Aisyah Humaira Prolog

Inshaallah tidak lama lagi saya akan keluarkan trilogi Mimpi. 

Buku 1 : Bukan Sekadar Mimpi 
Buku 2 : Aisyah Humaira
Buku 3 : Kembali. 

Sementara menantikan pre order dibuka, saya kongsikan bab-bab awal Aisyah Humaira 



“Wan, jomlah main,” ajak Fatimah. Dia tersengih-sengih melihat Aisyah dan kawan-kawannya. Mereka hendak bermain hide and seek.  Bila Aisyah balik kampung, suasana akan jadi meriah. Dia ada kawan selain kawan dalam kebun itu.

Laju Izwan menggeleng. Wajahnya pucat. Dia melihat ke arah Fatimah yang tersengih-sengih memandangnya. Aisyah pula menggeleng kepala sambil menepuk dahi. Tentu mengutuk dia penakut dalam hatinya. Biarlah digelar penakut sekalipun, dia tetap tidak mahu bermain bersama mereka jika mereka mahu bermain di dalam kebun getah itu. Melihat mereka berjalan bergandingan tangan menuju ke kebun getah, Izwan membuka langkah seribu balik ke rumah tok ayah mereka.

“Hei,  kenapa dengan kamu ni? Lari macam nampak hantu,” tegur Puan Habsah.

Melihat wajah mama, Izwan lega walaupun dia termengah-mengah. Dia memegang dada sambil menarik nafas. Satu lagi tangan menunjuk ke arah pintu yang terbuka, ke halaman rumah.

“Kenapa?” tanya Puan Habsah, hairan.

Puan Habsah terus melihat ke halaman rumah. Tidak ada sesiapa pun di situ. Terdetak hatinya teringatkan anak sulungnya.

“Kak Cah dan Timah ma-main dengan hantu,” adu Izwan.

Badannya masih menggigil. Dia belum lagi boleh membezakan hantu dan bunian. Selalunya dia pukul rata; sama sahaja baginya.

La ... ingatkan apalah tadi. Puan Habsah menggosok kepala anak terunanya sambil tersenyum. Dia tidak terkejut mendengar aduan itu. Ketika mula-mula sedar tentang kelebihan Aisyah, hatinya tidak tenteram; takut nanti anak itu disukai dan disembunyikan oleh makhluk yang dia tidak nampak. Namun, setelah mendengar penjelasan ayahnya, barulah hatinya lega.

Aisyah dan Fatimah, anak sulung adik kembarnya, mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Menurut ayahnya, Haji Yaakob, ketika dia dan adik kembarnya masih kecil dulu, mereka juga mempunyai kelebihan yang sama.

  Akan tetapi, semangatnya lemah dan selalu sakit apabila didampingi oleh makhluk-makhluk halus itu. Oleh sebab tidak mahu dia dan adiknya sentiasa sakit, Haji Yaakob meminta ustaz menutup kelebihan deria keenam mereka itu. Namun,   kelebihan itu kini diwarisi oleh kedua-dua anak sulung mereka.

“Hmm ... kenapa tak main sekali?”

Terkedip-kedip mata Izwan melihat mamanya. Tubuhnya masih lagi menggigil. Kepalanya laju bergerak ke kiri dan kanan.  

“M-a- ... main sekali? Tak nak. Takut!”

Puan Habsah menggeleng kepala. Anak keduanya penakut walaupun lelaki.  

Kedengaran suara Aisyah dan Fatimah ketawa mengekek. Tuannya entah dekat mana.

“Izwan memang penakut, tidak padan jadi lelaki.”

“Jangan main jauh-jauh,” pesan Puan Habsah. Dia telah biasa dengan permainan luar biasa anak sulung dan anak saudaranya itu. Kalau mereka berdua bergabung, memang boleh terkena serangan jantung.

“Okey mama. Kami main kat rumah Anum dalam kebun getah tu je.”

Gulp! Air liur ditelan terasa kesat apabila Puan Habsah mendengarnya.

‘Dalam kebun getah itu je.’ Macam dekat, kan? Ialah, di sebelah rumah ayahnya sahaja ... tapi sebenarnya di situlah terletaknya perkampungan bunian. Mata kasar tidak akan nampak, namun orang yang ada kelebihan macam Aisyah dan Fatimah, boleh nampak tempat itu dengan jelas.

Pernah sekali Haji Yaakob membuka hijabnya; terkejut dia apabila melihat kebun getah itu terang- benderang dan ramai orang. Meriah seperti ada pesta atau kenduri.    

“Balik sebelum asar,” pesannya lagi.

“Okey mama.”

“Okey mak long.”

Kalau tidak dipesan, entah sampai ke esok pagi dua bersaudara itu tidak pulang ke rumah.

Izwan terkebil-kebil memandang mamanya; tidak puas hati. Dia tidak mahu Kak Cah dan Timah pergi bermain di dalam kebun getah itu. Dia takut mereka tidak akan kembali lagi.

“Mama ... jangan bagi mereka main kat sana. Nanti...” tercebik-cebik Izwan menahan tangis. Matanya juga telah merah.

“Biarlah mereka main hari ni. Esok mereka bermain dengan Iwan pula,” pujuk Puan Habsah.

“Tapi kalau mereka tak balik, macam mana? Bukan boleh nampak mereka main kat mana.”

“Kalau mereka tak balik nanti, kita suruh tok ayah pergi cari mereka.”

“Tapi...” Izwan masih lagi tidak berpuas hati.

“Berpeluh-peluh ni, pergi mandi dulu. Mak ngah ada masakkan mi bandung tu. Lepas mandi, Iwan makan dulu,” pujuk Puan Habsah.

Izwan masih lagi sebal. Tidak berpuas hati, namun terpaksa juga mengikut cakap mamanya.

“Kenapa tu long?” Puan Faezah melihat muka tidak puas hati Izwan.

“Tak bagi Aisyah dan Fatimah bermain dalam kebun getah tu.”

“Mereka pergi main kat sana lagi?” Puan Faezah menggeleng kepala.

Semalam ke sana, hari ini pun ke sana lagi. Apa yang menarik sangat dalam kebun getah ayahnya itu. Bila dia masuk ke sana, bulu romanya terus tegak berdiri. Mujur juga sudah lama ayahnya mengupah orang menoreh di situ. Kalau harapkan dia, memang tidak akan dijejaklah kebun itu!

“Kak long bagi mereka pergi?”

“Dah kawan-kawannya datang panggil, takkan tak bagi pula. Kan ayah pernah pesan, kalau kawan belah sana datang ajak bermain, jangan dilarang.”

Puan Faezah terdiam. Hati digaru resah dan bimbang.

“Jangan risaulah, tahulah mereka balik nanti.”

“Tapi long, kalau belah sana tak bagi balik, macam mana?”

“Kak long dah pesan tadi, balik sebelum asar. Kawan-kawan mereka pun dengar juga. Nanti tahulah mereka balik.”

Namun, hati Puan Faezah tetap risau.

“Kalau ayah balik dan mereka tak balik lagi, nanti cakap kat ayah. Biar ayah pergi panggil mereka balik,” ujar Puan Habsah, menenangkan adiknya.

 


 



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6