'Sahabat' pena 7



Zakwan memerhati dari jauh. Keasyikan Nina dan Hawa bercerita sentiasa dicuri lihat. Badrul pula telah beberapa menepuk bahunya. Dia tersengih-sengih dan menggaru kepala. Tindakbalas kimia di dalam badannya tika ini begitu ketara sekali. Matanya seakan-akan tidak ingin melepaskan walaupun sesaat dari menikmati wajah mulus itu. ‘Apa rasanya jika dia dapat menyentuh dengan bibirnya?' Sebuah soalan nakal menerjah benaknya membuatkan wajahnya serta merta bertukar rona. Apatah lagi sikapnya yang agak keterlaluan ini amatlah disedari oleh Badrul.
"Takkan lari gunung dikejar, Zack" Sindir Badrul. Selesai makan mereka membawa diri ke ruang tamu dan memberikan Nina dan Hawa ruang berbicara. Bukan dia tak perasan, sudah hampir setengah jam, Zakwan asyik menjeling ke ruang makan.
Hairan juga dengan sikap Zakwan sedikit luar biasa malam ini. Nampak sangat keterujaannya untuk mendampingi Hawa, walhal baru kali ini masuk kali ke dua mereka berjumpa. Takkanlah jatuh cinta pandang pertama. Mindanya segera menindakkannya, setahunya, Zakwan bukanlah jenis itu. Sukar hendak melihatnya memerhati seseorang dengan penuh minat. Lebih-lebih lagi jatuh cinta pandang pertama. Mungkin juga, Hawa mampu membuatkannya jatuh cinta lagi. Siapa tahukan?
Namun Badrul segera teringat kata-kata pujangga ‘Untuk jatuh cinta kita tidak memerlukan sebab dan masa. Dalam sesaat, jika DIA mengkehendaki, maka cinta itu akan segera wujud di dalam hati. Jadi jangan hairan dan halang kerana cinta itu adalah anugerah istimewa buat manusia.'
Buktinya di depan mata dan dia tidak patut mempersoalkan rasa yang dirasai oleh Zakwan. Tapi yalah, sifat ingin tahu juga anugerah-Nya. Apatah lagi menyibuk hal Zakwan amatlah dia suka. Bukankah mereka pernah bersahabat baik, pernah berkongsi cerita suatu ketika dulu, bisik hatinya.
"Pelan-pelan kau dekatinya. Hari ini cukuplah dengan perkenalan je. Kemudian baru ke langkah seterusnya. Biarkan dua sahabat lama tu bercerita puas-puas. Nanti pandai-pandailah Nina cucuk" Nasihat Badrul lagi.
Zakwan dian tanpa sebarang ulasan. Melihat dia di depan mata bagaikan melepas sebuah beban berat yang diusung selama ini. Senyumannya walaupun terbias sebuah kelukaan, namun amat manis di matanya. Membuatkan dia ingin menghapuskan kedukaan itu. Dia mahu menjadi sebahagian darinya. Dia mahu Hawa melepaskan segala kesedihan yang tersimpan dijiwa. Dia mahu merawat luka yang terguris di hati Hawa. Dia akan jadikan Hawa wanita yang paling bahagia di dunia ini. Dia mahu memberikan segala-galanya yang dia ada untuk kebahagiaannya.
"Aku rasa kau ni dah teruk. Takkanlah sekali jumpa angau bagaikan nampak kekasih lama!" Sindir Badrul setelah kata -katanya dibiarkan sepi. Ditepuk-tepuk bahu Zakwan perlahan. Zakwan tersentah. Angannya terus dihembus angin lalu. Dia kembali ke alam realiti. Namun ada tekad di hati. Wanita di raung makan itu perlu ditakluki.
Zakwan tersengih. ' kau tak tahu Bad, kisah lama aku dan dia' sela Zakwan dalam hati yang paling tersembunyi. Hanya dia saja yang tahu dan tidak mungkin terluah dari hatinya. biarlah ia tersimpan sehingga suatu masa nanti akan tiba masanya untuk didedahkan.
"Teruk tak teruk, takkanlah kau tak pernah rasa apa yang aku rasa?"Balas Zakwan dengan soalan juga.
" Yelaa tapi tak adalah teruk macam kau ni. Dari mula dia sampai mata kau boleh kata tak pernah lepas pandang dan tenungnya. Jika aku pun rasa rimas bila ditenung oleh mata helang kau ni".
