'Sahabat' pena bab 4

Bab 4


"Macam mana awak sediakan report ni. Awak check ke tidak sebelum berikan kepada saya?" tegas Hawa menegur. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menengking orang di hadapannya.
"Saya check dah. Mana ada silap puan. Semuanya betullah" Sofia mempertahankan dirinya.
"Mana silap awak tanya saya? Sekali tengok saya tahu report yang awak buat ni boleh buang dalam bakul sampah. Cuba tengok cash flow dan bandingkan cash balance di balance sheet tu? Cuba awak tengok sama ke tak? Kata berpengalaman tapi perkara sekecil itu pun awak tak nampak? Kena tambah power lagi ke spec awak tuh?" lantang suaranya kedengaran.
Sofia mula kecut perut. Dia mengambil laporan bulanan di hadapannya dan disemak kembali. Ya Allah.. apasal aku ni. Mengong. Kutuknya pada diri sendiri.
"Maafkan saya puan. Saya akan betulkan kembali. Maafkan saya" Pinta Sofia dan terus dia bergegas keluar dari situ. Padan muka. Tadi bukan main lagi menjawab. Wajahnya merah. Ada rasa malu dan bengang bersatu di dalam jiwanya.
Hawa memicitkan kepalanya. Hatinya hangat dengan kecuaian yang dilakukan oleh Sofia dan ada hati pula melawan cakapnya. Kepalanya berdenyut di sebelah kiri. Ah sudah.. pasti tekanan darahnya naik. Hampir setengah tahun dia bekerja tanpa mengambil cuti. Rasanya kali ni dia perlu berehat. Sesak dadanya dengan masalah kerja dan peribadi. Sebetulnya dia perlukan rehat yang panjang. Perlukan menenangkan diri dan memujuk diri sendiri. Jauh dari segalanya. Dipejamkan mata seketika sebelum dia mengangkat ganggang telefon di atas mejanya.
"Aini ambilkan borang cuti untuk saya" arah Hawa kepada setiausahanya.
Selepas itu dia terus menghubungi Dato' Hamdan, pengarah syarikat.
"Assamualaikum dato'"
"Waalaikumussalam... ada apa Hawa? Laporan bulanan syarikat macam mana? Semuanya under bajetkan?" tanpa berbasa basi Dato'Hamdan terus menyoal.
"Oooo semuanya ok. Tak ada masalah tapi saya yang ada masalah sikit dato'"
"Masalah apa tu Hawa. Cuba cerita.. kalau saya boleh tolong insyaAllah saya akan tolong"
"Eh tak ada masalah sangat Cuma saya nak minta cuti dua minggu. Nak berehat"
"dua minggu? Lama tu Hawa.. Susah saya nanti" keluh Dato' Hamdan.
"Tak ada susahlah Dato', pekerja lain ada. Mereka akan backup semasa ketiadaan saya nanti. I need a rest Dato'." Perlahan Hawa bersuara. Kekadang hatinya geram juga. Orang tua ni, selagi dapat diperah keringatnya, selagi itu dia akan mengheretnya sama. Tak pernah hendak melepaskan dia bercuti lama-lama. Macamlah tanpa dia, operasi syarikat langsung tak boleh berjalan.
Lama mereka senyap ditalian.
"Macam mana Dato'? saya betul-betul perlu bercuti. Perlu menenangkan hati dan fikiran saya. I have personal problem dato' terang Hawa. Terpaksa. Kalau tidak memang dia takkan dapat cuti.
"Saya perlu selesaikan masalah peribadi saya ni dulu. Kalau tak saya tak boleh memberi komitmen tinggi pada kerja saya" jelas Hawa lagi. lantak dialah. Yang pasti besok dia mahu pergi jauh dari sini. Seorang diri.
"Oklah as your wish. I pun tak adalah kejam sangat tak bagi you cuti. Make sure... you rest dan calm down yourself. Setiap apa yang berlaku ada hikmatnya. Mungkin dengan percutian ini you dapat menilai kembali diri you. Selalunya.. apabila jiwa kita tidak tenang, diri kita rupanya kian jauh dari-Nya. Semoga you jumpa apa yang you cari dalam tempoh percutian ini. I bagi you cuti sebulan." Panjang lebar Dato' Hamdan memberikan nasihat.
Hawa terdiam. Terharu. Dia silap dalam membuat tanggapan terhadapa bosnya. Ternyata, di dalam keghairahan mengejar harta dunia, Dato' Hamdan tetap kuat berpegang pada tali agama.
"InsyaAllah dato. I akan kembali dengan semangat yang baru. Terima kasih dato" Ucap Hawa.
Di hujung talian sana, Dato' Hamdan tersenyum sambil mengangguk-angguk. Salam diberikan sebelum talian diputuskan. Dialihkan pandangan kepada anak muda di hadapannya.
