Raikan Cinta Kita - 3




(Cinta Asma dan Ferhad) 

“Selamat hari raya abang. Asma minta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki di atas setiap salah dan silap Asma dari hari pertama jadi isteri abang sehingga sekarang. Asma pernah benci dan marah kat abang sebab tinggalkan Asma tanpa sebarang berita. Padahal masa tu abang tengah berjuang di antara hidup dan mati. Abang sakit, Asma tidak ada di sisi abang. Asma minta maaf sangat-sangat sebab fikir yang bukan-bukan. Tak percayakan abang padahal abang dah cakap awal-awal jangan percaya apa yang orang cakap jika itu bukan dari mulut abang sendiri,” bisik Asma.

Dia menangis. Bibirnya menyentuh belakang tangan suaminya. Sungguh dia bukan isteri yang baik. Hatinya masih ada terlalu banyak prasangka jahat terhadap isteri. Bibirnya biarpun kata tak apa, merelakan tapi hatinya tak pernah ikhlas. Di dalamnya selalu berperang antara dua rasa.

Ferhad tarik isterinya bangun. Matanya juga basah. Nasib baik mereka bermaafan di dalam bilik. Jarinya menyapu air mata isterinya. Wajah Asma semakin nampak matang dan cantik. Bukan lagi gadis polos lima tahun lepas. Bibirnya ukir senyum dan angguk perlahan.

“Abang lagi banyak buat salah dengan sayang. Abang lemah dan dungu. Abang biarkan diri diperbodohkan oleh adik sendiri. Abang biarkan isteri abang sendirian. Abang lupa isteri abang empat tahun lamanya. Abang gagal tunaikan janji abang pada ibu dan nenek. Abang biarkan sayang sendirian membesarkan anak kita. Abang tidak ada di saat sayang perlukan abang. Abang berseronok di luar sana, sayang berendam air mata di sini. Maafkan abang sayang. Abang bukan suami yang baik,” luah Ferhad.

Pengakuan isterinya tadi membuatkan dia rasa rendah diri. Dia hanya tanggung sakit berbulan sahaja. Isterinya pula tanggung sakit selama empat tahun ini, melihat dia yang kononnya bahagia di sana. Hak seorang isteri telah dinafikan selama itu. Dia pula buta dengan kebaikan Tiffany. Kemesraan Fatin Nur dan ketaatan kepada mama dan papanya. Tanpa sedar telah melakukan kezaliman kepada anak isteri sendiri. Biarpun hati telah memaafkan kesalahan mama dan papa, hatinya tetap terkilan. Perbuatan kejam Fatin selama hatinyamasih berdenyut tidak akan dimaafkan.

“Abang yang banyak salah dengan sayang. Sayang tak ada salah pun dengan abang. Jika ada, abang telah maafkan ketika malam pertama kita,” bisik Ferhad. Syukur diucapkan di dalam hatinya. Kembali bersatu, adalah momen yang paling bermakna di dalam hidupnya.

Asma geleng kepala. Mana boleh suami buat salah pada isterinya. Kalau ada pun dia telah memaafkan. Bertahun menunggu biarpun ada yang menyarankan agar dia minta cerai taklik sahaja. Kemudian kahwin lain, dia tidak mahu. Cinta pertama dan terakhir adalah untuk seorang lelaki sahaja. Iaitu yang menjadi suaminya. Yang mengenalkan cinta kepadanya. Yang mengajarnya tentang indahnya cinta halal. Yang mengajarnya erti sabar dan tabah.

“Tak. Ini ujian hidup kita. Ini bahagian kita diuji. Alhamdulillah kita telah lulus ujian itu. Abang kembali dalam hidup kami. Asma tidak mahu apa pun lagi selain abang, suami yang Asma sayang dan cintai.”

Ferhad angguk. Ya, tidak ada yang lebih menggembirakan selain kembali ke pangkuan anak isteri. Kali ini dia berjanji tidak akan meninggalkan mereka lagi. Jika perlu ke mana-mana pun, akan di angkut semuanya. Ini hidupnya, nyawanya.

