memulakan persahabatan? Aku bukanlah nak desak kau terima dia. Dia pun faham keadaan kau cuma aku mahu kau berikan sedikit peluang pada dia. Orang kata bersahabat biar seribu, berkasih hanya satu. Dia nak kawan dengan kau. Itu je.”
“Yang lain kemudian. Jika ada jodoh kau dengan dia, adalah. Jika tak ada, kau tambah seorang sahabatkan?”
“Buka sikit minda kau.. Kau kan orang berbekerja. Kena banyak bergaulkan?” Nina terus masuk jarum. Seingat dia, Hawa memang susah nak berkawan dengan lelaki. Kawan lelaki dia ada pun mesti lingkungan rakan sekerja dan teman belajar dulu. Itu pun beberapa kerat je.
“Aku tahu kau ni susah hendak berkawan rapat dengan lelaki. Apatah lagi menganggapnya kawan baik. Dengan ex-kau jugalah kau melekat dulu."
Dia menghela nafas. Benar apa yang dikatakan Nina itu. Di dalam persahabatan, dia tidak pernah terbuka. Baginya tiada istilah persahabatan di antara lelaki dan perempuan. Sebab itulah dia tidak pandai menilai keikhlasan seorang lelaki. Dulu dunianya hanyalah Sabri. Langsung tidak memandang orang lain biarpun tika itu dia mempunyai banyak pilihan. Sabrilah teman lelakinya sejak di alam persekolahan sehinggalah mereka berumahtangga. Malangnya mahligai yang terbina berlandaskan cinta itu runtuh dipertengahan jalan. Pedih, nyilu,duka semuanya terhimpun menjadi satu luka yang amat dalam di dalam hatinya.
"Zack seorang lelaki yang baik Hawa. Tak apa kau tak dapat terima dia lagi. Jadi kawan pun tak apa. Jangan terus menolak..."Nasihat Nina. Nina kelihatan bersungguh-sungguh mahu meyakinkan dirinya tentang kebaikan Zakwan. Banyak pujian yang diberikan, yang mampu dibalasnya hanyalah senyuman hambar.
Dia tidak berani berjanji atau mengungkapkan sebarang kata yang memberikan harapan. Namun dia menghormati sikap Zakwan yang berhemah itu. Sanggup menemaninya sehingga sampai ke kondo dengan mengekori dari belakang. Semata-mata ingin memastikan dia selamat sampai memandang waktu itu telahpun lewat. Lama juga dia bertamu di rumah Nina. Masa yang berlalu tanpa disedarinya.
Kata-kata Nina ber ganti pula dengan kata-kata Zakwan sebentar tadi.
"Saya ikhlas Hawa ingin berkawan dengan awak. Tidak berkawan baik pun tak apa asalkan awak sudi terima saya sebagai salah seorang sahabat awak. Kita kenal dan kemudian biarkan masa yang memutuskan sama ada persahabatan ini hanya sekadar persahabatan atau berubah menjadi apa yang saya mahukan." Senyuman dan suara garau namun enak di pendengarannya masih lagi terngiang-ngiang.
Hanya anggukan menjadi jawapannya. Dia tidak berani berlebih kata, takut terbinasa.
Selepas mengerjakan solat isya' dan sunat witir, dia membaringkan diri di atas katil kelaminnya. Spontan tanyannya menyentuh bantal yang menjadi alas kepala Sabri dulu. Tanpa sedar matanya berkaca. Hampir setahun berlalu, kadangkala kesunyian menghiris luka di hati, darah duka akan mengalir lagi. Bukan dia tidak berusaha melupakan, terlalu sukar, sepuluh tahun, Sabri sentiasa ada di sisinya. Walaupun jauh, talian telefon dan internet menjadi perhubungannya. Jadi kini apabila terpisah secara baik dan sah, hatinya masih lagi merindu dan mengharapkan kehadirannya.
Dia cuba melelapkan matanya biarpun air mata bagaikan air hujan yang membasahi pipinya. Dia belum mampu melupakan. Sendiri membuatkan dirinya lemah. Sendiri membuatkan dia larut di dalam lautan duka yang tidak bertepi.
‘Ya Allah, kuatkanlah jiwaku yang rapuh ini. Hadirkanlah sikap positif dalam diri ini. Berikanlah aku ketabahan dan kesabaran untuk menghapuskan luka ini. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi masa laluku yang pedih. Jauhkanlah aku dari segala bisikan yang melemahkan jiwaku. Berikanlah aku peluang untuk menggapai bahagia lagi."



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6