"Abah telah berikan Hawa cuti semalam sebulan. Tak pula dia cakap ke mana tuju percutiannya" beritahu Dato' Hamdan. Maklumat tersebut sudah memadai.
Sementara itu, Hawa menyandar lesu di kerusinya. Selama ini, apabila berkaitan dengan kerja, jarang dia naik angin seperti hari ini. Kesilapan dalam melakukan kerja yang diberikan adalah adat. Manusia belajar daripada kesilapan. Dan setiap orang ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Selagi kesilapan itu tidak memudaratkan syarikat dan tidak membuatkan syarikat kerugiaan besar, maka ia boleh dimaafkan dengan syarat kesilapan yang sama tidak boleh berulang lagi. Namun Sofia, eksekutif akaun yang baru tiga bulan memulakan tugas di sini, selalu melakukan kesilapan yang remeh. Seolah-olah dia tidak peka dan mengambil serius di atas setiap kerja yang dilakukan. Hatinya tidak mampu berkompromi lagi. lantas dipanggil, Aini setiausahanya masuk.
"Ada apa Hawa?" Soal Aini lembut. Hubungan mereka bukan sekadar bos dengan setiausaha sahaja, tetapi sahabat baik. Aini amat memahami keadaan Hawa sekarang. Tentunya dia berada dalam keadaan tertekan. Bekas suaminya telah selamat berkahwin dan dia masih lagi terkial-kial membiasakan diri dengan perubahan yang berlaku di dalam hidupnya.
"Nanti awak siapkan surat amaran plus tunjuk sebab kepada Sofia. Saya tidak boleh bertolak ansur lagi dengan sikapnya. Kerja yang diberikan, dilakukan macam lepaskan batuk ditangga je. Bukan sekali dua kesalahan yang dilakukan. Malah berkali-kali. Selepas itu bukan hendak mengaku dia yang buat salah. Dilawannya cakap saya. Saya tidak perlukan pekerja yang perasan bagus seperti itu. Langsung tidak belajar dari kesalahan"
"Dia belum confirm lagi kan?" Soal Hawa lagi.
"Belum.. patutnya akhir bulan ni syarikat akan confirmkan dia" Jawab Aini.
"Jangan confirmkan lagi. Berikan surat amaran dan tunjuk sebab dulu. Saya nak tengok prestasi dia lagi 3 bulan.. Kalau masih lagi tidak berubah. Kita terpaksa terminated. Nanti awak drafkan surat hari ini juga. Sebelum kul tiga atas meja saya. Boleh?" Tanya Hawa.
"Ok.. tak ada masalah. Ada apa-apa lagi?"
Hawa berfikir sejenak... kemudian menggelengkan kepalanya.
"tak ada... oooh sebelum terlupa, mulai esok saya akan bercuti selama sebulan. Anything awak inform terus kepada setiausaha Dato' Hamdan. Tak pun kepada encik Razak."
Aini mengeluh perlahan. Hawa mendengar keluhan itu menjungkitkan kening.
"Kenapa?" Soalnya.
"Awak tak ada... Sibuklah saya... mesti ada-ada je benda yang tak beres nanti. Tak boleh ke pendekkan cuti" Adu Aini seolah-olah merayu.
"Aini... Saya dah lama tak cuti. Saya rasa hidup saya macam robot. Pergi kerja... kerja.. meeting... kerja.. meeting. Saya rasa kosong. Sedih tapi saya tidak tahu apa yang saya sedihkan"
"Perkahwinan Sabri juga membuatkan saya rasa tak terpijak di bumi nyata. Rasa kebas. Hendak menangis, air mata tak keluar. Saya tidak tahu apa yang telah terjadi pada diri saya. Jika keadaan ini berterusan, saya boleh jadi giler. Sebab itu saya amat perlukan cuti ini" Luah Hawa. Suaranya kedengaran sebak. Tetapi air mata tidak mampu keluar. Kekosongan di jiwa amat menekan dirinya.
Aini mengesat matanya. Dia pula menangis mengenangkan nasib bos merangkap sahabatnya. Di dalam hati dia bersyukur. Kehidupannya sederhana tetapi membahagiakan. Suaminya seorang yang baik dan bertanggungjawab.
"Sabarlah... Saya rasa setiap apa yang menimpa awak ada hikmatnya. Pergilah bercuti... ambillah masa awak untuk menenangkan hati. Mana tahu awak akan berjumpa bahagia awak lagi. Saya doakan." Tulus Aini mengucapkannya.
"Terima kasih Aini. Doakan agar saya memperolehi kembali ketenangan dan kebahagiaan di dalam hidup." Balas Hawa dengan sebuah senyuman.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 7

Bila Aku Bukan Dia (Novel terbaru Shima Awang)

Bila Aku Bukan Dia -Teaser 6