Ferhad kesat kesan air mata di wajah isterinya. Dia berdiri. Ditarik Asma ikut berdiri. Pakaian isterinya dibetulkan. Mekap yang comot dibersihkan sehingga wajah isterinya kembali cantik.

“Takbir dah berbunyi, jom kita ke masjid,” ajak Ferhad.

Asma ukir senyum. Dia angguk dan bergerak mengikut Ferhad keluar. Farhan telah sedia menunggu di ruang tamu. Mulut anak itu penuh dengan makanan.

“Cedap mama...”

“Mulut penuh, jangan cakap,” tegur Muna.

“Kau tak nak pergi solat sunat aidilfitri?” tanya Asma.

“Tak. Aku rasa tak sedap perut ni. Dah memulas-mulas. Rasa macam adik Farhan ni dah nak keluar?”

“Haa.. Habis tu kenapa tak ajak Fahim pergi hospital?” soal Asma terkejut. Dia pandang suaminya.

“Air ketuban tak pecah lagi. Biarlah. Pergi awal pun bukan boleh buat apa,” balas Muna selamba.

“Lagipun kalau pergi awal-awal tak merasalah aku nak makan rendang, ketupat dan tapai ni. Baik aku pulun makan dulu sebelum baby ni keluar,” sengih Muna. Bila dah bersalin, kena berpantang, telan air liur je laa nanti.

“Habis tu siapa yang temankan kau kat rumah ni?”

“Mama dan Farrah ada. Fatin nak sampai kejap lagi.”

Asma diam. dia pandang suaminya. Wajah Ferhad bertukar kelat.

“Dia balik sendiri. Iskandar beraya rumah bini muda dia...” cerita Muna lagi. Kalau diikutkan hati, dia tak hingin juga sambut raya dengan kakak ipar hipokrit itu. Tapi inikan rumah arwah nenek mereka. Jadi dia tidak berhak untuk menghalangnya datang.

“Lepas solat raya, aku dan abang terus ke kubur. Kemudian beraya rumah Pak Ali dan Nur. Aku tak balik sini dah,” jelas Asma. Dia bukan malaikat. Dia juga bukannya maksum. Ada hati yang terluka parah dek perbuatan Fatin, tidak mampu dipulihkan lagi. Mungkin ambil masa bertahun-tahun. Mungkin juga sehingga akhir hayat. Dia memaafkan tapi untuk menerima dan bermesra itu tidak mungkin dapat dilakukannya.

“Okey, nanti aku cakap dengan mama dan papa,” balas Muna. Dia faham sangat apa yang Asma rasa. Dia yang menemani saat getir dalam hidup Asma. Jadi tidak menyalahkan Asma jika tidak mahu memaafkan Fatin.

“Farhan.. Nak ikut mama dan papa ke masjid tak?”

“Nakkk....” melompat Farhan mendekati mereka.

“Kami pergi dulu..”

Muna angguk. Melihat kemesraan Asma sekeluarga, syukur dilafazkan di dalam hati. Akhirnya cinta mereka kembali bersatu.

“Farhan mana?” tanya Fahim sebaik sahaja keluar dari balik. Dia lengkap memakai baju melayu warna ungu, sedondong dengan jubah Muna.

“Ikut mama dan papa dia ke masjid.”

Fahim angguk. “Betul sayang okey ni? Tak nak ke hospital lagi?” dia inginkan kepastian.

Muna angguk. “ lepas abang balik masjidlah kita pergi. Muna nak makan sepuasnya dulu.”

Fahim geleng kepala. Dia mendekati isterinya,dikucup kepala isterinya sebelum berlalu ke muka pintu.

“Assalamualaikum ibu, ayah, adik dan Nek Som. Kami datang melawat,” bisik Asma sebaik sahaja mereka sampai di pusara mereka. Airmata tanpa diundang membanjiri kolam air matanya. Empat tahun dia datang bersendirian melawat mereka di pagi raya. Kali ini keluarga kecilnya telah bersatu. Cukup lengkap untuk meraikan aidilfitri. Tapi jauh di sudut hati ada rasa terkilan tidak mampu diungkapkan. Mereka tidak berpeluang meraikan aidilfitri bersama.