"Be gentleman, okey. Cukup- cukuplah kau pandang dia, bro".
"Hormat sikit dia sebagai seorang wanita yang baru berpisah dengan suaminya".
"Hei Bad..., aku pandang dia bukan pandangan bernafsu, ya. Aku masih waras lagilah hendak bayangkan yang sxx nih," sangkal Zakwan sambil geleng kepala. Cuba menutup ketelanjurannya seketika tadi.
Apa punya kawanlah takkanlah tak faham lagi apa perasaannya terhadap Hawa. Dia, jika boleh sekarang ingin berkongsi suka dukanya. Mahu melindungi dan menjadi tempatnya berpaut. Tetapi dia juga sedar diri, langkah demi langkah perlu diambil agar Hawa dapat menerima kehadirannya. Dia mahukan Hawa merasai apa yang dirasakannya dan menerima cintanya dengan ikhlas.
Sungguh penantian itu orang kata suatu penyeksaan. Apatah lagi dia yang menanti sesuatu yang belum pasti dan mengikut gerak hati. Dulu dia pernah merasai erti kekecewaan dan rasanya dialah orang yang paling memahami apa yang dirasakan oleh Hawa. Dia pernah ditinggalkan tanpa diberikan kesempatan untuk meluahkan apa yang dirasakannya. Salahnya juga dan kali ini kesilapan dulu tidak akan sekali-kali diulangi. Dia akan berusaha untuk mendapatkannya.
"Hawa bukan seperti gadis - gadis yang suka menempel dengan kau. Lagipun dia dia janda, berkerjaya pulak tu. Setakat muka boleh makan kau, takkan dipandangnya. Aku rasa kegagalan pertamanya akan membuatkan dia lebih berhati-hati".
"Kau tak cakap pun aku tahu. Aku tak pandang dia tu janda ke gadis ke. Tapi aku pandang dia sebab dirinya, tak kisahlah apa statusnya. Dia tetap seorang perempuan yang perlukan perlindungan seorang lelaki."
Dahi Badrul berkerut. Takkanlah setelah beberapa tahun tak jumpa, Zakwan telah berubah sikap? Ada tanda soal di situ.
"Hei bang, berbual ke bergaduh?" Tegur Nina yang melangkah seiringan dengan Hawa menuju ke arahnya. Dia menatang dulang berisi seteko kopi, manakala di tangan Hawa sepiring buah epal dan oren yang telah siap dipotong dan sepiring kek gulung pandan.
Senyuman mengiringi langkah mereka.
"Tak bergaduh tapi hampir bertegang uratlah," balas Badrul, namun kata-katanya menyindir Zakwan.
"Kau dengarlah apa yang Bad cakap tu, Nina. Tak ada maknanya aku hendak bertegang urat dengan dia. Tak guna sesen pun."
"Tahu tak apa," Balas Nina cepat.
"Orang, kalau dah angau tak ingat apa dah. Abang tegur apa yang patut. Tapi yelaa orang yang ditimpa penyakit ni, mana nak dengar nasihat orang."
"Angau pun berjejak ke bumi lagi Bad, bukan terus di atas awan." Balas Zakwan berkias.
"Oooo.... tahu pulak jejak ke bumi. Ingatkan hendak melayang-layang atas awan je. Tak guna juga. Kena realistik sikit baru hilang penyakit angau tu," balas Badrul enggan mengaku kalah.
"Sudah.. sudahlah. Abang ni pun. Macam budak-budak. Padahal dah jadi bapak budak. Kau pun sama Zack, tak cukup akal," sampuk Nina.
"Memang padanlah tu, kan Zack."
"Betul. Kami ni sentiasa muda. Jadi perangai pun macam budak-budak."
Hawa diam mendengar sahaja perbualan mereka bertiga. Ingin menyampuk pun dia tidak tahu hala tujunya perbualan itu. Inilah kelemahannya, lambat hendak masuk apabila berada di dalam kelompok seperti ini. Dia bagaikan hilang arah. Tidak tahu hujung pangkal perbualan mereka.
"Hawa.... jangan ambil hati apa yang mereka bualkan. Diorang berdua ini memang selalu macam ni, dulu aku pun susah nak join apa yang mereka bualkan. Lama lepas tu baru tahu, mereka ni, banyak meraban tak tentu hala. Guna pula bahasa kiasan. Entah apa-apalah," ujar Nina seraya menarik Hawa ke alam realiti kembali.
"Tak apa, aku pun faham."


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6