Asma duduk di atas tikar yang dibentangkan oleh suaminya. Farhan Hadi duduk ditengah-tengah. Dia usap kepala anaknya. Kemudian mengambil yasin yang dihulurkan.

“Abang?”

“Yasin ada dalam dada abang..” beritahu Ferhad.

Asma angguk.  Dia terlupa.

“Farhan baca al-fatihah untuk nenek dan atuk ya.. Dah hafalkan?”

Farhan angguk. Seketika kemudian terdengar suara Farhan membaca al-fatihah. Asma senyum sebelum membuka surah yasin dan mula membacanya.

 “Nenek.. Ferhad dah kembali nek. Maafkan Ferhad kerana mengecewakan nenek. Ferhad patutnya tidak layak mendapat isteri sebaik Asma. Ferhad gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga dan melindungi Asma nek,” bicara Ferhad selepas selesai membaca yasin dan berdoa. Matanya basah. Dia rindukan bebelan neneknya. Rindu mahu menatap wajah bersih itu.

“Ibu.. maafkan Ferhad.”

Asma sentuh lengan suaminya. Dia faham perasaan suaminya ketika ini. Nampak senyuman terukir di bibir suaminya senyuman kesal.

“Abang dah kembali ke pangkuan kami. Asma yakin nenek dan ibu gembira melihat kita telah bersama semula,” pujuk Asma.

“Terima kasih sayang. Sayang dan Farhan adalah harta abang yang paling bernilai. Abang akan jaga selagi hayat abang masih ada. “

Asma genggam tangan suaminya. Dia angguk. Yakin dan percaya apa yang dilafazkan.

“Abang Ferhad, Asma..”

Panggilan dari belakang mereka membuatkan mereka berpaling. Fatin Nur bersama dengan mama dan papa. Wajah Ferhad berubah. Asma pula sedaya upaya memaniskan muka.

“Kau nak apa?” tanya Ferhad kasar.

Fatin tersentak. Mama dan papa berlalu menuju ke kubur Nek Som. Mereka tidak mahu masuk campur.

“Fatin minta maaf di atas segala kesalahan yang Fatin lagikan terhadap abang dan Asma.”

“Maaf? Aku boleh maafkan kau. Dengan syarat kau jangan muncul depan aku lagi!” balas Ferhad tegas. Hatinya berdenyut sakit apabila teringatkan betapa liciknya Fatin memisahkannya dengan Asma.

“Abang...” Asma peluk lengan Ferhad. Marah suami sama juga marahnya. Tapi melihat wajah sedih penuh penyesalan Fatin membuatkan dia tak sampai hati.

“Kami dah memaafkan awak. Tapi untuk melupakan setiap perbuatan awak dulu belum lagi mampu. Mohon ampun dari Allah taala. Mohon doa agar hati kami mampu melupakan keperitan dulu.”

Fatin tersedu. Dia jatuh terduduk sebaik sahaja abang dan kakak iparnya berlalu.

Di dalam kereta, masing-masing melayan perasaan. Farhan sengaja diberikan tab melayan youtube.

“Balik nanti kemas pakaian,” suruh Ferhad tiba-tiba.

“Nak ke mana?”

“Jalan-jalan makan angin. Lagipun kita tak pernah lagi pergi bercuti. Kali ini kita berjalan lama sikit. Pusing satu Semenanjung ni sambil lawat saudara mara,” cadang Ferhad lagi.

Asma angguk. Bagus juga. Kali terakhir mereka bercuti ketika Ferhad datang memujuk di Penang dulu.

“Asma ikut je ke mana abang pergi.”

Ferhad berpaling dan tersenyum. “Terima kasih sayang. Awal tahun depan abang bawa sayang dan Farhan tour Benua Eropah pula.”




Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom
 Instagram; shima.rostambs 
 Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing..
 Terima kasih di atas sokongan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6